JIKA ditanya apa menu yang tular dalam media sosial pada tahun ini, SinarPlus berani katakan kuih Talam Tokyo yang paling diperkatakan.
Apa menariknya pencuci mulut berkenaan berbanding kuih talam atau nama lainnya seri muka yang lain? Bagi merungkai pertanyaan berkenaan, kami menemu bual salah seorang pembikinnya, Norazlila Sakimin.
Ujar Norazlila, perbezaan utamanya adalah merujuk kepada lapisan bawah kuih itu.
Jika kuih talam biasa menggunakan pulut sepenuhnya, namun bagi Talam Tokyo, ia menggabungkan sagu, suhun dan kelapa parut.
Oh! Kepada yang bertanya apa kaitan perkataan Tokyo itu, sebenarnya ia sekadar terletak pada nama, tiada kena mengena dengan ibu negara Jepun pun.
Sebelum berkongsi petua kepada masakan itu, Norazlila sempat bercerita bagaimana titik mula beliau mempelajari resipi viral berkenaan.
"Begini, saya mahu bawa oleh-oleh untuk majlis pertunangan anak saudara, tetapi tempahan saya dibatalkan pada saat akhir.
"Saya jadi geram kerana terpaksa hadir dengan tangan kosong. Disebabkan tak mahu kejadian sama berulang, saya nekad mencari kelas untuk belajar buat kuih yang saya sendiri suka makan.
"Kelas masakan itu dikendalikan secara bersemuka dan saya berpeluang belajar 16 jenis kuih talam termasuk kuih Talam Tokyo ini," katanya yang kini berjualan kuih-muih tempatan.
"Berita baik kepada mereka yang alah atau tak suka makan pulut, boleh cuba kuih ini.
Padanan serasi sagu dan suhun yang ringan serta manis memang sedap sangat. Memang tak cukup kalau makan sepotong," katanya sambil tertawa kecil.
Berkenaan dengan cara penyediaannya, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu berkata, ia hampir serupa dengan cara memasak kuih talam lain.
Baca juga: Kuih orang lama lepat cendol mudah tak perlu kukus, makan sejuk-sejuk memang nikmat
Langkah pertama yang perlu dilakukan terlebih dulu adalah membersihkan sagu dan rendam selama 30 minit.
Dalam tempoh masa yang sama, suhun juga dibiarkan di dalam air suam yang dicampurkan dengan pewarna hijau atau apa sahaja warna kesukaan.
"Pastikan dua bahan yang saya nyatakan tadi terutama sagu tidak direndam terlalu lama. Sepanjang menghasilkan kuih ini, pernah sekali ia tidak menjadi.
"Setelah diamati, saya dapati sagu yang digunakan waktu itu kurang berkanji dan ia punca kuih jadi lembik," katanya.
Baca juga:Kelapa baru diparut rahsia kuih gatas menjadi. Wanita ini kongsi cara paling senang nak buat
Salah satu lagi tip menarik yang dikongsikan Norazlila adalah kuih Talam Tokyo akan lebih gurih jika menggunakan tepung kastard. Ini kerana ia akan membangkit aroma wangi dan memberi rasa kepada kulinari berkenaan.
Sudah menjadi kebiasaan kebanyakan orang yang tidak sabar untuk memotong kuih sebaik sahaja siap.
Namun, pesan wanita itu, hidangan perlu disejukkan kira-kira tiga hingga empat jam bagi mendapatkan potongan yang cantik dan kemas.
RESIPI KUIH TALAM TOKYO
Bahan untuk lapisan bawah
300 gram (g) sagu kecil warna putih
60g suhun
100g kelapa parut putih
100 mililiter (ml) santan pekat
300ml air
1 sudu kecil garam
Cara penyediaan:
1. Cuci sagu sebentar, rendam selama 30 minit dan toskan.
2. Rendam suhun dengan air suam dan sedikit pewarna hijau selama 30 minit, tos dan potong kecil-kecil dalam dua urat jari.
3. Tuang kesemua bahan di atas ke dalam loyang yang telah dialas dengan plastik.
4. Tekan sedikit dengan sudu supaya lapisan menjadi sama rata.
5. Kukus selama 30 minit.
Bahan untuk lapisan atas
4 biji telur
250g gula pasir
400ml santan pekat
400ml air dan 3 helai daun pandan (kisar dan tapiskan)
100g tepung kastard
Sedikit pewarna hijau
1/8 sudu kecil air alkali atau air abu
Cara penyediaan:
1. Campurkan kesemua bahan.
2. Kacau sebati dan tapiskan ke dalam periuk.
3. Masak hingga naik wap (pekat sedikit).
4. Tuang adunan ke atas lapisan sagu dan kukus selama 30 minit.
5. Biarkan kuih benar-benar sejuk, baru dipotong.
Sumber: Norazlila Sakimin.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!