‘Saya sudah  fikir akan mati, tapi ALLAH beri saya peluang sekali lagi’. Annie Mosha imbau tragedi disambar petir

KECIL molek orangnya, namun cukup berbakat besar. Kelibat selebriti ini mungkin jarang kelihatan pada lembaran akhbar mahupun di platform media sosial.
Pun demikian, semakin lama masa berputar ligat, sudah banyak drama yang dibintanginya di layar kaca.

Bukan itu sahaja, Annie Mosha uga pernah dilamar menjadi model, pengacara termasuk berceloteh di konti sebagai penyampai radio ERA.

Beliau yang dipilih mengisi ruangan penghias muka depan SinarPlus kali ini hadir sambil ditemani pengurus ke Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor dengan semangat waja dan riak wajah yang berseri-seri.

Baca ni Berdiri di atas kaki sendiri, Mas Zharif Aziz Desa tak tumpang populariti arwah bapa. Anugerah bukti kemampuan diri

Sambil membiarkan berus mekap ‘menari-nari‘ pada wajah, beliau membongkar sedikit demi sedikit diari perjalanan hidupnya sebagai anak seni.

Kalau dicongak, ia sudah bermula pada tahun 2018. Namun, penulis sengaja bertanya kembali untuk mendapatkan kepastian.

“Ya, saya dikira masih baru kak dalam industri ini. Mungkin ada yang masih belum mengenali diri saya. Pun begitu, saya tak terkilan kerana minat yang mendalam membuatkan saya terus memilih arena ini sebagai kerjaya utama,“ ungkapnya merendah diri.

Mengimbas kembali detik awal bergelar pelakon, ujar anak kelahiran Selangor itu, segalanya bermula secara kebetulan selepas beliau melihat satu iklan uji bakat.

“Dulu, saya memang tak tahu cara nak tembus dalam dunia seni ini. Sebaik tamat belajar, saya buka bisnes kafe siber, pendapatan memang cukup-cukup makan. Namun, hati saya kuat mengatakan perniagaan ini bukan jiwa saya.

“Punyalah nak jadi anak seni, saya selalu berangan-angan, siap ada buku yang penuh dengan tulisan skrip dan lagu lagi. Mahu dijadikan cerita, suatu hari yang tak terjangka, saya nampak iklan mencari pelakon. Apa lagi, saya tak nak lepaskan peluang keemasan itu,“ ceritanya yang terlebih dulu bergelar model iklan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by sinarplus (@sinarplus)

BELAJAR BUKA AKAUN IG
Rezeki memang tidak pernah salah alamat. Begitulah takdir Annie apabila impiannya menjadi anak wayang terzahir.

Biarpun tidak memiliki waima secebis pengalaman pun, pengarah tersohor tanah air, Sheila Rusly dapat menghidu bakatnya lantas menawarkan satu watak khas dalam drama Leftenan Zana.

“Saya bersyukur kerana laluan saya dalam dunia seni begitu sempurna,“ ujarnya yang kemudian turut berlakon dalam drama popular lain seperti Pia dan Utusan Cinta Buat Adam.

Orang kata, dunia seni penuh cerita di sebaliknya. Belum lagi frasa ayat dilengkapkan penulis, Annie terus bercerita pengalaman yang mungkin tidak dapat dilenyapkan dalam benak fikiran buat selama-lamanya.

Beritahu personaliti itu, pada saat hati berbunga-bunga melangkah ke set penggambaraan, beliau dimarahi Sheila dek kerana kekok dalam lakonan.

“Waktu awal-awal jadi pelakon, lakonan saya agak kaku, itu sebab kena marah. Pun demikian, saya anggap itu lumrah kerana kita kan masih baharu.

“Paling tidak dapat dilupakan ketika Sheila tanya tentang media sosial. Bila saya jawab saya tiada akaun Instagram (IG), beliau terus marah saya. Kata Sheila, jangan jadi katak bawah tempurung (sambil tertawa kecil). Saya tidak kisah dan tak ambil hati langsung. Saya anggap teguran itu sebagai satu daripada proses pembelajaran,“ katanya.

Seusai itu, dengan bantuan seorang staf produksi Leftenan Zana yang menyaksikan Janna Nick sebagai heroin, Annie terus belajar mendaftar akaun dan mula aktif dalam media sosial selepas itu.

“Sebelum ini, saya rasa tiada kepentingan untuk berbuat demikian, tapi bila sudah bergelar pelakon, saya akur kerana situasi menjadi berbeza. Alhamdulillah, Janna juga banyak membantu memberi tunjuk ajar,“ ujarnya yang sudah mempunyai 207,000 pengikut.

BACA JUGA:  Perlu tambah darah setiap bulan, makan ubat dan kena suntik. Bee Aishah tetap mahu terus jadi anak seni

TRAGEDI MENAKUTKAN
Terlerai sudah sedikit biodata dirinya yang tidak didedahkan sebelum ini. Seterusnya ritma perbualan kami menyongsong ke arah sisi lain pula.

Ya, secebis nama Annie Mosha kedengaran cukup unik. Tanya penulis, adakah itu nama gabungan ibu dan bapa tersayang ataupun milik artis ternama dari negara-negara lain?

Terdengar tawanya yang manja, empunya diri memberi pencerahan. Ujar beliau, orang tuanya gemarkan nama yang ringkas sahaja.

“Selepas saya menerjah ke lapangan seni, saya tambah nama ‘mosha’ yang bermaksud kucing. Mak saya berketurunan Bugis dan ‘mosha’ ialah salah satu perkataan Bugis.

“Kebetulan mak memang suka kucing. Malah, jika nampak ada haiwan sakit atau cedera, dia akan bawa balik rumah dan bagi makan. Saya pun sepertinya sukakan si bulus. Pernah sebelum ini saya bela kucing hingga mencecah 14 ekor. Waktu itu saya belum jadi pelakon lagi,“ katanya.

Melihatkan personaliti Annie yang lemah lembut di depan sebenarnya tidak mewakili diri beliau yang sebenar.

Aktres itu seorang yang berjiwa lasak. Apabila dibelek kembali di laman IG, memang dibanjiri gambar dan video aktiviti wanita cantik manis itu di gimnasium. Hutan belantara juga diterokai dan kolam renang akan berkocak sekali-sekala.

“Sejak kecil lagi, jiwa saya memang kental dan saya juga banyak bergaul dengan kawan lelaki. Kebetulan saya hanya ada abang dan tiada adik beradik perempuan. Aktiviti saya lebih kepada panjat pokok, memancing dan mandi sungai sehinggakan abah pernah bawa rotan kejar saya untuk pulang balik rumah,“ katanya yang mengimbau memori indah yang sehingga masih tersemat rapi.

Sifat tidak duduk diam yang sudah sebati dengan ‘genetiknya‘ terbawa-bawa sehingga ke alam dewasa. Kali ini, kegiatannya sedikit lain iaitu lebih mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Iklan

“Saya suka masuk hutan sama ada untuk mendaki atau berkhemah. Orang kata saya ini hati kering sebab tak takut walaupun masuk hutan sendirian. Kebetulan saya ini jenis introvert, jadi hutan memang tempat yang sesuai untuk saya mencari ketenangan dan kedamaian,“ ungkapnya.

Sekental mana pun empunya diri, kejadian disambar petir di sebuah hutan sebelum ini ibarat mati hidup semula.

“Kejadian itu berlaku ketika saya bersama pengurus mendaki sebuah bukit yang terletak di belakang rumah. Memang cuaca nampak mendung, tapi kami tak sangka akan hujan. Mungkin kesilapan pada masa itu, kami tak matikan telefon meski berada di puncak bukit.

“Saya sudah nampak kilat seolah-olah mendekati kami. Jadi, kami ambil keputusan untuk turun. Entah bagaimana, saya dapat rasakan hujung-hujung ‘ranting‘ kilat menyambar kaki dan saya terus terlentang.

“Telinga pun jadi pekak dan pandangan waktu itu berbalam-balam biru. Saya sudah fikir akan mati, tapi ALLAH beri saya peluang sekali lagi untuk bernafas di muka bumi ini,“ katanya yang bersyukur kerana pakaian dan kasut jenis kulit yang dipakai menjadi penyelamat.

Cerita Annie, pengurus beliau turut terkena ‘percikan‘ petir, tetapi tidak seteruknya.
Memang wujud rasa takut dan trauma, namun pelakon Suamiku Lelaki Pendosa itu dengan nada berseloroh berkata, disebabkan minat, sebulan selepas insiden berkenaan, dirinya kembali memanjat bukit.

Baca lagi ‘Obses dengan duit dan mahu cepat jadi kaya.’ Cik Puan Gojes tak kisah apa orang nak kata 

HUBUNGAN DENGAN MERTUA
Pertemuan empat mata pada petang itu mahu dinoktahkan cepat bagi mengelak Annie terperangkap lebih teruk dalam aliran trafik nanti.

Namun demikin, penulis tetap mahu mengajukan pertanyaan terakhir iaitu tentang kehadiran Mr Right.

Rupa-rupanya, semasa wawancara kami berlangsung, beliau lagi seminggu bakal menamatkan zaman bujang.

Ketika artikel ini disiarkan, Annie sudah hampir sebulan bergelar isteri kepada bekas kapten pasukan bola sepak Perak FA, Nasir Basharudin.

Iklan

“Bukan bermaksud mahu menyembunyikan hal sebenar, tapi kami khuatir apa yang dirancang tak menjadi kenyataan.

“Apa yang saya boleh kongsikan, kami berkenalan sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) akibat Covid-19. Daripada hanya sebagai kawan, akhirnya kami serius untuk mendirikan mahligai bersama atas persetujuan keluarga.\

“Mertua jenis memahami dan menerima kehadiran saya seadanya. Saya suka berada dalam keluarga suami kerana mereka selalu saling berkomunikasi dan berkumpul ramai-ramai,“ katanya.

Diminta berkongsi pandangan mengenai hubungan menantu dan mertua yang selalunya ‘tidak sebulu‘, Annie mengakui bimbang situasi tersebut terjadi kepada diri sendiri.
“Seperti saya katakan tadi, ibu mertua saya okey. Alhamdulillah, setakat ini hubungan kami sangat baik.

“Untuk memberi tip atau pandangan lebih luas lagi, rasanya diri saya terlalu ‘mentah‘ dalam hal kekeluargaan. Namun, pada perspektif awal saya, jika timbul sebarang masalah dalam hubungan, lebih baik berbincang dan kena ada pihak yang mengalah. Ingat, mengalah tidak semestinya kita salah.

“Minta maaf walaupun bukan salah kita dan ia sesekali tidak akan menjatuhkan kita. Sesungguhnya, cara mulia itu dapat mengeratkan lagi hubungan. Jadi diri sendiri, selalu bergaul mesra dan cuba ‘beli jiwa‘ (ibu mertua), tetapi jangan fake. Itu yang saya cuba praktikkan,“ ujarnya.

Sebelum betul-betul mahu mengucapkan selamat tinggal, soalan ala-ala provokasi dilontarkan. Tidak takutkah ‘saham‘ sebagai artis jatuh mendadak selepas bertukar status

Jawab Annie dengan wajah penuh keredupan, beliau lebih percaya kepada rezeki.
Bagusnya tentang tuan punya badan, beliau sudah punya perancangan lain untuk masa hadapan dan tidak mahu sekadar menjadi pelakon buat selama-lamanya.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi