AISHA Mazlin, satu nama yang mungkin asing pada halwa telinga sesetengah pihak. Namun, tidak buat pendengar setia radio Hot FM.
Empunya diri merupakan gadis bertuah yang menjadi ‘jodoh‘ kepada penyampai radio popular, Fizi Ali.
Usah terkejut atau salah sangka dengan perkataan jodoh itu. Ia sebenarnya merupakan pertandingan mencari juruhebah untuk digandingkan bersama Fizi untuk mengendalikan segmen Hot Squad.
Aisha bertuah kerana akhirnya dinobatkan sebagai juara Fizi Cari Jodoh DJ. Selain wang tunai RM5,000, beliau mengikat kontrak selama setahun bersama Hot FM.
Ketika hadir pada sesi penggambaran penghias muka hadapan SinarPlus baru-baru ini, gadis kelahiran Johor itu berkata, pencarian bakat baharu itu sesungguhnya telah membuka ruang kepada beliau untuk bergelar penyampai radio.
Walaupun sebelum ini dirinya memasang impian bergelar pelakon, namun selepas terjun ke dalam dunia radio, minat beliau sedikit demi sedikit beralih.
"Pun begitu, tidak bermakna saya melupakan hasrat menjadi pelakon, sebelum ini pun saya sudah mencuba nasib dengan berlakon tetaer.
"Cuma, apabila bergelar penyampai radio, wujud kekangan masa yang membataskan saya untuk berlakon drama dan sebagainya. Insya-ALLAH andai ada tawaran sebagai pelakon teater atau telefilem, saya tiada masalah jika ia tak memerlukan saya berada di set pengambaran dalam tempoh yang lama," ujar Aisha yang mengidolakan Fara Fauzana sebagai penyampai radio, selain Datuk Aznil Nawawi dan Puan Seri Tiara Jacquelina.
Kepada satu soalan, Aisha menegaskan, tiada istilah ‘guna kabel‘ untuk beliau membolot kemenangan itu.
"Ia adalah rezeki daripada ALLAH, lagipun ini bukanlah pertama kali saya mencuba. Sebelum ini saya pernah menyertai satu program, mungkin waktu itu jalannya masih belum terbuka untuk saya. Justeru, saya tidak terpilih," ujarnya.
IDENTITI
Setelah beberapa jam kami bersama di Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor, penulis melihat gadis manis itu sentiasa ceria dan suka ketawa.
Kiranya, memang sesuailah karakter itu dengan ciri-ciri yang diperlukan oleh seorang penyampai radio.
"Kalau diikutkan, kawan-kawanlah yang mencetuskan minat saya menjadi deejay. Mereka kata suara saya sedap dan sesuai sangat berceloteh di konti. Atas dorongan dan desakan positif itulah saya memberanikan diri pergi uji bakat," kata beliau yang berharap kontraknya akan disambung memandangkan minat beliau semakin bercambah dalam bidang tersebut.
Sedar bahawa persaingan bukan sembarangan ditambah dengan pertambahan jumlah frekuensi radio, setiap inci pengalaman dan ilmu yang dikutip digunakan sebaik mungkin. Kata Aisha, semuanya mahu disimpan rapi sebagai bekalan pada masa depan.
Mendengar kata-kata penuh harapan itu, penulis menebaknya dengan persoalan bagaimana rutin tugas beliau sebagai juruhebah junior di sebuah stesen yang gah dan tersohor. Tuan punya badan tersenyum lantas berkata:
"Menjadi deejay tidak semudah yang disangkakan. Bayangkan bulan pertama saya di konti, pelbagai insiden berlaku. Perasaan teruja, gementar dan bimbang hanya TUHAN yang tahu. Namun, Fizi banyak membantu, demikian juga dengan kru lain.
"Seperti yang dimaklumkan kepada saya, untuk berjaya kita kena ada personaliti dan jati diri sendiri. Dengan kata lain, saya perlukan trademark dan tidak plagiat personaliti deejay lain. Barulah pendengar boleh mengenali siapa itu Aisha Mazlin."
Ungkap anak kelahiran Johor itu lagi, kerjaya yang dimiliki sekarang bukan hanya sekadar minat dan memenuhi permintaan semata-mata.
Sebaliknya, ia dijadikan sebagai punca beliau mencari rezeki dan berkongsi pendapatan dengan ahli keluarga yang lain.
"Saya bersyukur berkat sokongan dan doa ahli keluarga terutama ibu bapa membolehkan saya berada pada tahap sekarang. Justeru, saya sesekali tidak akan kedekut untuk berbelanja untuk mereka.
"Untuk pengetahuan semua, hanya saya seorang yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Adik-beradik saya yang lain bekerja biasa-biasa sahaja," tutur Aisha yang mahu menjadi contoh terbaik dalam keluarga beliau.
Sudah terlanjur bercakap tentang soal pendidikan tinggi, penulis mengajak beliau berbincang tentang gelagat anak muda zaman sekarang yang tidak lagi berminat untuk menyambung pengajian hingga ke menara gading.
Masing-masing beranggapan, sudah cukup setakat mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia. Malah, ada yang sudah memasak cita-cita untuk bergelar influencer kerana dikhabarkan gaji yang diraih boleh mencecah lima angka walau tidak berpelajaran.
Sambil merenung ke arah satu sudut, Aisha mula bersuara.
Dengan nada serius beliau melontarkan pandangan bernasnya:"Ya, memang ramai yang cukup berminat menjadi influencer sekarang. Bukan sahaja glamor, pendapatan juga tinggi, siapa yang tak nak, kan?
"Namun begitu, bagi saya, ilmu pengetahuan itu sama pentingnya. Bahkan, saya sendiri kalau berpeluang kelak, ingin menyambung lagi pengajian.
"Memang kita tak nafikan rezeki ada di mana-mana, tetapi dalam memacu impian masa hadapan, kita kena ada pelan jangka panjang. Kalau kerjaya yang kita ingini tidak menjadi, maka ada jalan lain yang boleh kita cuba."
Meskipun baru berusia 26 tahun, graduan Ijazah Sarjana Muda Filem dan Television dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan itu berkata, beliau seawal lagi tahu bahawa setiap apa yang direncana, perlu ada perancangan rapi.
Justeru, betapa pentingnya seseorang memiliki melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi untuk meraih sijil, diploma, ijazah sarjana atau ijazah untuk mara ke hadapan.
"Sewaktu menjadi pelakon teater, saya bukan memasuki bidang berkenaan dengan fikiran kosong, sebaliknya saya belajar dan pergi kursus.
"Selain menambah ilmu, ia memudahkan kerja dan memberi keyakinan buat pihak produksi untuk mengambil kita berlakon," ungkap Aisha dengan semangat yang membara-bara.
GARANG DAN BEREMOSI
Selepas berehat seketika, kami menyambung kembali perbualan. Sengajalah penulis menyogoknya tentang transisi perubahan diri tatkala hidupnya kini dikelilingi dengan susuk individu yang popular.
Dengan pantas dan dengan nada merendah diri, Aisha mengakui tiada yang berubah.
"Sejujurnya, kehidupan saya sama seperti dahulu. Ya, dulu kalau keluar rumah tiada yang mengenali, kini berbeza. Saya gembira dan positif dengan situasi ini.
"Tiada juga istilah ‘kejutan budaya‘ memandangkan sebelum menjadi deejay, saya sudahpun bergelar pelakon teater. Cuma, bab masa itu terpaksa ‘dikorbankan‘ sedikit.
"Masakan tidak, kehidupan semakin sibuk dan masa terhad terutama buat keluarga mahupun rakan-rakan terdekat. Pun begitu, seboleh-bolehnya mungkin saya akan mencuri waktu terutama untuk bersama dengan keluarga kerana hubungan kami memang cukup rapat," jelasnya sambil berjanji tidak akan lalai dengan percikan kemasyhuran yang dinaunginya kini.
Hubungan dengan rakan-rakan pula tetap sama seperti dahulu. Lebih manis, jumlahnya semakin bertambah.
"Seperti apa yang saya katakan tadi, semuanya sama saja. Layanan kawan-kawan pun tiada yang berubah, semua macam biasa," ujarnya.
Selain itu, Aisha juga gemar bersiar-siar mencari kedai atau kafe kopi. Hobi itu dikongsikan bersama kakaknya.
"Kalau balik rumah famili, saya juga akan ajak kakak berlari jika ada masa terluang. Mungkin ramai juga masih belum tahu bahawa saya memang kaki kopi. Kalau dengar saja ada tempat menjual kopi asli dan dengar mana-mana lokasi viral, pasti saya pergi cuba minuman tersebut," ujar Aisha sambil mengakui, pendekatan itu merupakan salah satu cara beliau menghilangkan penat dan stres bekerja.
Seperkara, di sebalik perwatakannya yang mudah mesra dan periang, rupa-rupanya Aisha seorang yang garang dan agak beremosi orangnya.
Tingkah laku itu diakui oleh tuan punya badan kepada penulis.
"Sebenarnya, hanya keluarga dan rakan terdekat sahaja tahu akan sisi diri saya ini. Kalau dengan orang yang rapat, personaliti saya sedikit berbeza. Pun begitu, bukan bermakna saya jenis panas hati.
"Saya menjadi seorang yang tegas kerana ingin melindungi terutama adik perempuan saya. Sejujurnya saya jenis yang memahami, namun jika ada sesuatu perkara yang tidak kena, memang saya tidak akan berkompromi," katanya.
Bagaimana pula dengan perancangan untuk mendirikan rumah tangga?
Kata tuan punya badan, karier lebih diutamakan buat masa sekarang. Ringkas dan mendalam jawapan diberikan kepada penulis, sekali gus menutup ruang untuk mengorek lebih dalam lagi privasi dirinya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang