DARI jauh, raut wajah penuh kepenatan Dr Nur Fasiha Latiff sudah terserlah.
Masakan tidak, seusai habis tugas di Klinik Syifa‘ Danau Kota, Kuala Lumpur, beliau harus menempuh perjalanan sejauh 40 kilometer untuk sampai ke Studio A, Sinar Karangkraf di Shah Alam, Selangor.
Jarak perjalanan nampak pendek, tetapi faham-fahamlah, keadaan trafik pada waktu petang di Lembah Klang. Namun demikian, Dr Nur Fasiha tetap ceria tatkala kami mula berbicara.
Ditemani adik bongsunya, Muhammad Ilham, wanita itu tampil anggun dengan pakaian perubatan (medical scrub) berona merah jambu, sekali gus menyerlahkan personalitinya sebagai seorang doktor.
Kepada yang mungkin sudah tahu, Dr Nur Fasiha ialah adik kepada pelakon terkenal tanah air, Fathia Latiff.
Pun begitu, tuan punya badan tidak pernah menggunakan populariti kakaknya, apatah lagi pernah bercita-cita menjebakkan diri dalam dunia seni.
Memilih lapangan perubatan sebagai karier tetap pada masa depan, Dr Nur Fasiha lebih selesa menceritakan kepada kami bagaimana titik mula beliau nekad mahu menjadi seorang doktor demi menyelamatkan nyawa manusia.
Bumi Ireland
Cerita personaliti jelita itu, peristiwa menyaksikan kehilangan ibu kepada sahabat baik akibat kanser benar-benar memberi impak dalam hidupnya.
"Masa itu, kami berdua memang rapat dan tinggal sebilik di asrama sekolah. Segala perkembangan ibunya sentiasa dikongsi sehinggalah saat arwah menghembuskan nafas terakhir.
"Memang sedih sangat apabila dapat tahu tiada penawar untuk menyembuhkan ibunya. Saat itulah, saya pasangkan niat untuk menceburi bidang perubatan. Mungkin ada sesuatu yang boleh saya lakukan kepada masyarakat," ujar bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan yang kemudiannya dipilih menyertai program The International Baccalaureate di Kolej Mara Banting, Selangor.
Ia merupakan persediaan untuk pelajar Malaysia yang mahu melanjutkan pengajian di universiti di seluruh dunia.
Niat murni tersebut akhirnya dimakbulkan oleh-NYA apabila beliau dipilih menjadi penuntut dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan di Trinity College Dublin, Ireland.
Beritahu Dr Nur Fasiha, dirinya mahu melangkah lebih jauh dalam lapangan kesihatan.
Justeru, keputusan untuk mendapatkan kepakaran dalam bidang kardiologi diputuskan. Sekali lagi, Dublin menjadi destinasi pilihan.
"Keputusan ini sebenarnya sudah dibincangkan bersama ahli keluarga yang lain. Mereka sangat positif dan memberi galakan sepenuh hati.
"Sekarang ini, saya masih mencari pilihan hospital atau klinik yang bersesuaian di sana," katanya yang sudah menamatkan servis selama empat tahun di hospital kerajaan dan sedang berkhidmat di Klinik Syifa‘ Danau Kota.
Mengapa Dublin yang menjadi seleksinya? Dr Fasiha yang murah dengan senyuman itu berterus-terang. Budaya kerja dan masyarakat di negara Eropah itu menambat hati beliau.
Bukan itu sahaja, peluang untuk melebarkan sayap dalam bidang kardiologi dilihat lebih cerah dan terbuka.
"Mungkin jika diizinkan, saya ingin belajar dan pada masa sama, bekerja di Ireland sementara tenaga masih menyala-nyala," ungkapnya.
Ujar Dr Nur Fasiha, pengalaman yang diraih selama dua tahun sebagai doktor pelatih di hospital kerajaan telah banyak mendidik beliau mengenal erti sebenar perjuangan dalam dunia kedoktoran.
Baginya, pernah diusik manja oleh entiti mistik hanyalah satu cerita klasik. Namun, detik cemas menyelamatkan pesakit paling berbekam dalam sanubarinya.
"Saya masih ingat lagi insiden seorang pekerja asing yang cedera parah. Darahnya mencurah-curah.
"Saya telah ditugaskan untuk melakukan prosedur infusi darah secara manual disebabkan pesakit mengalami pendarahan kritikal. Tangan saya sudah menggigil, tetapi saya kuatkan semangat.
"Matlamat saya ketika itu hanya mahu selamatkan mangsa. Memang itulah antara pengalaman tak boleh saya lupakan sampai bila-bila," katanya.
Tatkala wabak Covid-19 melanda dunia dan negara pada tahun 2020, khidmat Dr Nur Fasiha diperlukan di Hospital Bintulu, Sarawak. Beliau ditugaskan untuk membantu pasukan perubatan di sana selama tiga bulan.
Pertama kali berdepan pandemik yang tidak pernah terlintas pada benak manusia, sesungguhnya telah memberi cabaran dan impak besar kepada semua pihak.
Mental dan fizikal kena kuat, kata Dr Nur Fasiha. Masakan tidak, boleh dikatakan hampir setiap hari, petugas kesihatan akan melihat kematian demi kematian.
Lebih menjerut perasaan, ia melibatkan kelompok warga emas.
"Ada satu kes yang menyedihkan berlaku ketika saya bertugas. Meskipun sudah dibantu dengan pelbagai bentuk bantuan perubatan dan mesin oksigen tahap maksimum, pesakit tetap tak dapat diselamatkan.
"Kami terlalu sebak. Saya tak bayangkan jika depan mata saya ialah ahli keluarga sendiri," katanya.
Pereka fesyen perubatan
Emosi kesyahduan yang meresap masuk ke dalam jiwa saat mendengar kisah itu cepat-cepat kami usir jauh-jauh.
Penulis tanpa sengaja terus bertanya dengan pakaian perubatan yang disarungnya saat mula bertandang ke pejabat Sinar Harian. Elok terletak pada badannya yang langsing.
Benarkah cakap-cakap mengatakan Dr Nur Fasiha ialah ‘pereka fesyen perubatan? Tanya penulis.
Wanita berketinggian 163 sentimeter itu terus tertawa. Beritahu beliau, sebelum ini label Mulan Scarf by Fasiha Latif yang direkanya berjaya menjana keuntungan. Ketika itu dirinya masih menuntut di Dublin.
Melihat kepada momentum hebat tersebut, ia telah mendorong anak ketiga daripada empat beradik itu beralih pula mereka baju perubatan sendiri yang dinamakan sebagai Three O Medical Scrub.
Selain empunya diri yang bertindak sebagai perintis, usaha tersebut turut digembleng bersama dengan suami tersayang, Dr Hazheem Syazwan Husin dan adiknya, Muhammad Ilham.
Sekali lagi, sambutan yang diterima daripada pusat perubatan dan spa kecantikan tempatan amat memberangsangkan.
Ditanya bagaimana cetusan idea menghasilkan set baju berkenaan tercetus, kongsi Dr Nur Fasiha:"Masa itu sebenarnya, saya susah nak mencari set pakaian perubatan dengan kain yang berkualiti, jadi saya terfikir mengapa tidak saya hasilkan sendiri."
Tidak hanya pakaian jenis itu, beliau turut memperluaskan skop pakaian dengan mereka uniform moden yang lain.
Setakat ini, Three O Medical Scrub sudah mengeluarkan empat koleksi dengan 20 warna yang dipasarkan kepada kakitangan perubatan di hospital atau klinik kerajaan dan swasta.
Tutur Dr Nur Fasiha, ‘keghairahannya‘ berniaga mempunyai perkaitan ‘genetik‘ daripada ibu bapa tersayang.
"Ya, kalau nak diikutkan, mak saya pernah menjalankan bisnes minyak atar, sementara ayah terlibat dalam perniagaan jual tayar dan lihatlah saya kini," katanya sambil melepaskan tawa manja.
Tempias aura kakak
Housemanship atau latihan siswazah yang merupakan langkah pertama dalam karier seorang graduan perubatan penuh dengan pelbagai cerita.
Kepada Dr Nur Fasihah, penulis memintanya bercerita tentang pengalamannya sebagai ‘doktor praktikal‘.
Jujur kata beliau, lambakan kerja dan waktu tidak menentu kadangkala akan membuatkan mana-mana pelatih tertekan.
Pun demikian, setiap orang ada cara untuk menangani depresi yang melanda, begitu juga dirinya.
"Jadi apa yang saya buat, saya akan habiskan masa untuk keluar cuci mata bersama kawan-kawan. Selain itu, saya suka habiskan masa dengan famili.
"Lagi pun masa latihan, saya menetap di rumah sendiri, jadi semua makan dan minum yang disediakan ibu sudah cukup membuatkan hati ini bahagia," katanya berseloroh.
Pada penghujung perbualan, seperti yang kami rancang, soalan yang terkait dengan kakaknya, Fathia dilontarkan.
Baca juga ‘Obses dengan duit dan mahu cepat jadi kaya.’ Cik Puan Gojes tak kisah apa orang nak kata
Mengukir senyuman penuh makna, Dr Nur Fasiha hanya berkata, tempias populariti kakaknya memang terkena sedikit padanya.
Ia bermula apabila beliau pernah disunting menjadi pelakon ketika usia 16 tahun. Namun demikian, pelawaan itu ditolak dengan baik.
Akui pencinta makanan Arab itu, dunia seni yang sarat dengan glamor dan penuh asyik bukanlah jiwanya.
"Sebenarnya, saya lebih selesa untuk menjadi model peragaan busana Muslimah dan tudung. Namun, sekarang ini saya lebih selektif kerana perlu membahagikan masa dengan tanggungjawab hakiki sebagai doktor dan bisnes," katanya yang amat mementingkan restu suami dan keluarga dalam melakukan sesuatu perkara.
Seperti yang semua maklum, kebimbangan orang ramai terhadap kes Covid-19 dan influenza membuatkan ramai masih berhati-hati.
Sehubungan itu, sebagai doktor, Dr Nur Fasiha menitipkan pesanan berguna kepada pembaca SinarPlus.
"Saya harap semua orang sentiasa mengamalkan kesedaran kendiri memandangkan kes Covid-19 dan influenza masih ada di negara ini.
"Kalau rasa tidak sihat, pastikan sentiasa pakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri. Penting untuk kita semua bersama-sama membendung penyebaran virus daripada terus berleluasa," nasihatnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.