TEKAD berjalan kaki 340 kilometer (km) ke Istana Negara demi menyerahkan memorandum tuntutan rakyat berkaitan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Noorazlan Ismail, 49 menjadi perhatian warga maya.
Sering muncul di sebuah laman sosial perkongsian video, perjuangan Noorazlan yang berjalan kaki dari Skudai, Johor Bahru sejak 29 Mac menyentuh hati.
Cerita mengenai Noorazlan terus tular mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-rata bersimpati dengan tindakannya itu demi kelangsungan hidup keluarga.
Beliau yang kehilangan kerja semasa pandemik Covid-19 turut mengalami masalah rumah tangga hingga menyebabkan dia terpaksa berpisah dengan isteri kerana faktor kewangan.
Nooazlan yang kini mencari rezeki sebagai pemandu teksi mendedahkan pendapatannya hanya cukup untuk menampung perbelanjaan keperluan, namun beliau masih berdepan hutang.
Malah kos sara hidup yang semakin meningkat dan perbelanjaan persekolahan anak-anak menyebabkannya bertekad untuk bertindak nekad menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP secara ‘one off’.
Berpanas dan berhujan sejak 28 Mac lalu, lelaki itu berkongsi perjalanannya di lebuh raya.
Ada juga pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan dan menghulurkan buah tangan berupa makanan dan minuman. Pada satu masa, beliaju berkongsi tapak kakinya cedera melecet kerana berjalan terlalu lama.
Selepas melepas Pagoh, Johor lelaki itu memilih untuk tidak lagi berjalan di lebuh raya sebaliknya menggunakan jalan lama. Ketika tiba di Yong Peng, Noorazlan didatangi kedua ibu bapa yang memberikan sokongan.
Beberapa hari lalu, Noorazlan tidak lagi dapat memuat naik perkembangan dirinya sebelum ini di laman sosial. Namun beliau masih berjuang dan mengharapkan doa.
Baca juga: i-Sayang untuk suami carum 2 peratus buat isteri kini dah boleh mohon, 9 info berkaitan
"Saya masih terus memperjuangkan misinya saya sehingga sampai ke Istana Negara. Mohon doa sahabat semua, Insya-ALLAH dengan doa anda semua saya berjaya sampai istana,” katanya dalam sebak.
Beberapa jam yang lalu Noorazlan kemas kini laman sosialnya memberitahu beliau sudah menghampiri lokasi yang dituju.
Orang ramai teruja apabila media melaporkan Noorazlan sudah sampai ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum tuntutan rakyat berkaitan pengeluaran KWSP bersasar, Kuala Lumpur.
Beliau yang bercakap kepada pemberita memberitahu telah sampai ke Kuala Lumpur pada 2 April 2023.
Menurut Noorazlan lagi, dia sangat gembira dapat meneruskan misi ke istana walaupun tidak dapat berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Saya membuat ini dengan izin daripada kedua ibu bapa, anak dan bekas isteri. Mereka sokong 100 peratus. Walau apa orang kata yang pasti saya sihat fizikal dan mental. Malah orang tua saya yang menghantar saya dari rumah ke tol Skudai.
"Terlalu ramai yang ingin memberikan bantuan dan sokongan sepanjang perjalanan. Ada yang ingin menumpangkan, memberikan duit tetapi bukan itu motif saya.
"Kalau hanya nak sampai dari Johor ke KL baik saya naik bas sahaja. Tetapi saya ingin pemimpin melihat. Alhamdulillah berjaya, syukur Ya ALLAH,” katanya yang
tidak menyangka dapat memasuki Istana Negara untuk menyerahkan memorandum.
Baca juga: Kanak-kanak lelaki sanggup panjat bumbung, kibar bendera putih bantu nenek
Noorazlan turut memberitahu menerima sumbangan di dalam sampul kuning daripada Agong meskipun tidak dapat bertemu baginda.
"Walaupun baginda tidak ada, baginda tahu saya di sini. Alhamdulillah,” katanya.
Warga maya menzahirkan rasa gembira dan mendoakan misi yang dibawakan tercapai.
-"Dapat sampul dari Agong itu bermaksud Tuanku sudah ambil maklum. Ia menunjukkan bahawa Tuanku bersikap prihatin kepada isu semasa rakyat.”
-"Syukur Abang Azlan bawa suara rakyat dengan semangat. Semoga ada sinar untuk pencarum.”
-"Semoga dipermudahkan.”
Baca juga: 12 jenis pengeluaran KWSP dibolehkan sebelum umur 55 tahun, berikut info wanita perlu tahu
Sumber: Laman sosial @noorazlanismail8, Astro Awani 1, 2
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.