‘Mesti ada sebab ALLAH susun sebegini’. Datin Lisa Surihani lerai pertanyaan tentang kehilangannya dalam dunia lakonan

SEJUK mata memandang. Itu ungkapan pertama yang lahir daripada hati penulis sebaik melihat figura seni bernama Datin Lisa Surihani pada satu pertemuan dengannya baru-baru ini.

Masih sama seperti dahulu, tetap ramah dan sopan ketika berbicara. Tatkala diajukan permintaan untuk mengabadikan dirinya sebagai penghias muka hadapan SinarPlus, beliau memberi kerjasama yang cukup baik.

Usai majlis pelancaran Daia Hijab All Day Freshness yang mana empunya diri dilantik menjadi duta, sesi temu bual kami dilanjutkan selepas beliau menjamu selera.

lisa surihani

 

Ya, barangkali ramai sudah tahu, kelibat Lisa sebagai pelakon tidak seligat dulu. Sebaliknya, rezeki lebih terarah menjadi duta produk kepada jenama terkenal.

“Alhamdulillah, syukur sangat. Tawaran yang saya terima (sebagai duta) lebih kepada kekeluargaan atau ‘mak-mak‘ kini. Seperti Daia, ia memang sesuai dengan imej dan status saya sebagai ibu.

“Pun begitu, saya tidak semberono dalam menerima setiap tawaran yang datang. Sebaliknya, setiap satu akan dilihat dari pelbagai sudut. Ia mesti membawa kebaikan untuk kedua-dua belah pihak,“ katanya.

Baca ni ‘Saya harap hubungan baik ini berterusan sehingga ke akhir hayat’. Memey mahu silaturahim dengan Abby terus mekar

Lisa surihani

 

BELUM BERNOKTAH
Perbualan kami selepas itu lebih menjurus kepada perkembangan terbaharunya terutama dalam arena lakonan yang telah mengharumkan nama tuan punya badan sejak sekian lama.

Sambil menguntum senyuman paling manis, Lisa berkata, sehingga pada saat ini, beliau belum lagi meletakkan noktah dalam kerjaya seninya.

“Sejak awal lagi saya tak pernah kata ingin bersara. Soal anak sudah besar baru nak kembali aktif dalam bidang seni pun tak timbul. Cuma setakat ini, saya belum kembali ke set penggambaran. Insya-ALLAH, tidak lama lagi saya akan bergandingan dengan seorang hos untuk satu rancangan berbentuk inovasi.

“Soal rindu atau tidak untuk berlakon, pada saya jika sudah tertulis, mesti ada sebab ALLAH susun sebegini. Saya kini berada pada tahap bersangka baik dengan apa yang sudah tersurat. Saya juga percaya kepada qada dan qadar ALLAH,“ ujarnya.

Bercakap tentang peranannya sebagai seorang ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Yahaira Leanne, 8; Yusof Leonne, 6, dan Yunos Laith, 3, wajah kebahagiannya jelas terpancar.

Baca ni Johan tilawah al-Quran, Sofizah Mousin belajar taranum sejak kecil. Mahu perluaskan ilmu dan kembara dakwah

Lisa surihani

“Saya kini lebih fokus kepada anak saya, Yunos yang masih kecil. Namun, tak bermakna sepanjang masa ada di rumah. Saya masih sibuk dengan urusan kerja lain termasuklah peranan saya sebagai duta yang memerlukan komitmen saya,“ tuturnya lembut.

Serentak dengan itu, ujar Lisa, beliau turut meluangkan lebih masa menghadiri kelas agama dan kembali bersemangat menjaga kesihatan diri.

Kepada penulis, pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Lagenda Budak Setan dan Istanbul Aku Datang itu berterus terang, beliau masih dalam proses memperbaiki posisi sebagai seorang isteri, ibu, anak termasuk dirinya sendiri.

“Bukan sahaja dari aspek kerja, malah juga kerohanian. Kalau dulu lebih kepada mengejar, tetapi kini lebih kepada mengekalkan kehidupan sekarang dan itu sudah buat saya bersyukur,“ katanya.

MISI KE JANNAH
Seantero Malaysia menyedari transisi kehidupan Lisa bermula pada tahun 2019 usai pulang daripada mengerjakan umrah. Namun, aura kepada iktikad anak kelahiran Kuala Lumpur itu dilihat sangat berbeza.

Kesungguhannya berhijrah dilihat tulus. Segala kata-kata yang lahir banyak memberi dorongan dan kemaslahatan kepada masyarakat. Itu sebab ramai yang mengekspresikan rasa kagum.

Lisa surihani

Paling ketara, setiap kali tampil dalam mana-mana majlis, pasti sorotan mata terpaku melihat penampilan beliau yang cukup sopan.

Bahkan, ada masanya tuan punya badan tidak kisah tampil tanpa secalit solekan. Rasanya tanpa itu semua, raut wajah rupawan Lisa tetap terserlah.

Pertemuan kami pada petang yang permai itu, penulis turut zahirkan tentang ungkapan istiqamah.

Sebaik mendengarnya, Lisa akui begitu ‘takut‘ dan gementar, apatah lagi mengetahui ramai orang di luar sana menjadikannya sebagai sumber inspirasi.

“Istiqamah bukan sesuatu yang mudah kerana semuanya kena datang dan atas izin SANG PENCIPTA. Sebagai manusia yang memiliki pemahaman dan kapasiti yang berbeza termasuk pengaruh orang terdekat, ia boleh membantu untuk kita terus istiqamah.

“Cuma segalanya datang daripada ALLAH SWT. Sebab itu kita kena banyak berdoa, selain perlu disusuli dengan niat yang betul, baik dan ikhlas,“ tegasnya.

Baca lagi Ada hikmah di sebalik peristiwa ‘disekolahkan’ artis bermulut lantang, Nursyazwani lega ramai buka mata tentang…

lisa

Mengakui diri masih belum sempurna, ujar Lisa, beliau belum selayaknya dijadikan contoh, apa lagi idola kepada wanita lain yang beriltizam berubah ke arah kebaikan.

“Kena ingat semula apa niat asal kita. Justeru, nasihat saya, jadikanlah Rasulullah SAW sebagai idola. Banyakkan belajar sirah Nabi Muhammad dan sahabat-sahabat baginda. Baca juga kisah isteri para nabi dan jadikan pengajaran serta contoh teladan terbaik,“ saran pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadocia itu.

Rasanya tidak lengkap jika tidak bertanyakan perspektif Lisa tentang selebriti dalam lapangan seni yang tergelincir dari landasan, meski pada awalnya melaungkan tekad untuk berhijab.

Sekali lagi, dengan penuh tenang tanpa mahu mengecilkan hati sesiapa, Lisa berkata: “Kita doakan mereka. Sejujurnya diri saya pun tidak sempurna. Kita tidak tahu apa isi hati dan apa yang mereka lalui? Kita juga tak tahu apa yang mereka lakukan tengah malam dan apa yang didoakan?

“Justeru, kita tak perlu terlalu memikirkan tentang hal mereka. Doakan yang baik-baik dan bersangka baik.“

Dalam pada itu, kalau diperhalusi satu-satu setiap entri dalam laman Instagramnya, isteri kepada Datuk Yusry Abd Halim itu rajin memuat naik kata-kata positif dan berkongsi tentang kehadirannya dalam kelas usrah.

Iklan

lisa

Sambil menghela nafas, Lisa tanpa teragak-agak berkata, ilmu cukup penting dalam mengharungi kehidupan sebagai hamba ALLAH.

Justeru, ujar beliau, untuk memudahkan dirinya memahami lebih mendalam tentang pengetahuan ukhrawi, melibatkan diri dalam ceramah agama adalah pilihan yang tepat.

“Pendekatan itu juga salah satu sistem sokongan yang penting untuk kekal istiqamah dan bukan hanya konsisten melakukan ibadah semata-mata. Berkenaan kelas agama bersama selebriti lain, saya suka berbuat demikian kerana dapat berkongsi ilmu dengan mereka.

“Ia juga merupakan salah satu usaha untuk mengubah diri. Jika apa yang kita lakukan itu sesuatu yang baik, maka lebih baik teruskan.

“Seperkara, pesanan kepada semua dan diri saya juga, pergaulan kita juga ‘tersangat‘ penting kerana orang yang mengelilingi dan dikelilingi kita terutama rakan-rakanlah yang akan mengingatkan diri kita. Mereka jugalah akan membantu kita menuju ke jannah,“ ujarnya lagi.

Baca ni ‘Saya mahu jalan terus’. Digelar cepat koyak & sentap, Sissy Iman langsung tak kisah

KETEGASAN MENDIDIK
Sebenarnya, memang seronok bersembang dengan Lisa. Macam-macam kami bualkan meskipun masa sangat mencemburui.

Kami berpatah balik bercerita tentang anak-anak. Wajah personaliti penuh santun dan bijak itu kelihatan sangat berseri-seri saat menceritakan tentang Yahaira, Yusof dan Yunos.

 

Apabila melihat ketiga-tiga zuriatnya sudah membesar, rasa seperti baru semalam penulis menemubual dengan Lisa ketika beliau baru lagi berstatus isteri.

lisa

Seperti dikatakan pada awal artikel, tiga zuriat menjadi pusat perhatiannya.

Iklan

“Kalau tanya soal pembahagian masa dengan anak-anak, saya sangat bersyukur kerana kehadiran ibu cukup membantu dalam segala hal. Selain ibu tersayang, abang saya dan suami juga banyak memudahkan semua urusan.

“Pun begitu, walau sesibuk mana sekalipun, di rumah kita tetap seorang ibu. Malah, ibu ialah orang yang terawal bangun dan terakhir masuk tidur,“ katanya.

Sengaja penulis bertanya soalan yang sama seperti yang diungkap oleh wartawan lain sebelum ini tentang prinsip mereka suami isteri. Adakah si cilik kesayangan akan diberi ruang melangkah ke dalam industri seni?

Berikut jawapan empunya diri: “Jika diberi pilihan, saya tidak menggalakkan dan mahu anak-anak memilih bidang lain. Sebagai ibu, saya mahu anak-anak menjadi insan yang baik, soleh dan solehah. Saya mahu mereka memilih sesuatu yang berfaedah dan boleh mendekati diri dengan ALLAH.“

Pendirian Lisa nampaknya kekal utuh. Beritahunya lagi, dalam soal mendidik cahaya mata memang perlukan ketegasan.

“Namun, soal siapa lebih garang (dalam mendidik anak-anak), kami suami isteri satu pasukan. Ada masanya (ketegasan) datangnya daripada suami dan ada ketikanya daripada saya sendiri,“ ujarnya sambil tertawa kecil.

lisa

Baca  lagi Zara Zya mahu kaum Hawa kental dan ‘kena mahal’. Pelakon jelita ini juga sedia bertukar status

Pada pengakhiran bicara, perbualan kami lebih santai. Seperti yang pernah disebut oleh selebriti terkenal yang sudah berhijab, soal bertudung litup bukan masalah untuk berfesyen. Begitu juga dalam mengekalkan kesuburan rambut dan kulit kepala.

“Kesihatan rambut adalah berdasarkan kesihatan kulit kepala kita. Walaupun berhijab, saya tidak gemar memakai anak tudung yang sama sepanjang masa. Saya pastikan ia bertukar kerana ia juga salah satu cara untuk memastikan kesegaran kulit kepala.

“Dari segi psikologinya, saya mahu kekalkan kesihatan diri apabila kerap mencuci anak tudung setiap hari. Demikian juga dengan soal pakaian yang dipakai setiap hari dan telekung, sementelah cuaca kini yang agak panas,“ katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.