LAMARAN menjadikan Zara Zya sebagai Cover SinarPlus diutarakan penulis tatkala bersua muka dengannya dalam satu majlis.
Meski sibuk dengan urusan kerja, sikap profesional yang ditonjolkannya dalam menjawab segala macam pertanyaan membuatkan kami berbesar hati.
Kali ini, penulis sengaja tidak mahu bersembang banyak tentang soal dunia seni, sebaliknya memilih bercerita tentang isu wanita semasa. Sesuailah dengan kehangatan sambutan Hari Wanita Sedunia minggu ini.
Namun, ia dimulakan dengan soalan yang memang bikin panas. Bukan apa, ramai yang mahu tahu apa hubungannya dengan usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa.
Masakan tidak, di mana ada Zara, di situ ada Alha. Namun, jawapan empunya diri begitu bersahaja.
Ujarnya:"Antara kami berdua hanya sekadar kawan. Insya-ALLAH kalau ada berita baik saya akan kongsikan. Itu sahaja yang saya boleh cakap buat masa sekarang."
Jika disingkap, pemilik nama sebenar, Zainurul Razia Mohd Zainuddin dilihat tidak putus-putus dihimpit dengan kontroversi.
Pun demikian, dirinya tetap kekal tenang. Kata Zara, lebih baik diam seribu bahasa.
Baca ni Fatin tak bersandarkan kekayaan famili, berhempas pulas perah otak popularkan jenama Origina
"Saya ada masalah keresahan (anxiety), jadi lebih baik berdiam diri. Kita tak stres mahupun sakit. Apa orang nak cakap tentang diri saya, terpulang. Saya lebih suka elak mendengar benda negatif tentang diri sendiri atau orang lain. Saya gembira apabila berbuat demikian.
"Abaikan apa kata-kata orang. Lama-lama orang pun tahu perangai saya yang tak suka layan. Kalau api lawan dengan api kita yang terbalik. Jadi, kena api lawan dengan air lama-lama mati api tu," ujarnya.
KENTAL & 'KENA MAHAL'
Sukar untuk tidak bertanya soalan nan satu ini. Benarkah beliau bertunang secara senyap?
Terus melepaskan tawa, Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 berkata, itu sebenarnya hanyalah gimik untuk produk terbaharunya.
"Saya tak tahu bagaimana gambar tersebut boleh tersebar. Ia diambil ketika sesi fotografi untuk produk berkenaan. Saya sendiri pun tidak memuat naik foto tersebut, jadi ia di luar kawalan saya.
"Saya akui, ramai di luar sana nak tahu saya kini berkawan dengan siapa dan sebagainya. Sejujurnya, saya tidak menyangka impaknya sebesar ini. Pun begitu, saya bersyukur dan sangat berterima kasih kerana ramai yang prihatin dengan diri saya," ujar beliau yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Segenap Takdir untuk tayangan di TV3.
Meski dihambat hal-hal di luar jangkauan, Zara tidak terbeban dek pertanyaan bilakah bakal mengakhiri zaman bujang?
Hakikatnya, tuan punya badan bersedia bertukar status, namun jodoh masih belum sampai, ungkapnya selamba.
Baca ni 'Mak ladang pahala & rezeki.'Buat kejutan, Nubhan renovate bilik ibu serupa hotel undang sebak!
Pun demikian, selebriti terkenal itu sudah mematerikan impian untuk melangsungkan perkahwinan bertemakan moden, tetapi tidak mengarut.
"Paling penting, semuanya berjalan lancar dan selesai dengan baik, itu lebih afdal," ujarnya.
Alang-alang itu, penulis mengajaknya berdiskusi tentang pernyataan bahawa cantik itu bukan jaminan untuk bahagia.
Hal tersebut pantas dipersetujui pelakon yang mula mencipta nama menerusi naskhah berjudul Love You Mr Arrogant.
"Bahagia ini sebenarnya atas diri kita sendiri. Kalau nak bahagia kena muhasabah dan perbetul diri kita. Pada saya, bahagia ini bila cukup segalanya, baik dalaman dan luaran. Bersyukur dengan apa yang ALLAH bagi, kita akan rasa cukup segala-galanya," katanya.
Bagaimana pula dengan pengaruh kecantikan dalam sesuatu hubungan? Respons beliau sangat realistik.
Ujar Zara, ciri yang paling signifikan bagi seseorang wanita adalah keyakinan diri!
"Rupa paras elok yang ALLAH bagi itu satu bonus. Cuma, kalau dalaman tak elok pun tak guna juga. Kena cantik luar dan dalam.
"Dengan kata lain, perlu ada ilmu, pandai membawa diri dan hormat orang lain. Ingat, cantik bukan sekadar mekap semata-mata. Ada orang cantik luaran, tetapi percakapan asyik mengutuk dan memaki hamun. Itu namanya buruk perangai, mana nak datangnya cantiknya kan?," soalnya.
Sudah punya pakej cantik dan bahagia, tetapi bahtera rumah tangga dilanda gelora dek kerana orang ketiga. Apa yang tidak kena?
