KERAP kali mendengar kematian wanita selepas bersalin akibat sesak nafas.

Sesak nafas, mungkin asbab kematian yang kelihatan umum tetapi ia berkemungkinan besar disebabkan oleh Pulmonary Embolism.

Pulmonary embolism ialah keadaan di mana kehadiran darah beku secara tiba-tiba di dalam saluran darah ke paru-paru.

Ia merupakan salah satu punca utama yang menyebabkan kematian wanita hamil dan selepas bersalin iaitu dalam masa kira-kira enam minggu selepas bersalin. Selain darah tinggi dan tumpah darah, pulmonary embolism ialah antara penyumbang tertinggi kematian wanita selepas bersalin.

Ketika hamil, darah adalah lebih pekat daripada biasa. Pembesaran bayi dalam kandungan juga akan menekan saluran darah utama yang terdapat pada badan ibu menyebabkan aliran darah menjadi kurang lancar.

Ini akan menyebabkan darah beku akan terbentuk di saluran darah pada betis (deep vein thrombosis). Selain itu, terdapat juga beberapa sebab lain seperti melahirkan melalui pembedahan juga boleh menyebabkan darah beku terbentuk kerana kurangnya pergerakan selepas bersalin.

Apabila darah beku berkumpul pada bahagian betis, si ibu akan mengalami bengkak kaki secara tiba-tiba dan berasa sakit pada betis ketika berjalan.

Baca juga Ibu Hamil Alami Masalah Pundi Kencing Pada Kehamilan Pertama. Ini 7 Cara Mudah Untuk Atasinya

Gejala ini tidak boleh dipandang ringan dan perlu diberi rawatan awal. Jika tidak, darah beku di dalam saluran darah di bahagian kaki si ibu boleh ‘dislodge’ dan bergerak bila-bila masa dan menyangkut di saluran darah yang halus di paru-paru.

Ia seterusnya boleh menyebabkan saluran darah di dalam paru-paru tersumbat akibat darah beku atau pulmonary embolism dan ibu boleh maut secara tiba- tiba.

Hampir semua ibu hamil dan selepas bersalin mempunyai risiko untuk mendapat penyakit pulmonary embolism.

Baca juga Vaksin Covid-19 Dan Kehamilan, Apa Ibu-Ibu Di Luar Sana Perlu Tahu?

Risiko untuk mengalami pulmonary embolism semasa dan selepas bersalin meningkat sekiranya mereka mempunyai faktor seperti berikut:

1. Mempunyai berat badan melebihi 80kg atau BMI lebih 30kg/m2.
2. Bersalin menerusi pembedahan caesarean.
3. Berumur lebih daripada 35 tahun.
4. Melahirkan kandungan kembar.
5. Mengalami masalah air ketuban banyak atau polihidramnios.
6. Mengalami dehidrasi atau kurang air dalam badan.
7. Mendapat penyakit darah beku sebelum dan semasa mengandung atau pada kandungan terdahulu.
8. Tumpah darah semasa bersalin (melebihi satu liter).
9. Menjalani prosedur transfusi darah semasa mengandung atau selepas bersalin.
10. Mempunyai enyakit yang menyebabkan darah menjadi likat seperti thrombophilia, protein S deficiency, anti phospholipid syndrome.
11. Mempunyai sejarah pembedahan semasa mengandung atau selepas bersalin seperti pembedahan appendisitis, pembedahan berkaitan patah tulang atau apa-apa pembedahan yang dilakukan semasa bersalin atau selepas bersalin.
12. Ibu hidap penyakit pra eklampsia (iaitu darah tinggi yang menyebabkan air kencing mengeluarkan protein) semasa hamil dan berterusan selepas bersalin.

Menyedari bahaya situasi bahaya yang meragut nyawa ini, para ibu yang dalam tempoh minggu pertama selepas bersalin terutamanya yang berisiko tinggi perlu berwaspada dan peka tanda-tanda awal pulmonary embolism.

Simptom awal pulmonary embolism 

• Kembang atau bengkak kaki dan sakit pada betis (kebiasaannya pada sebelah kaki kiri)
• Sukar untuk bernafas.
• Sakit dada.
• Batuk berdarah.
• Denyutan nadi yang sangat laju.

Iklan

Sekiranya mempunyai simptom ini, korang perlu segera dapatkan pemeriksaan di hospital atau klinik berdekatan.

Doktor yang merawat biasanya akan menjalankan pemeriksaan untuk melihat sama ada ibu tersebut berisiko tinggi untuk mendapat pulmonary embolism.

Pemeriksaan lanjut seperti ECG (alat untuk memeriksa ritma jantung), X-ray, pemeriksaan darah atau pun CTPA (CT scan untuk melihat saluran darah ke paru-paru) mungkin akan dilakukan segera.

Kebanyakan wanita selepas bersalin yang mengalami pulmonary embolism maut sebelum sempat sampai ke hospital.

Justeru, sekiranya ada yang berisiko tinggi, rujuk kepada doktor dengan segera terutamanya jika mengalami simptom awal.

Sekiranya korang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi, lakukan tiga langkah ini untuk mencegah pulmonary embolism.

Iklan

 1. Minum air yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi.

 2. Aktif bergerak dan berjalan. Jangan hanya berbaring di katil!

 3. Menggunakan thrombo embolic deterrent-TED stocking iaitu stoking khas untuk mengelakkan pembentukan darah beku pada kaki pada waktu malam atau semasa menaiki penerbangan jauh.

Justeru, ibu dalam fasa berpantang perlu berhati-hati bagi mengelakkan pulmonary embolism terutamanya yang tergolong dalam kategori berisiko tinggi. Usah abaikan tanda-tanda awal, dapatkan rawatan segera.

Jangan lupa follow kami di Instagram!