HAMPIR sedekad menuai bakat dalam bidang nyanyian, namun masih ada yang belum mengenali duo penyanyi, Aishahanim.
Dianggotai oleh Syazara Aisha dan Hanim Fariza Abu Bakar, pasangan kembar itu bagaimanapun tidak melatah jauh sekali kecewa.
Sebaliknya, mereka lebih gemar mengumpul peminat secara perlahan-lahan.
Malah, tidak keterlaluan andai gelaran penyanyi kembar pertama di Malaysia itu dilabuhkan buat mereka yang mula mencipta nama menerusi lagu Mata Kunci Cinta sekitar tahun 2014.
SinarPlus baru-baru ini berpeluang hadir dalam satu majlis sidang akhbar pasangan berkenaan yang bakal melakar sejarah tersendiri menerusi penganjuran Konsert One Night Only Aishahanim.
Persembahan tersebut bakal berlangsung pada 6 Ogos depan bertempat di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC).
Baca ni Maintain cantik & awet muda, Datin Anne Ngasri dedah 9 bulan tak sentuh nasi
"Konsert One Night Only Aishahanim bakal menjadi pentas untuk kami bercerita tentang perjalanan sepanjang berada dalam dunia seni.
"Kami juga mahu membuktikan, kami mampu untuk menyanyi secara langsung. 15 buah lagu bukan mudah, tetapi kami yakin dengan kemampuan dan bakat yang dianugerahkan.
"Setiap lagu yang dipersembahkan juga mempunyai cerita dan sejarah tersendiri dalam hidup kami," ujar Syazara Aisha sambil memberitahu peminat bakal dihiburkan dengan rangkaian seleksi lagu-lagu nyanyian semula dan single hit mereka seperti Angkara, Tinggalan Cinta dan Leka.
Konsert itu juga bakal dijayakan oleh Wyn Wyn Event, BERJAYA dan Ridzokumura.
TAK HARAPKAN JALAN PINTAS
Mengulas mengenai kehadiran mereka yang seolah-olah 'sendu' dan gagal meraih perhatian peminat seni tanah air, kedua-duanya mengambil sikap positif dan bersangka baik.
Pun demikian, lagu Angkara nyanyian mereka menjadi siulan dan diangkat sebagai lagu tema drama Bukan Gadis biasa sebelum ini.
"Kami terjun dalam bidang ini sejak 10 tahun lalu dek kerana minat. Walaupun ada yang kurang mengenali, namun kami tetap bangga dan bersyukur kerana ada di antara lagu nyanyian kami popular," ulas Hanim Fariza atau mesra disapa Hanim yang meletakkan impian bakal muncul dengan album penuh suatu hari kelak.
Sebagai isteri seorang kenamaan, Syazara Aisha atau mesra disapa Aisha tatkala diterjah persoalan tentang kenapa perlu bersusah payah menyanyi sedangkan hidupnya serba lengkap, ini jawapan tuan punya badan:"Sejujurnya, sejak awal lagi saya tidak harapkan jalan pintas untuk berjaya.
"Pada saya, setiap apa yang kita lakukan kena disusuli dengan usaha dan cari rezeki yang halal dengan hasil titik peluh sediri. Saya mahu pegang duit sendiri tanpa mengharapkan kepada suami semata-mata.
"Selepas berkahwin, suami pun izinkan dan memberi sokongan penuh kerana tahu minat saya. Walaupun saya boleh duduk dan goyang kaki, namun saya mahu berdikari dan meneruskan bakat yang ada di samping mencari pendapatan sendiri. Itu lebih menyeronokkan berbanding bergantung kepada orang lain."
CONTOH BUAT ANAK-ANAK
Sementara itu, Hanim pula mahu memberi contoh terbaik buat anak-anaknya kelak.
"Kita hanya usaha dan alhamdulillah sejak dahulu lagi, saya dan Aisha berkongsi minat yang sama. Bahkan, kami juga bukan jenis yang suka buang masa.
"Lagipun masing-masing ada keluarga. Saya sendiri, mahu menunjukkan contoh yang baik pada anak-anak supaya mereka tahu, andai mahukan sesuatu kena usaha dan tiada jalan pintas ke arah itu," tegasnya lagi.
Tatkala ditanya siapa paling banyak berkorban untuk kejayaan mereka selama ini, jawapannya tak lain tidak bukan adalah ibu mereka sendiri.
"Selepas penceraian ibu dan ayah, kami dibesarkan oleh ibu tunggal. Beliau (ibu) sanggup bersusah payah memastikan impian kami bergelar penyanyi tercapai.
"Jika ibu tahu ada pertandingan menyanyi, beliau tidak akan miss membawa kami untuk mencuba memasuki pertandingan tersebut. Kenangan paling tak dapat dilupakan apabila menaiki motosikal ketika nak pergi menyanyi. Kemudian, motor itu rosak dan itulah momen yang sehingga kini kami kenang dan kekal dalam lipatan sejarah," ungkap Aisha lagi.
Selain menyanyi, kedua-dua beradik jelita it turut aktif dalam perniagaan dengan mengusahakan bisnes pakaian di bawah jenama Zarac.my.
Kalau sudah namanya kembar seiras, pasti apa sahaja tentang mereka adalah sama. Termasuklah juga bab penampilan diri dan juga pemilihan busana.
Sering tampil sedondon membuatkan ramai yang sukar mengecam mana satu Aisha dan Hanim.
Sambil tertawa tatkala diajukan pertanyaan akan perbezaan di antara mereka berdua, akui Hanim jika orang yang rapat dan benar-benar mengenali pasti tahu perbezaan diri masing-masing.
"Tak kenal maka tak cinta. Bagi yang mengenali dan rapat mereka boleh kenal kami. Mana yang kenal pasti tahu bentuk muka dan bahagian mata kami berbeza. Cuma kalau sudah mekap sukar orang nak cam," jelasnya sambil berkata, sejak kecil lagi mereka serasi tampil sedondon.
Ibu mereka juga sudah mendidik dengan membeli barang yang sama.
"Sehinggakan kami minta mak pilih barangan sama cuma berbeza pada corak atau rekaan. Misalnya, seorang stoking bercorak, manakala seorang lagi rona polos cuma rekaan sama. Ini adalah kerana jika satu hilang, mula nak bergaduh.
"Bab pakaian pula, minat kami lebih kurang sama sejak dahulu lagi. Kalau ada majlis tertentu, ada masanya kami tampil sedondon, ada masanya tidak. Cuma, bila tak sedondon ada yang marah mungkin kerana mereka sukar nak cam," seloroh Aisha pula.
Baca lagi 'Cantiknya wet kitchen ala tepi taman.' Ruang Dapur Memey Suhaiza curi perhatian. Kemas & kreatif!
SALING MENGINGATI, RAHSIA KEKAL CANTIK
Menjawab persoalan tentang sering diperbandingkan antara satu sama lain, pasangan kembar tersebut tidak sedikipun memiliki sifat iri hati jauh sekali cemburu terhadap satu sama lain.
"Dalam kembar bohonglah andai kata tiada langsung rasa cemburu atau nak bergaduh, cuma antara kami tidak lama. Bergaduh sekejap kemudian berbaik semula," ulas Aisha.
Demikian juga soal penampilan diri.
Bahkan, sebelum ini mereka berdua pernah mendedahkan tidak makan nasi selama empat bulan bagi mendapatkan berat badan ideal yang diidamkan.
"Setakat ini tiada tip atau rahsia tertentu yang kami amalkan dalam soal kecantikan. Sebelum ini kami pernah naik berat badan. Rahsia cepat turun adalah dengan usaha bersungguh-sungguh dan saling mengingati. Apabila saling sepakat, hasilnya menjadi.
"Sebab itu, kami akan saling menegur dan apabila ada kawan atau teman itu mudah nak istiqamah. Mungkin sebab kami berdua kembar, nak buat aktiviti pun bersama. Bila berpakat tu, menjadilah. Kalau buat sorang-sorang (diet) tak menjadi," ujar Hanim sambil mengakhiri perbualan bersama penulis.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!