Viral isteri pertama tabah hadir persandingan suami, wanita bahagia berkongsi kasih dengan sahabat baik
MELIHAT suami tercinta bersama wanita lain di pelamin bukanlah mudah. Ramai membayangkan betapa pilu dan remuknya hati isteri pertama.
Tidak seperti kebanyakan wanita sukar menerima hakikat diri dimadukan, Paveena Shaeleen Saimin, 32, tenang menerima kehadiran wanita bernama Nurul Nazirah Abdul Hamid, 28, sebagai isteri kedua suaminya.
Parveena menjadi perhatian ramai selepas video yang memaparkan kehadirannya pada majlis perkahwinan suaminya, Muhammad Syafii Jamaluddin, 34, dan Nurul Nazirah pada 6 Mei lalu tular di laman sosial.
Rakaman yang memaparkan Paveena bergambar dengan Muhammad Syafii, Nurul Nazirah dan seorang anak mereka.
"Isteri pertama datang perkahwinan suami. Tiada seorang pun wanita di dunia mahu dimadukan tidak ada wanita bercita-cita menjadi isteri kedua.
"Tapi mungkin ini sudah takdir,” titip adik ipar Paveena, Isha Dania.
Baca juga: Setelah 7 yang menolak, akhirnya yang ke 8 jodoh suami
Video yang dikongsikan adik iparnya itu kemudian tular di laman sosial hingga dua juta tontonan dan 66,100 tanda suka.
Warganet rata-rata mengagumi ketabahan wanita kecil molek itu yang kekal tenang di atas pelamin di mana suaminya sendiri sebagai mempelai.
Ketika dihubungi SinarPlus, Paveena mendedahkan sebelum berumah tangga suaminya pernah menyuarakan untuk berpoligami.
Namun wanita kelahiran Sabah itu terlebih dahulu meletakkan beberapa syarat tertentu.
"Sebenarnya suami saya sudah beritahu sejak dari zaman kami belum berkahwin lagi bahawa dia berniat untuk berpoligami sekiranya diberikan kejayaan.
"Tapi saya memberikan beliau syarat. Sekiranya mahu berkahwin lagi saya perlu kenal bakal madu,” katanya.
Baca juga: 'Saham suami orang tinggi, ujian seorang wanita adalah lelaki' - Ustaz Wan Akashah
Paveena menzahirkan dirinya bertuah dikurniakan madu yang sangat baik dan saling menjaga suami mereka.
Nurul Nazirah yang dipanggil Naz merupakan sahabat baiknya. Segalanya berlaku secara kebetulan apabila wanita itu menghubungi Paveena untuk mencari peluang pekerjaan.
"Kami friend di Facebook. Suatu hari Naz beritahu dia sedang mencari pekerjaan.
"Saya ajak Naz menjadi rakan penstriman langsung (live) di laman sosial TikTok dan sejak itu kami menjadi kawan rapat,” ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Mengetahui rakannya itu baharu sahaja putus tunang, Paveena mula mengusik dan menjodohkan suaminya dengan Nurul Nazirah.
Malah wanita itu juga mengaturkan pertemuan, merisik dan melamar sehingga pasangan itu sah berkahwin.
Menurut Paveena, suami dan madunya baharu sahaja berkenalan dan bercinta selepas nikah.
Sebelum berpoligami, Paveena menjelaskan beliau dan suami banyak belajar dan mengkaji tentang tanggungjawab dan cara untuk kekal bahagia dalam berpoligami daripada orang-orang yang ada di sekeliling dan selebriti.
Katanya selain isteri saling bertolak ansur, suami perlu memainkan peranan.
"Sebab itulah pentingnya mengenali madu. Apabila kenal hati budi, dari situ dapat kesabaran dan kekuatan serta mengelakkan cemburu melampau.
"Belajar erti sabar dan bertolak ansur.
"Paling penting suami kena main peranan dalam rumah tangga dan tanggungjawab.
Menjelang hari bahagia suami dan sahabat baiknya pada 6 April lalu, Paveena tidak ketinggalan membantu.
"Segala persiapan perkahwinan dibuat oleh madu, saya cuma siapkan suami.
"Semasa akad nikah, saya menangis. Air mata saya tumpah kerana ada perkara membuat saya tersentuh.
"Biasalah isteri pertama akan menangis, tapi lepas itu saya OK,” katanya.
Dalam urusan penggiliran bermalam, Paveena dan Nurul Nazirah akan menghantar pesanan di WhatsApp.
Baca juga: Sudahlah ceraikan isteri talak tiga, lepas itu tak mengaku anak sendiri pula…
"Apabila suami berangkat ke rumah madu, saya akan menghantar teks memberitahu beliau sudah bertolak.
"Begitulah kami, saling mengingatkan antara satu sama lain,” ujarnya yang mempunyai grup WhatsApp bersama madu dan suami.
Jika timbul sebarang masalah, Paveena memilih untuk berbincang secara bersemuka biarpun mempunyai medium dalam talian.
Melayari bahtera perkahwinan selama 11 tahun, Paveena dan suami dikurniakan tiga cahaya mata perempuan berusia tujuh tahun, tiga tahun dan tiga bulan.
Biarpun kini berpoligami, lelaki itu tidak pernah lupa akan tanggungjawabnya kepada rumahtangga dan anak-anak.
"Apabila suami balik, dia akan bantu siapkan anak. Kalau anak-anak belum mandi, dia akan mandikan.
"Kemudian dia akan minta saya sediakan bahan untuknya memasak.
"Begitulah rutin suami sejak sebelum berpoligami lagi. Ada-ada sahaja kerja-kerja di rumah yang dibantunya. Kadang-kadang bantu cuci dan melipat pakaian,” ujarnya.
Menurut Paveena, anak-anak juga tidak sukar untuk menerima kehadiran Nurul Nazirah sebagai ibu tiri memandangkan wanita itu adalah sahabatnya.
Dek kerana hubungan yang sangat rapat, Paveena dan anak-anak tidak segan untuk pulang ke kampung madunya.
Memiliki 16,000 follower di laman sosial, Paveena dan madu sering muncul live bersama.
Warganet mendoakan agar keluarga besar mereka kekal bahagia.
-"Saya doakan akak berdua sentiasa bersahabat di dunia dan akhirat. Jadi keluarga bahagia, saling memahami, bertolak ansur dan memaafkan sekiranya ada masalah.”
-"Cantik kedua-duanya. Alhamdulillah, moga bahagia selalu.”
-"Sis sorang wanita yang sangat hebat. Saya tak mampu menjadi seperti sis.”
-"Orang yang tulus ikhlas dan reda biasanya lebih bahagia.”
-"Terbaik, saya kagum dengan keikhlasan Puan, semoga berbahagia selamanya.”
Baca juga: Tiada istilah payung emas untuk wanita bermadu, poligami boleh jadi harus, sunat, haram
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.