NAMA pelik, tapi rasanya memang sedap tidak terkata. Itu rumusan penulis terhadap kuih balongon ayam.

Menyingkap secebis sejarahnya, kulinari berkenaan merupakan salah satu makanan tradisi suku kaum Banjar yang semakin payah untuk didapati kini.

Jika ada pun, ia disajikan pada majlis kenduri tertentu sahaja.

Ia dipanggil sebagai balongan ayam kerana bentuknya seperti balong ayam jantan. Balong ayam dalam bahasa Banjar disebut sebagai balongan ayam.

Baru-baru ini, SinarPlus teruja apabila menemui seorang wanita berusia 58 tahun yang pakar dalam membuat kuih tersebut.

Ruhizan Hashim mengakui, ‘rupa paras’ kudapan itu yang hanya berinti kelapa parut manis tidak berapa menarik perhatian untuk dipandang.

Namun, apabila dibalut kemas dengan daun pisang dan aromanya bangkit selepas dikukus, mungkin dua keping kuih itu tidak cukup untuk dinikmati.

“Kuih ini rasanya lemak-lemak manis dan bagi saya ia sesuai menjadi hidangan untuk makan pagi atau petang,” katanya yang mempelajari membuat kuih balongan ayam daripada arwah nenek tersayang.

Cuma ujar Ruhizan, cara neneknya lebih konvensional. Arwah menumbuk beras pulut menjadi tepung terlebih dahulu sebelum diuli menjadi doh.

Bercerita tentang cara penyediaan, wanita berusia 58 tahun itu tertawa kecil.

“Sedikit rumit tapi kalau sabar, insya-ALLAH semuanya akan menjadi. Pertama, kita kena melayur daun pisang terlebih dulu sebelum membuat inti, mengadun doh dan mengukus adunan. Kesemua proses mengambil masa kira-kira sejam,” kongsi ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Antara tip penting lain adalah teknik membuat gula hangus. Pesan Ruhizan, sebaik-baiknya guna gula perang berbanding gula putih.

“Pastikan masak gula dengan api yang perlahan dan kena kacau sekerap mungkin sebelum cairan betul-betul likat,” katanya yang tidak lokek berkongsi ilmu yang dipelajari.

Paling penting, ikuti panduan resipi yang dikongsikannya tanpa mengubah sukatan yang telah ditetapkan.

Tidak mahu warisan yang ditinggalkan oleh keluarganya dibiarkan begitu sahaja, Ruhizan mengambil inisiatif menjual kuih balongan ayam itu.

Jika dicongak, rupa-rupanya sudah lebih 20 tahun bisnes tersebut dijalankan.

Menariknya, wanita dengan lima cucu itu turut memuat naik resipi dan video penghasilan hidangan berkenaan di media sosial untuk tatapan warganet.

Iklan

Meskipun berkerusi roda, Ruhizan masih gagah menghasilkan 200 biji kuih tersebut dengan mengadun 6 kilogram tepung gandum sekali gus.

Baca juga: Kuih orang lama lepat cendol mudah tak perlu kukus, makan sejuk-sejuk memang nikmat

 Baca juga: Kelapa baru diparut rahsia kuih gatas menjadi. Wanita ini kongsi cara paling senang nak buat

RESEPI KUIH BALONGAN AYAM

Bahan inti
Kelapa parut
1 kilogram gula pasir
Sedikit tepung gandum
Garam

Bahan doh
1 kg tepung pulut
2 senduk kecik tepung gandum
Sedikit air kapur
2 sudu kecil garam
Pati air pandan
Sedikit pewarna hijau

Iklan

Cara penyediaan inti:
1. Masak gula pasir menjadi gula hangus.
2. Bubuh sedikit air, garam dan kelapa parut.
3. Masak inti kelapa parut sehingga kering.
4. Masukkan sedikit tepung gandum untuk memekatkan inti dan senang untuk dibentuk.

Cara penyediaan doh:
1. Masukkan semua bahan doh dan uli seperti penyediaan kuih buah melaka.
2. Sapu daun pisang dengan sedikit minyak supaya kuih tidak melekat.
3. Masukkan adunan doh secara merata di atas daun pisang.
4. Masukkan inti di tengah dan lipat daun pisang menjadi dua bahagian. Potong lebihan daun pisang membentuk bulat.
4. Susun kuih yang sudah siap dibungkus secara berdiri di dalam periuk pengukus supaya masak merata.
5. Kukus kuih sehingga masak.
6. Siap dan sedia untuk dihidang.

Sumber Ruhizan Hashim

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!