KALAU manusia yang mempunyai masalah obesiti dirundung pelbagai masalah kesihatan, hal sama turut berlaku kepada semua haiwan termasuk kucing.
Menurut PetMD.com, seekor kucing diklasifikasi sebagai obes apabila berat badan mereka melebihi 10 hingga 20 peratus daripada timbangan asal atau idealnya.
Permasalahan tersebut bagaimanapun bukan sesuatu yang luar biasa. Ia adalah penyakit biasa yang menimpa si bulus, kata PetMD.com.
Dalam pada tu, laman https://petkeen.com/about-us/ menyenaraikan fakta dan implikasi mengenai haiwan peliharaan yang berdepan dengan isu obesiti. Berikut huraiannya:
- Doktor veterinar menganggarkan 59 peratus daripada semua haiwan peliharaan adalah obes.
- Sepanjang 10 tahun lalu, terdapat peningkatan sebanyak 169 peratus bilangan kucing yang berlebihan berat badan.
- Kira-kira 44 peratus masalah obes telah menjejaskan haiwan peliharaan di negara-negara membangun.
- Haiwan peliharaan yang disterilkan adalah 200 peratus lebih berkemungkinan mengalami obesiti.
- Risiko obes haiwan peliharaan semakin meningkat selari dengan pertambahan umur pemilik dan haiwan.
- Pemilik yang berlebihan berat badan lebih cenderung mempunyai haiwan peliharaan yang gemuk.
- Haiwan peliharaan yang obes hidup secara purata 2.5 tahun lebih pendek dan boleh mengalami tekanan emosi.
Baca juga Pencinta kucing wajib tahu apa itu parvovirus. Kalau biarkan boleh bawa maut!
SinarPlus kemudian mengambil inisiatif mewawancara Pakar Veterinar yang juga Pengarah Urusan Kittys Care Veterinary Clinic, Dr Muhammad Naim Md Kasim untuk mengulas lanjut tentang perihal kucing obes.
Kata Dr Muhammad Naim, sudah menjadi kebiasaan, rata-rata tuan punya kucing akan rasa gembira melihat betapa montel dan gebu haiwan kesayangan mereka. Namun, itu persepsi yang perlu dikikis.
"Jika mahu haiwan itu sihat, tak semestinya perlu bertubuh gempal. Itu satu corak pemikiran yang perlu diubah.
"Kebanyakan individu yang saya jumpa, mereka sangat taasub untuk menambah berat si bulus, itu satu hal yang saya tak faham," katanya.
Pakar tersebut kemudian memperincikan antara penyakit yang boleh dideritai seandainya si bulus kesayangan bertambah berat badan. Antaranya:
Masalah jantung: Apabila terlalu banyak makan, si bulus tidak dapat menggunakan tenaga yang dihasilkan, maka ia bertukar menjadi lemak dan meliputi organ dalaman seperti jantung, hati dan urat dalam darah.
Sakit sendi: Bila sudah berat, ia menyebabkan 'mereka' sukar untuk menampung tubuh.
Penyakit kulit: Biasanya kucing yang obes, sering berhadapan dengan jangkitan kuman pada bahagian bawah perut lantaran kulit yang menggelebeh. Apabila permukaan kulit sering bersentuhan dengan tempat lembab, ia akan mengakibatkan iritasi berlaku.
Diabetes: Jangan tidak percaya, kucing obes juga boleh menghidap diabetes.
Senaman & diet makanan
Meneruskan diskusi, Dr Muhammad Naim berkata, penting untuk pencinta haiwan memerhatikan aktiviti harian dan perubahan si bulus.
"Biasanya kucing yang obesiti berhadapan dengan kesukaran untuk melompat atau menaiki tangga. Ia lebih memilih untuk duduk atau berbaring, dalam erti kata lain malas untuk bergerak,” jelasnya.
Baca juga Nampak kelakar rupanya bahaya, kucing terjelir nak muntah dengar bunyi sikat boleh sawan!
Sehubungan itu, pemilihan pemakanan termasuk senaman untuk kumpulan haiwan itu perlu diberi perhatian.
"Apa yang saya lihat kebanyakan orang suka mencampurkan ikan dan ayam ke dalam nasi. Pun demikian, nasi bukanlah diet terbaik untuk kucing.
"Seboleh-bolehnya elak beri makanan itu," katanya memberi peringatan.
Paling baik, ujar beliau, si bulus diberi makan makanan kering dan basah yang diperbuat daripada ikan serta ayam atau apa sahaja makanan yang tinggi dengan nutrisi seperti protein.
Baca juga Hati-hati dengan bulu kucing, boleh jadi punca masalah kulit. Ini penjelasan pakar
"Satu lagi, pemilik harus mematuhi jadual pemakanan yang tertera pada pek pembungkusan (makanan) kerana ia adalah saranan terbaik yang telah ditetapkan pakar nutrisi.
"Jika beri secara berlebihan, itu yang menyebabkan masalah obesiti,” ujarnya yang turut menasihatkan agar makanan basah perlu dihabiskan dalam tempoh tiga hingga empat jam bagi mengelakkan keracunan.
Itu bab makan, bagaimana pula dengan senaman? SinarPlus kemudian merujuk informasi menarik yang dimuat naik oleh VCA Animal Hospital, Amerika Syarikat.
Pakar di sana berkongsi teknik efisien yang boleh diimplemenkan. Berikut beberapa cadangan bernas:
1. Gunakan mainan untuk mencipta semula tingkah laku seperti memburu:
- Kebanyakan kucing mengekalkan naluri memburu. Anda disyorkan untuk menggunakan penuding laser untuk mensimulasikan pepijat kecil.
- Luncurkan mainan kecil berbentuk tetikus merentasi lantai untuk mendorong si bulus menangkapnya.
2. Uji ketangkasan si bulus:
- Gunakan pelbagai barangan isi rumah untuk mencipta laluan halangan kecil dalam ruang kediaman.
- Kemudian gunakan mainan yang bersesuaian untuk menarik kucing anda ke atas dan bawah bagi rumah dua tingkat.
3. Beli pokok hiasan (cat tree) untuk menggalakkan pendakian:
- Kebanyakan kucing suka dengannya.
- Apabila 'mereka' memanjat, secara tidak langsung, senaman dilakukan dan kalori akan dibakar.
4. Jadikan waktu makan sebagai acara yang lebih aktif:
- Daripada meletakkan mangkuk makanan kucing anda di atas lantai, tempatkan di atas permukaan yang tinggi.
- Ini bagi memastikan kucing anda perlu melompat setiap kali ingin makan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.