MUNGKIN ramai yang tertunggu-tunggu mekanisme pinjaman bank menggunakan  simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran seperti yang telah dicadangkan oleh Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mencadangkan untuk memberi ruang kepada pencarum yang mempunyai baki akaun mencukupi dan mengalami isu ketidakcukupan tunai untuk meminjam wang dari bank dengan jaminan cagaran wang agensi berkenaan.

Baca juga: 12 jenis pengeluaran KWSP dibolehkan sebelum umur 55 tahun, berikut info wanita perlu tahu

Kredit foto: Sinar Harian

Berita baik buat anda yang menunggu info ini. KWSP telahpun mengumumkan mekanisme berkenaan yang dinamakan sebagai  Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2), syarat permohonan dan langkah-langkah yang perlu diambil. Berikut adalah info berkaitan mengenainya:

1- Kemudahan FSA2 bertujuan untuk membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

2-Simpanan dalam Akaun 2 boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi ini menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun.

3-Syarat-syarat pengeluaran FSA2 ialah seperti berikut:

• Terbuka kepada ahli KWSP yang belum mencapai umur 55 tahun

• Warganegara Malaysia.

• Permohonan adalah sekali sahaja.

• Permohonan tidak boleh dibatalkan setelah diluluskan.

• Permohonan dibuka dalam tempoh setahun (12 bulan) bermula daripada tarikh pelaksanaan yang akan dimaklumkan kelak.

• Amaun simpanan minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP.

• Amaun maksimum bagi pengeluaran bersyarat tidak melebihi RM50,000.

• Amaun pengeluaran akan dibayar kepada institusi perbankan apabila ahli telah mencapai umur pilihan pengeluaran antara usia 50 hingga 55 tahun, mengikut pilihan umur pengeluaran ahli.

• Memenuhi terma dan syarat yang ditetapkan oleh institusi perbankan yang dimohon.

Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)

4-Pengeluaran bersyarat umur 50 tahun atau 55 tahun melalui institusi perbankan boleh dipohon secara dalam talian melalui institusi perbankan yang mengambil bahagian.

5-Terdapat tiga langkah utama yang perlu dilakukan oleh ahli:

i-Membuat semakan awal kelayakan dalam Akaun 2 KWSP melalui portal KWSP atau portal institusi perbankan yang mengambil bahagian.

ii-Membuat permohonan pembiayaan peribadi melalui portal institusi perbankan mengikut syarat dan terma yang dipersetujui dengan institusi perbankan.

iii-Membuat permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 tahun atau 55 tahun kepada KWSP melalui portal institusi perbankan, berdasarkan amaun pembiayaan peribadi yang telah diluluskan oleh institusi perbankan berkenaan.

6-Untuk memastikan kelancaran urusan, anda yang ingin memohon perlu melakukan beberapa langkah berikut:
• Semak kelayakan awal melalui Akaun 2 KWSP.
• Buat permohonan melalui bank yang mengambil bahagian.
• Daftar dan aktifkan i-Akaun di Self Service Terminal di cawangan KWSP atau kiosk di UTC berdekatan untuk menerima Transaction Authorisation Code (TAC) bagi tujuan semakan kelayakan.

Iklan

7-KWSP mengumumkan permohonan FSA2 Fasa 1 bagi individu berusia 40 tahun dan ke atas bermula 7 April 2023. Manakala Fasa 2 bagi mereka yang berumur 40 tahun ke bawah akan dimaklumkan kelak.

9-Setakat ini dua bank akan mengambil bahagian dalam FSA2 iaitu MBSB dan Bank Simpanan Nasional (BSN). KWSP akan mempertimbang menambah peningkatan lebih banyak bank pada masa hadapan.

10-Pihak bank akan mentadbir sepenuhnya proses permohonan untuk pembiayaan peribadi melalui kemudahan ini. Ia tertakluk kepada pembiayaan dan rangka kerja kredit mereka.

11-Berkaitan pembayaran pembiayaan, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank. Jumlah yang dibayar akan digunakan untuk menjelaskan baki pembiayaan peribadi, sekiranya ada, sebelum memulangkan sebarang lebihan kepada ahli.

Baca juga: i-Sayang untuk suami carum 2 peratus buat isteri kini dah boleh mohon, 9 info berkaitan

Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan inisiatif ini tidak akan membebankan rakyat kerana kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang akan dikenakan oleh institusi perbankan yang terlibat dijangka di antara 4 peratus hingga 5 peratus setahun.

Kadar tersebut dikatakan jauh lebih rendah daripada kadar pasaran semasa pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan yang dikenakan pada sekitar 8 peratus hingga 15 peratus.

Iklan

“Inisiatif ini juga tidak bercanggah Seksyen 51, Akta KWSP 1991 kerana baki simpanan dalam Akaun 2 hanya digunakan sebagai sandaran melalui pengeluaran pada umur persaraan.

“Ini adalah selaras dengan objektif pelaburan KWSP sebagai sebuah dana persaraan jangka panjang untuk melindung dan menambah nilai simpanan ahli melalui pengisytiharan kadar dividen yang stabil dan mampan,” katanya.

Moga ini memberikan manfaat!

Baca juga: Wanita wajib tahu, ada 17 jenis pengeluaran KWSP boleh dibuat sebelum pencen

Sumber: KWSP, Kementerian Kewangan Malaysia, Astro Awani 1, 2

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi