MENERIMA Anugerah Wartawan TV Terbaik sempena Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2022 merupakan satu pengiktirafan terbesar buat Mas Zharif Zhafri Abdul Azid.

Meskipun baru menerjah dunia kewartawanan kira-kira enam tahun lalu, laporannya bertajuk ICU Seluruh Negara Melebihi Kapasiti berjaya mengetepikan empat finalis hebat lain.

Ketika pujian diungkapkan, Mas Zharif atau selesa disapa sebagai Zharif sahaja tersenyum malu sambil bibirnya mengukir senyuman.

BACA JUGA:  Perlu tambah darah setiap bulan, makan ubat dan kena suntik. Bee Aishah tetap mahu terus jadi anak seni

Pertemuan kami pada petang Jumaat baru-baru ini juga telah memberi peluang kepada SinarPlus mengenali sisi dirinya yang lebih mendalam.
Hadir pada waktu yang tepat seperti dijanjikan, Zharif kelihatan begitu bersemangat, sesuai dengan jati dirinya sebagai seorang wartawan.

Barangkali ramai sudah maklum, beliau merupakan anak kepada pembaca berita dan pengacara TV3 terkenal pada era 1990-an, Abdul Azid Desa atau Aziz Desa.

Justeru, berdasarkan firasat penulis, tidak hairanlah mengapa Zharif berada dalam arena ini sekarang. Sudah tentu darah kewartawanan arwah bapa mengalir deras dalam tubuhnya.

Namun, ada hal lain yang menjengah halwa telinga kebanyakan pengamal media. Kehadirannya tidak lain tidak bukan adalah berdasarkan pengaruh Aziz Desa.

Pun demikian, apabila kami duduk bersama dan bercerita, inti pati kisah yang terpacul daripada mulutnya ternyata sangat kontra dengan info yang bertebaran.

TAK TUMPANG GLAMOR
Tulus daripada hati yang terdalam, Zharif berkata, desas-desus itu tidak benar sama sekali. Namun, akuinya pernyataan salah itu memang sering didengari.

Justeru, menerusi platform SinarPlus, kami meminta agar pemuda berusia 30 tahun itu memberi pencerahan.

“Jujur saya katakan, berdirinya saya di sini sebagai seorang wartawan bukanlah disebabkan dorongan atau pengaruh yang ada pada ayah, tetapi kerana berkat usaha saya sendiri.

“Pada asalnya, tak terlintas langsung untuk saya menjadi seorang wartawan atau pembaca berita. Itu bukanlah impian saya, apatah lagi mahu menjadikannya sebagai satu kerjaya berterusan.

Namun, segalanya bermula dengan satu ‘insiden‘ yang tidak dijangka,“ katanya dengan intonasi yang tenang.

Penjelasan Zharif itu membuatkan penulis tertanya-tanya apakah maksud di sebalik frasa ayat yang disebutnya.

Terlebih dulu, ujar personaliti popular tersebut, dirinya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang Komunikasi Media. Di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Zharif memilih untuk mendalami jurusan Filem dan Televisyen.

“Untuk melengkapkan pengajian, saya dan juga pelajar-pelajar lain perlu menjalani latihan industri selama tiga bulan. Justeru, saya mencuba nasib dengan memohon menjadi seorang jurukamera di Media Prima Berhad.

“Namun tanpa diduga, saya ditawarkan untuk menjadi seorang wartawan dan bukan posisi seperti yang dipohon. Walaupun agak berat untuk terima, saya cuba untuk mengalas tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan,“ jelasnya.

Kesungguhan Zharif bercerita membuatkan segala titik fokus penulis terarah padanya. Sambung beliau, sepanjang mengikuti latihan amali, teknik menulis skrip, cara tepat mendapatkan informasi dan skil menemubual orang ramai pelbagai peringkat usia baru dipelajari dan difahami.

“Saya akui, tempoh pembelajaran begitu singkat bagi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa pengetahuan dalam bidang ini, tetapi saya telah memberi yang terbaik. Syukur, selepas itu, saya telah ditawarkan meneruskan kerjaya sebagai wartawan di Media Prima,“ ujarnya.

Kepada SinarPlus, Zharif berkata, hakikatnya, profesion sebagai seorang pengamal media adalah bertentangan sama sekali dengan identiti yang terzahir dalam dirinya sejak kecil.

Menurut pemuda berasal dari Langkawi, Kedah itu, pendiam, tidak suka berbual, suka menyendiri dan sifat-sifat lain seumpamanya adalah karakternya.
“Semua perilaku itu juga benar-benar berbeza dengan apa yang dimiliki oleh arwah bapa saya yang berbakat dan berani ke depan. Itulah, sehingga kini saya tidak percaya bahawa diri saya memiliki keupayaan untuk menjadi seorang wartawan sedangkan minat dan hala tuju yang disasarkan jauh berbeza,“ ujarnya.

Belum sempat penulis mengajukan pertanyaan yang sedikit kontroversi, Zharif terus memperihalkan mengapa beliau menggunakan nama pentas arwah ayah dalam namanya.
Jelas kelihatan pada skrin televisyen TV9, TV3 atau di media cetak, waima pada papan iklan gergasi, byline Mas Zharif Zhafri Aziz Desa terpampang.

“Begini, saya seboleh-bolehnya tidak mahu dikenali sebagai anak kepada Aziz Desa. Saya mahu orang ramai kenali diri saya disebabkan bakat yang ada dan bukannya kerana bayangan ayah.

“Sewaktu memulakan karier, saya menggunakan nama sebenar iaitu Mas Zharif Zhafri Abdul Azid. Pun begitu, disebabkan pihak pengurusan meminta saya untuk menggunakan nama ayah, akhirnya saya akur.

“Namun, matlamat utama mereka berbuat demikian bukanlah untuk menumpang populariti ayah. Ia adalah bertujuan untuk dijadikan sebagai kesinambungan atau satu ‘tanda legasi‘ arwah Aziz Desa di stesen televisyen penyiaran ini,“ ujar personaliti dan wajah TV9 itu berterus-terang.

Iklan

PENGALAMAN HIBA
Naratif cerita dan dedikasi yang ditonjolkan seorang sosok bernama Zharif memberi satu rumusan kepada kita bahawa jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Beliau dilihat berani menongkah arus dengan memecahkan tembok dirinya sendiri. Kadangkala situasi ‘keterdesakan‘ akan membuatkan kita tanpa sengaja mengetahui dan merombak kebolehan yang selama ini tidak diketahui. Itulah yang berlaku pada Zharif.

Lebih manis, anak sulung daripada enam beradik itu berjaya meraih anugerah yang sangat didambakan oleh seorang wartawan walau dianggap masih junior.

“Segalanya diatur cantik oleh ALLAH SWT. Jujur saya katakan, setiap pengamal media mengimpikan untuk menerima penganugerahan besar seperti ASA mahupun daripada Malaysian Press Institute (MPI) yang semua orang tahu ia diadili oleh juri profesional yang arif dalam menilai hasil kerja seseorang.

“Puji dan syukur kepada-NYA, pengiktirafan ASA telah membuktikan kepada orang ramai bahawa kerjaya dan peluang yang saya peroleh sepanjang bergelar wartawan bukanlah disebabkan oleh pengaruh bapa,“ katanya.

Selain ASA, sebenarnya tuan punya badan membuktikan beliau sememangnya wartawan muda yang sudah berada dalam liganya tersendiri.
Dua tahun sebelumnya, Zharif dan rakan sejawat berjaya menggondol Hadiah Wartawan Muda A Samad Ismail dan meraih kemenangan dalam kategori Berita Video Terbaik pada Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021.

“Saya dengan penuh harapan berdoa agar dapat terus mengungguli kemenangan selepas ini. Saya beriltizam untuk menghasilkan laporan terbaik dan manfaatnya dapat dikongsi bersama masyarakat di negara ini,“ katanya yang memaku hasrat untuk membuat liputan antarabangsa dan menjadi wartawan yang mengikuti Perdana Menteri ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik dan lain-lain.

Ya, wartawan sejati sememangnya tidak lekang dengan pengalaman. Saat diaju soalan itu kepada Zharif, beliau sendiri tidak pasti adakah perkongsiannya benar-benar boleh diangkat sebagai momen paling berharga.

Selepas diminta berulang kali, lelaki yang gemar dengan sukan menembak itu memperincikan satu persatu.

Iklan

“Mungkin ia (pengalaman) tidak seberapa jika dibandingkan dengan pengalaman wartawan ‘otai‘ lain. Paling tak boleh saya lupakan adalah sewaktu laksanakan tugasan ketika gelombang pertama Covid-19 menghantui negara.

“Laporan saya itu berkisarkan tentang katil di ICU penuh disebabkan oleh pesakit Covid-19. Ketika melakukan penggambaran di sebuah hospital, di depan mata saya sendiri, kondisi pesakit wanita bernama Zafirah yang saya sedang temu bual tiba-tiba merosot mendadak.

“Beliau menolak untuk ditidurkan kerana takut tidak akan bangun semula. Beliau merayu untuk tidak menjalani prosedur intubasi. Namun apakan daya, demi kebaikannya langkah itu terpaksa diambil,“ katanya yang terkedu melihat dan mendengar sendiri rayuan seorang pesakit.

Baca lagi ‘Obses dengan duit dan mahu cepat jadi kaya.’ Cik Puan Gojes tak kisah apa orang nak kata 

Kisah hiba berkenaan tidak berhenti setakat di situ sahaja. Sebaik Zharif kembali ke bilik berita, beliau menerima berita Zafirah telah meninggal dunia.

“Sesungguhnya, pemberitahuan itu amat mengejutkan saya dan kru. Dengan perasaan sedih, kami mengolah semula jalan cerita. Itulah berita yang menobatkan saya sebagai pemenang ASA. Ya, saya gembira, namun pada masa sama, pesakit itu sentiasa berada dalam dakapan doa saya,“ katanya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by sinarplus (@sinarplus)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi