TAHUKAH kalian bahawa bulu kucing boleh menyebabkan masalah kulit sekali gus menjadi punca alahan teruk?

Tidak dinafikan ramai dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya pencinta haiwan memilih si bulus sebagai haiwan peliharaan.

Pun begitu, percaya atau tidak sebenarnya bulu si comel tersebut boleh menjadi penyebab masalah kulit seperti:

i) Infeksi kulat (Sporotricosis dan Kerion) atau bakteria (cat scratch disease).
ii) Gigitan kutu kucing (kulit gatal dan kemerahan).
iii) Alahan kulit.

Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan Perubatan (Ketua Unit Dermatologi), Prof Madya Dr Adawiyah Jamil dan Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan Perubatan Keluarga, Prof Madya Dr Leelavathi Muthupalaniappen dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia mempunyai penjelasan terperinci.

bulu kucing
Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan Perubatan (Ketua Unit Dermatologi), Prof Madya Dr Adawiyah Jamil dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.
bulu kucing
Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan Perubatan Keluarga, Prof Madya Dr Leelavathi Muthupalaniappen dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kedua-dua pakar tersebut berkata, kucing boleh menyebabkan jangkitan pada kulit manusia melalui berberapa cara iaitu sentuhan luka daripada kesan calar atau gigitan.

“Apabila kucing menjilat kulit manusia yang mempunyai luka, bakteria atau kulat masuk ke dalam kulit dan menyebabkan jangkitan.

“Gigitan kutu kucing pula menyebabkan kemerahan dan bengkak pada kulit dan terasa sangat gatal seperi gigitan serangga,” jelas mereka.

bulu kucing

Pada masa sama, Dr Adawiyah dan Dr Leelavathi menerangkan, kucing juga menghasilkan pelbagai alergen (protin yang boleh menyebabkan alahan) daripada bulu, kulit dan air liur.

“Reaksi alahan bermula apabila alergen tersebut bersentuhan dengan kulit manusia atau disedut ke dalam saluran pernafasan.

“Kanak-kanak dan orang dewasa boleh terjejas dengan jangkitan dan tindak balas alahan, tetapi individu yang mengalami imuniti yang lemah mungkin lebih berisiko,” kata mereka.

bulu kucing

Menjawab kepada satu soalan, kedua-dua pakar perubatan tersebut sependapat, kucing yang mengalami jangkitan kulat (Sporotricosis) boleh menyebarkan jangkitan kepada kulit manusia melalui sentuhan rapat atau melalui kulit yang luka.

Ini kerana jangkitan bermula sebagai bengkak pada kulit biasanya pada tangan yang kemudiannya membesar dan merebak sepanjang salur limfa.

Baca juga Elak beri makan daging, tulang mentah kepada kucing elak si bulus sakit!

“Jangkitan kulat microspora pula boleh menyebabkan masalah kulit yang dikenali sebagai Kerion. Keadaan ini biasanya melibatkan kulit kepala dan kelihatan seperti bengkak dan mungkin bernanah atau basah.

bulu kucing

“Itu mungkin kelihatan seperti jangkitan bakeria tetapi tidak bertindak balas dengan rawatan antibiotik,” kata mereka yang memaklumkan jangkitan kulat pada kulit jenis Sporotricosis atau Kerion memerlukan rawatan dengan pil antikulat selama empat hingga enam minggu.

Sementara itu, jangkitan bakteria (cat scratch disease) pula kelihatan seperti bengkak merah pada tempat gigitan dan menyebabkan kelenjar limfa membesar dan terasa sakit.

Antara simptom yang boleh dikenal pasti:
a) Demam.
b) Sakit kepala.
c) Sakit-sakit badan.

Pun begitu, menurut Dr Adawiyah dan Dr Leelavathi, jangkitan tersebut mungkin boleh pulih sendiri dalam masa berberapa bulan tanpa rawatan.

Namun, bagi individu yang mempunyai sistem imunisasi lemah, berisiko mendapat jangkitan serius yang menjejaskan organ dalaman seperti otak, mata dan jantung.

bulu kucing

Ini disebabkan kutu kucing merupakan serangga parasit yang menghisap darah seperti nyamuk.

“Saiz kutu kucing adalah antara 1.5 hingga 4 milimeter (lebih kecil daripada nyamuk), namun gigitan kutu kucing menyebabkan kulit merah dan terasa sangat gatal.

Baca juga Kenali bahaya penyakit kucing yang mampu menjangkiti manusia

“Sekiranya tidak dirawat, masalah ini akan berterusan untuk jangka masa yang lama,” jelas mereka lagi.

Bagaimana pula kesannya kepada penderita ekzema? Dr Adawiyah dan Dr Leelavathi berkata, alahan pada kulit boleh menyebabkan ekzema yang teruk.

Iklan

bulu kucing

“Masalah kulit pesakit ekzema boleh menjadi tidak terkawal, berpanjangan atau lebih serius jika mereka mengalami alahan kepada kucing.

“Sekiranya ini berlaku, pesakit ekzema perlu menukar cara rawatan dan mengelakkan pendedahan pada kucing sebagai langkah untuk mengatasi masalah alahan,” terang mereka.

Justeru, bagi memastikan rawatan kulit berjaya, si bulus yang mempunyai jangkitan juga perlu dirawat.

Sekiranya kucing tidak dirawat, jangkitan pada kulit manusia akan berulang kerana punca penyakit yang asalnya daripada kucing tidak diatasi.

bulu kucing

Kedua-dua pakar perubatan itu juga menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan untuk masalah jangkitan kulit atau alahan yang berpunca daripada kucing.

Pendekatan tersebut penting kerana jika tidak dikesan, penyakit kulit akan berpanjangan dan boleh menyebabkan parut, selain menjejaskan kulit kepala sehingga risiko botak.

“Sekiranya masalah kulit adalah berpunca daripada kucing kesayangan, maka rawatan perlu diberi kepada pesakit dan juga kucing untuk memastikan rawatan adalah berkesan,” jelas mereka.

bulu kucing

Iklan

Berikut tip mudah untuk mengelakkan jangkitan:

1. Pastikan kucing anda sentiasa dalam keadaan yang sihat.

2. Kucing peliharaan menerima imunisasi yang lengkap.

3. Sekiranya kucing mempunyai masalah kulit atau kutu, segera dapatkan rawatan yang sewajarnya bagi mengelakkan penyakit merebak pada manusia.

4. Elakkan daripada bersentuhan dengan kucing liar atau terbiar yang mungkin berpenyakit.

Justeru, kepada anda yang mempunyai si bulus, pastikan kesihatan ‘mereka’ sentiasa terjaga ya!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan