EKSPLORASI selama beberapa hari ke Labuan, Sabah sempena program Bah Travel Kita Ka Labuan anjuran Tourism Malaysia Labuan menemukan SinarPlus dengan salah satu kuih tradisional di sana.

Kami bertuah kerana seorang penduduk tempatan, Noraini Japtin, 45, berbesar hati untuk berkongsi cara pembuatan kuih gatas.

Ia umpama kuih getas yang popular tatkala Hari Raya, namun kata Noraini, sajian turun-temurun dari Labuan itu sedikit berbeza.

Meskipun diberi peluang secara terus untuk membikin kulinari berkenaan, pengamal media membiarkan demonstrasi dilaksanakan terlebih dulu. Bukan apa, kami takut ‘tersalah langkah’.

Kata Noraini, perkara pertama yang perlu dititik beratkan untuk membuat kuih berkenaan adalah dari segi kuantiti air ketika membuat adunan.

“Masukkan air sedikit demi sedikit ke dalam campuran tepung gandum dan pulut bagi mengelakkan bancuhan menjadi lembik.

“Jika adunan terlalu lembut, ia akan menyebabkan kuih mudah meresap minyak dan tidak berapa menjadi. Bagaimana mahu tahu adunan sudah sempurna? Senang sahaja, apabila bancuhan tidak lagi melekat pada jari, kiranya semua sudah okey,” ujarnya.

Noraini menambah, kelapa parut memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada kuih tradisional itu sedap atau sebaliknya.

Baca juga: Sedapnya kuih mochi, ini resipi versi Melayu sukatan cawan inti kacang merah lembut & kenyal

Baca juga: 2,600 likes, sedapnya Almond Cluster, kuih raya 2 bahan tak ada oven pun boleh buat, cornfirm laku keras!

Sebaik-baiknya ujar beliau, gunakan kelapa yang baru sahaja diparut kerana rasanya lebih segar dan berlemak.

“Untuk menyedapkan lagi rasa, penggunaan kelapa boleh dilebihkan, mungkin dua atau tiga biji,” kongsinya.

Disebabkan rata-rata daripada pengamal media yang membentuk kuih gatas dengan saiz yang terlalu tebal, anak jati Labuan itu memberi sedikit teguran manja.

Iklan

“Kalau mahu hasilkan kuih yang lebih rangup, mudah dikunyah dan gorengannya tidak mengambil masa yang lama, pastikan kuih digelek atau dileper nipis.

“Jika mahu lebih tebal, durasi masak akan mengambil masa lebih lama. Minyak juga kena betul-betul panas ketika menggoreng dan diikuti dengan api yang sederhana kecil,” ujarnya memberi panduan.

RESIPI KUIH GATAS LABUAN

Bahan-bahan adunan
1 biji kelapa parut
500gram tepung pulut
½ cawan tepung gandum
1 cawan air (atau secukupnya)
1 sudu teh garam

Iklan

Bahan-bahan sira
½ cawan gula
½ cawan air

Cara penyediaan:
1. Masukkan kelapa, tepung pulut, tepung gandum dan garam ke dalam bekas. Gaul sehingga adunan sebati.
2. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli sehingga menjadi doh yang lembut serta tidak melekat pada jari.
3. Kemudian, bentukkan doh dan goreng dengan api perlahan.
4. Seterusnya, masak gula bersama air di dalam kuali. Pastikan gula menjadi pekat sebelum masukkan kuih yang telah digoreng tadi. Kacau kuih sehingga kesemua permukaan diselaputi dengan gula sehingga ia kering.
5. Padamkan api dan sedia untuk dihidangkan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.