MENERIMA pelukan dan ciuman daripada jururawat, tiada siapa menduga ia adalah saat akhir hayat si kecil Zarif Azri Zakuan, 12.
Baru-baru ini tular video yang memaparkan Zarif menerima sentuhan terakhir jururawat yang pernah menyantuninya di Unit Dialisis Pediatrik, Wad 9C, Hospital Tuanku Azizah, Kuala Lumpur.
Esak tangisan para jururawat meruntun hati warga maya. Lebih memilukan hanya selepas sembilan hari pertemuan terakhir si kecil itu pergi menghadap ILAHI.
Baca juga: Terlebih minum air boleh bawa maut, pesakit buah pinggang, jantung diminta lebih berwaspada
Ramai yang menyangka video berkenaan terkini. Sebenarnya video tular itu telah dirakamkan pada 17 Mei 2020.
"Posting ini ditujukan khas kepada semua jururawat dan jururawat dialisis KK1 IPHKL dan Wad Dialisis Peadiatrik 9C Hospital Tuanku Azizah
"Terima kasih atas segala penjagaan dan kasih sayang sepanjang perjalanan kami sebagai pesakit buah pinggang. Hanya ALLAH sahaja yang dapat membalas jasa kalian. Atas semua pengorbanan, semoga anda semua dilimpahkan rezeki dan kebahagiaan kerana membantu kami. Kalian wira yang tak didendang buat kami,” katanya menurut titipan kapsyen.
"Saya muat naik video tersebut sebagai tanda apreasiasi kepada para jururawat yang menjaga Zarif. Tiga tahun berlalu kami belum betul-betul menyatakan penghargaan buat mereka,” ujarnya ketika dihubungi SinarPlus.
Baca juga: Syawal paling sedih, anak menanggung sakit buah pinggang bocor saat suami pergi buat selama-lamanya
DIALISIS SEJAK 2018
Menurut Anna, Zarif mula menjalani rawatan dialisis sejak tahun 2018 pada usia 10 tahun selepas mengalami kelainan buah pinggang kongenital.
"Zarif dilahirkan dengan masalah pada buah pinggangnya. Malah ketika dalam kandungan kelainan pada organ itu sudah dapat dikesan.
"Ketika usianya masih kecil, buah pinggang sudah tidak dapat berfungsi seratus peratus. Ia semakin merosot sehingga perlu dialisis,” kata Anna yang meletakkan jawatan sebagai eksekutif kewangan demi menjaga Zarif.
Anna mengorbankan kerjayanya kerana Zarif memerlukan penjagaan yang rapi terutamanya kateter pada bahagian dada yang perlu dipastikan kebersihannya.
Pemakanan juga perlu diberi perhatian agar tidak mengambil cecair berlebihan daripada yang dibenarkan.
"Ketika video itu dirakam 8 Mei 2020, hari discaj. Masa tu sudah lima hari Zarif tidak dialisis. Port pada dadanya sudah block. Doktor berusaha untuk mendapatkan tapak pada bahagian lain seperti dada sebelah kiri dan leher dan tetapi semuanya didapati terhalang (blocked).
Baca juga: Kanak-kanak juga sakit buah pinggang, dikenali sebagai sindrom nefrotik
[caption id="attachment_107382" width="800"]"Gambar percutian terakhir Zarif di Port Dickson. Ketika itu Ramadan. Kami takut dia tak sempat sampai Syawal, jadi siap-siap rakam gambar raya. Rupanya memang tak sempat sambut raya, Zarif 'pergi' 24 Ramadan, seminggu nak raya," kongsi Anna.[/caption]
DISAHKAN PALIATIF
Mempunyai pengalaman menjaga anak sakit buah pinggang dan bergaul dengan komuniti pesakit buah pinggang, Anna berpesan kepada ibu-ibu lain agar peka kepada pemakanan si kecil.
"Saya harap ibu-ibu peka akan perkara-perkara yang boleh menggugat fungsi buah pinggang. Tak cukup minum air pun boleh ganggu buah pinggang. Mi segera dan makanan ringan, elakkanlah,” katanya.
Video berkenaan yang menerima lebih 20,000 tanda suka di Instagram, rata-rata memuji ketabahan Anna dan sifat pengasih para jururawat. Ramai yang menitiskan air mata apabila mengetahui Zarif sudah tiada lagi.
-"I can see all the love from a women who always have motherhood soul here even though anak orang lain tapi bila kita jaga kita rawat auto rasa sayang even budak yang kita tak kenal pun kita akan rasa sayang. Rest well there anak syurga you’re finally good there.”
"Subhanallah. semoga syurga buatmu anak. Al-Fatihah. Dan tariklah bersama bonda dan ayahanda bersama.Setiap ujian tanda ALLAH sayang kita. Semoga bonda kuat hadapi ujian ini. Bertuah arwah mendapat kasih sayang semua insan.”
-"AllahuAkbar, sungguh, kami healthcare worker sentiasa cuba menumpang rahmat ALLAH buat para pesakit dan ahli keluarga yang sebenarnya memberi kekuatan buat kami teruskan perjuangan kehidupan. Al-Fatihah buat anak syurga dan keluarga.”
-"Ya ALLAH sedihnya, berlari dan bermainlah di taman syurga. Moga ALLAH sentiasa merahmati kedua orang tuanya. Walaupun dipinjamkan seketika.”
Baca juga: Adik bongsu sanggup derma buah pinggang demi menyelamatkan abang, kisah ini buat netizen sebak
7 INFO HEMODIALISIS BUAH PINGGANG KANAK-KANAK
1-Dialisis adalah rawatan yang mengambil alih tugas-tugas yang dilakukan oleh buah pinggang apabila ia didapati gagal berfungsi. Rawatan ini berkemungkinan untuk seumur hidup kecuali pemindahan buah pingggang.
2-Buah pinggang tiruan (haemodialyzer) disambung dengan mesin penapis yang berfungsi membuang sisa-sisa kotoran dan cecair yang berlebihan dari badan.
3-Prosedur ini dijalankan di unit khas (unit hemodialisis) di hospital dan memakan masa empat jam setiap sesi untuk tiga sesi seminggu
4-Pesakit buah pinggang kanak-kanak memerlukan fistula supaya darah daripada badan dapat mengalir ke buah pinggang tiruan.
5-Pakar bedah akan membuat fistula ini dengan menyambungkan salur darah arteri dengan vena sehingga menjadi salur darah yang lebih besar.
6-Antara risiko rawatan hemodialisis ialah pembekuan darah dalam fistula, tiub dan buah pinggang tiruan semasa dailisis, masalah tekanan darah rendah semasa dialisis dan jangkitan pada fistula atau darah.
7-Kanak-kanak pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis perlu melalui proses pemulihan seperti berikut:
-Mengawal pengambilan air minuman seperti yang dicadangkan oleh doktor.
-Jangan beri mereka makanan yang mengandungi fosfat yang tinggi.
-Beri makanan kurang garam sekiranya dinasihatkan oleh doktor.
-Galakkan senaman untuk membantu menguatkan tulang dan menggalakkan badan berpeluh tetapi jangan benarkan mereka minum terlalu banyak selepas itu.
-Pastikan pesakit kanak-kanak dapat menghadiri sekolah.
-Galakkan pesakit membuat kerja-kerja sekolah, melukis, membuat kraftangan atau membaca semasa sesi hemodialisis sebagai cara mengisi masa terluang.
Baca juga: [VIDEO]Cinta sejati! Isteri sanggup derma buah pinggang untuk suami
Sumber: MyHealth KKM
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi