JIKA dibuat undian secara rawak, ramai yang akan memberi pandangan bahawa masalah buah pinggang hanya berlaku pada golongan dewasa. Namun, penyakit itu sebenarnya boleh menyerang kanak-kanak.

Justeru, kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil, mereka sememangnya dinasihatkan supaya lebih peka terhadap kesihatan si kecil yang sedang membesar. Menurut portal perubatan antarabangsa emedicine.medscape.com, penyakit buah pinggang atau turut dikenali sebagai sindrom nefrotik sudah boleh dikesan sejak bayi dalam kandungan lagi.

Portal itu juga menerangkan, sindrom berkenaan terjadi antara dua hingga tujuh kes per 100,000 ini dengan nisbah 2:1 bagi lelaki dan perempuan di seluruh dunia.

Untuk menjawab beberapa pertanyaan popular mengenai penyakit berkenaan, Pakar Pediatrik, Hospital Pantai Ampang, Dr Yamuna Ramadas yang dijemput sebagai panel dalam program Doktor dan Anda (DNA) terbitan SinarPlus mempunyai huraian lanjut.

Dr Yamuna.

Dr Yamuna memberitahu, sindrom nefrotik adalah satu keadaan buah pinggang yang mana seorang kanak-kanak akan kehilangan protein dalam air kencing sehingga menyebabkan aras protein dalam darah turut berkurangan.

“Apabila aras protein dalam darah rendah, ia akan menyebabkan pembengkakan di sekitar mata, kaki dan perut,” katanya.

Ujar pakar itu, kes-kes kanak-kanak yang didiagnos dengan sindrom nefrotik lebih tinggi di negara-negara Asia, berbanding di negara Barat lain.

“Di Malaysia, pada setiap tahun, berkemungkinan purata jangkitan kes baharu adalah dianggarkan sebanyak dua hingga 15 kes daripada 100,000 orang kanak-kanak,” ungkapnya.

Mengulas lanjut, kata Dr Yamuna, sindrom nefrotik biasanya berlaku tanpa sebab apabila seseorang kanak-kanak itu berumur satu hingga 12 tahun. “Namun demikian, ada juga beberapa kes yang merekodkan pesakit yang datang dalam kalangan mereka yang berumur kurang daripada satu tahun, tetapi ia direkodkan jenis kontigental,” terang pakar itu.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Menjawab pertanyaan apakah tanda-tanda seorang kanak-kanak boleh mendapat sindrom nefrotik, Dr Yamuna menjelaskannya secara terperinci.

“Antara tanda-tanda kanak-kanak diserang sindrom nefrotik adalah berlaku pembengkakan yang sangat ketara pada bahagian anggota badan.

“Bengkak (oedema) sindrom nefrotik biasanya berlaku sekitar kaki, sekeliling mata (sembap) dan perut. Mungkin ada juga kanak-kanak yang mana air kencingnya akan mengalami perubahan seperti kelihatan berbuih atau kuantiti air kencingnya berkurang,” katanya.

Bagi kanak-kanak yang lebih tinggi usianya termasuk orang dewasa, penyakit itu boleh tercetus ekoran daripada masalah perubatan lain seperti diabetes atau lupus eritematosus sistemik.

“Dalam erti kata lain, nefrotik boleh berlaku pada semua peringkat umur, namun demikian, ia kerap berlaku pada kanak-kanak,” katanya.

Kemunculan semula

Kepada ibu bapa di luar sana, Dr Yamuna memberi peringatan tegas. Katanya, ibu bapa perlu membawa anak mereka mendapatkan rawatan dan dilarang menunggu sehingga bengkak sudah melarat.

“Kita lihat, kebanyakan ibu bapa membawa anak berjumpa pakar setelah kaki dan perut membengkak dengan teruk. Ingat, pembengkakan itu boleh merebak kepada paru-paru kanak-kanak tersebut,” maklumnya.

Mengenai rawatan pencegahan pula, Dr Yamuna berkata, doktor lazimnya akan akan memberikan ubat steroid iaitu prednisolone. Dos ubat dikira berdasarkan berat dan tinggi kanak-kanak.

“Prednisolone ialah ubat kortikosteroid yang sering kali digunakan untuk merawat gejala sindrom nefrotik. Ubat ini akan diberi untuk durasi antara 30 hari hingga tiga bulan atau lebih, bergantung kepada respons pesakit.

“Biasanya, kebanyakan pesakit sindrom nefrotik akan menunjukkan respons positif dengan rawatan ubat prednisolone. Pun demikian, penyakit berkenaan kerap berlaku semula atau istilah yang sentiasa disebut, relapse,” katanya.

Beritahu pakar itu, antara tanda utama keberkesanan ubat berkenaan adalah tiada protein dalam air kencing. Simptom awal pertama relapse pula, merujuk kepada kemunculan semula protein (dalam air kencing). “Oleh itu, pemantauan air kencing di rumah setiap hari dengan menggunakan urine dipstick adalah amat penting untuk mengetahui keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang relapse,” jelasnya.

Dr Yamuna turut menyenaraikan beberapa kesan sampingan pengambilan steroid dalam jangka masa pendek. Antaranya:

i) Selera makan akan meningkat.

ii) Kanak-kanak menjadi lebih aktif.

iii) Sakit perut.

“Jika pengambilan ubat jenis itu diambil lebih panjang dengan dos yang lebih tinggi pula, kanak-kanak tersebut mungkin berhadapan masalah selaput mata, tekanan darah meningkat, mengalami kesakitan pada otot dan jerawat akan tumbuh,” ujarnya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

90 peratus pulih

Sementara itu, Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan Am, Hospital KPJ Rawang, Dr Shafira Datuk Dr Mohamad Sha turut melontarkan pandangannya.

Ujarnya, untuk individu normal, sepatutnya tiada kandungan protein (0 gram) dalam air kencing seseorang. “Biasanya, lebihan protein di dalam air kencing pesakit sindrom nefrotik akan melebihi 3.5 gram sehari. Bukan itu sahaja, keadaan itu juga memerlukan kriteria seperti kurang albumin dalam darah. Biasanya, kadar albumin dalam darah adalah 3.5 hingga 5.9 gram/desiliter,” jelasnya.

Kata beliau, kedua-dua ciri yang dinyatakan itu adalah penting untuk mengesahkan seseorang berdepan dengan gejala berkenaan.

“Namun demikian, jangan khuatir kerana hampir 90 peratus pesakit berjaya bebas, meskipun ada kes berulang direkodkan,” katanya

Seperti kata Dr Yamuda, Dr Shafira memberitahu, secara umumnya, sebab mengapa berlakunya sindrom nefrotik dalam kalangan kanak-kanak tidak diketahui atau dalam bahasa perubatannya dikenali sebagai idiopatik.

Namun demikian, terdapat kajian yang mendapati berkemungkinan besar penyakit berkenan berkait rapat dengan sistem imun badan.

Pada masa sama, sindrom nefrotik juga dikatakan tidak diwarisi dalam keluarga (tiada elemen genetik sindrom nefrotik) dan ia turut tidak disebabkan oleh jangkitan yang khusus ataupun pemakanan yang salah, kata beliau.

Iklan

Menjawab satu soalan, masalah kesihatan itu kata Dr Shafira boleh disahkan melalui beberapa kaedah selain pemeriksaan air kencing.

Antaranya:

i) Pemeriksaan kuantitatif kandungan protein yang hilang dalam air kencing dalam sehari.

  • Air kencing boleh dikumpul dalam masa 24 jam bagi kanak-kanak yang lebih besar atau orang dewasa. Bagi kanak-kanak yang kecil, satu sampel air kencing secara rawak pada waktu pagi boleh diambil.

ii) Ujian darah untuk paras protein (albumin) dalam badan, fungsi buah pinggang dan paras kolesterol.

  • Paras kolesterol biasanya tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami sindrom nefrotik.

iii) Ujian makmal lain yang perlu dilakukan bergantung kepada gejala klinikal kanak-kanak tersebut atau ditentukan oleh pakar.

“Justeru, jika anak kecil menunjukkan gejala-gejala kepada masalah sindrom nefrotik, usah berlengah lagi. Segeralah dapatkan pemeriksaan lanjut,” sarannya.

Sangkaan awal Wildan Ahmad digigit nyamuk, alami alergi meleset

Wildan Ahmad.

PADA awalnya, Puteri Nazrahtul Omar menganggap badan anaknya, Wildan Ahmad Mohd Shazli, 3, menjadi bengkak dek digigit nyamuk atau serangga sahaja.

Jika tidak pun, kemungkinan si kecil itu mungkin berhadapan dengan alahan kepada apa-apa jenis makanan atau persekitaran.

Namun demikian, dari semasa ke semasa keadaan Wildan Ahmad semakin bertambah parah, kata Puteri Nazrahtul.

“Mata anak bongsu saya menjadi sangat sembap dan kakinya juga membengkak. Apabila saya tekan kakinya, ia seolah-oleh menunjukkan seperti berlaku bengkak air. Tanpa membuang masa, saya terus membawanya untuk melakukan pemeriksaan lanjut,” katanya yang turut memaklumkan ukuran saiz lampin pakai buang anaknya naik ke saiz yang lebih besar dalam tempoh dua minggu sahaja.

Iklan

Bercerita mengenai insiden yang berlaku pada tahun 2018 itu, Puteri Nazratul berkata, dirinya terkejut apabila zuriatnya disahkan mempunyai prognosis kepada sindrom nefrotik selepas membuat ujian air kencing.

“Pada masa itu, protein dalam air kencing anak saya menghampiri 3 gram. Jujur saya cakap, itulah kali pertama saya dengar mengenai sindrom nefrotik ketika beliau barusia satu tahun lima bulan,” katanya.

Berdasarkan rekod, tiada seorang pun ahli keluarga wanita itu mempunyai sindrom nefrotik.

Ungkap ibu kepada tiga orang anak itu, beliau kemudian secara berterusan membuat pembacaan bagi mendalami dan memahami apa itu sindrom yang dideritai Wildan Ahmad.

Justeru, bagi memastikan kondisi Wildan Ahmad sentiasa terjaga, beliau telah membuat satu diari khas yang mencatatkan segala rutin harian anaknya.

“Saya menulis semuanya setiap hari. Saya juga kena sentiasa peka keadaannya terutama melibatkan dos ubat yang dimakannya, berat badan yang dicatatkan dan bacaan air kencingnya.

“Sebenarnya, dalam hal ini, ibu bapa yang mempunyai anak yang menghidap sindrom nefrotik perlu ‘tangkap’ lebih awal sebelum anak mereka relapse atau sebelum membengkak dengan memeriksa bacaan air kencing anak setiap hari,” ujarnya.

Setakat artikel ini ditulis, beritahu Puteri Nazrahtul, anak kesayangannya itu masih menerima rawatan secara biopsi. Sebelum ini, Wildan Ahmad pernah diminta makan ubat prednisolone.

“Selepas setahun, sindrom itu nampaknya menyerang kembali dan kali ini lebih kerap berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!