"Sebenarnya saya tak berani nak komen lebih-lebih. Itu bergantung kepada sikap individu. Ada yang berani, ada yang takut. Mungkin dia (wanita) bangga sebab rasa sudah menang. Kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang.
"Mungkin juga wanita sebegitu jenis yang sifatnya tak suka kalah dan buat sesuatu tak fikir panjang. Kalau kita lihat balik, semakin maju dunia, semakin berani orang berbuat apa sahaja. Cuma yang saya boleh katakan mereka ini tak fikir apa impak yang boleh menimpa diri, keluarga dan masa hadapan," katanya berkongsi pandangan.
Pun demikian, saran beliau, kaum Hawa perlu kental dan kuat.
Tiada suami, tidak bermakna diri menjadi lemah. Jangan ingat tanpa lelaki, kita tidak boleh hidup.
Jadilah wanita yang berharga seperti batu permata yang orang lihat sentiasa berharga dan disegani, pesan Zara.
"Wanita juga kena mahal. Tempat kita teratas ALLAH sediakan. DIA jadikan kita cukup istimewa. Sekarang kita kena tunjuk, tanpa wanita, lelaki yang tidak boleh hidup.
"Kita mampu buat apapun sendiri, tetapi kenalah dengan cara yang betul. Pun begitu, wanita juga memerlukan panduan daripada lelaki untuk membawa ke arah kebaikan," ungkapnya lagi.
PETUA TRADISIONAL VS SUNTIKAN
Daripada banyak selebriti yang penulis kenali, Zara merupakan salah seorang yang memiliki kulit wajah yang polos dan menawan.
Maka, wajarlah tip rahsia kecantikan diajukan. Daripada penerangannya, dapat disimpulkan bahawa empunya diri menggunakan bahan-bahan alami untuk menyerlahkan wajah dan tubuh badan.
"Sejak dulu lagi, saya suka amalkan petua tradisional. Goreng beras dan kisar, campur dengan susu dan air, kemudian sental untuk membuang daki pada badan. Tip ini juga membantu mencerahkan kulit.
"Selain itu, saya juga selalu guna tomato, hiris nipis dan letak pada muka. Cara ini membantu kulit tegang dan segar. Kadangkala balik daripada shooting penat dan tak cukup tidur. Jadi, tomato banyak beri manfaat pada kulit wajah saya," kongsi selebriti genit yang disenangi ramai itu.
Kemudian, sengaja penulis ‘gegarkan‘ beliau tentang pendedahannya yang mengambil suntikan pada wajah dan bibir sehingga menimbulkan pelbagai komen negatif dan kata-kata kecaman.
Berikut jawapan Zara:"Saya tak mahu komen lebih-lebih, lagipun saya tidaklah terlalu obses dan saya boleh ibaratkan rawatan itu seperti kita buat facial di spa.
"Terpulanglah pada pendapat masing-masing. Lagipun, saya bukan ubah wajah asal, tetapi ia sekadar untuk awet muda. Rawatan tersebut juga hanya dilakukan di klinik estetik. Setakat ini, saya belum sampai ke tahap nak buat pembedahan muka demi nak cantik," katanya.
Mula berhijab tiga tahun lalu, pasti ramai yang sedar akan pembawaan diri pelakon drama rantaian Risik Pada Hati itu sentiasa tampil dengan gaya yang cukup santai.
"Itulah diri saya yang sebenarnya, selesa dengan imej yang simple baik baju mahupun hijab. Kalau ada majlis barulah saya gunakan khidmat Syafiq Aiman dan boleh kata 95 peratus baju daripadanya.
"Demikian juga setiap kali menjelang raya, saya akan pakai apa yang sudah ada dalam almari. Cuma ada juga yang saya tempah atau beli yang sudah siap. Saya tak suka terlalu menonjol kecuali di atas pentas. Tak terlalu sarat dan elegan, itulah pilihan saya," ujarnya.
Baca lagi 'Obses dengan duit dan mahu cepat jadi kaya.’ Cik Puan Gojes tak kisah apa orang nak kata
Kami akhiri perbualan dengan topik masa hadapan. Tutur Zara, beliau tidak akan selamanya akan berada di atas pentas seni.
Beritahunya, mungkin bisnes yang sedang dilaksanakan sekarang akan membantu menyokong diri dan keluarga pada masa depan.
"Sebelum ini, tidak terfikir artis boleh berjaya dan menjadi kaya. Kalau dulu, nak buat produk sendiri pun tak tahu. Saya hanya jadi pelakon sebab ada bakat dan percaya inilah platform untuk mengembangkan kerjaya.
"Cuma sekarang, saya lihat masa yang sangat bagus untuk selebriti buat duit asalkan kreatif. Dulu nak maintain nama kena berlakon, sekarang sudah berubah. Seseorang pelakon itu kena ada banyak cabang hala tuju.
"Boleh jadi duta, keluarkan produk sendiri, ulasan produk berbayar dan sebagainya. Nasihat saya pandai-pandailah menyimpan bermula dari sekarang," ujarnya yang menitipkan nasihat buat rakan seperjuangannya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi