Bergaduh adik-beradik satu dunia tahu, jangan jadikan media sosial medan buka aib
PERIBAHASA air dicencang tidak akan putus membawa maksud perselisihan faham antara adik-beradik tidak akan kekal lama dan akhirnya akan berbaik semula.
Seperti yang kita tahu, orang tua dulu-dulu amat menjaga keharmonian dalam sesuatu hubungan, bukan sahaja silaturahim antara suami isteri, malah dengan saudara sedarah.
Perumpamaan tersebut juga menggambarkan situasi yang berlaku dalam pertalian abang, kakak dan adik.
Berikut SinarPlus kongsikan nukilan daripada Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkenaan isu tersebut.
Justeru pada saya, apa sahaja situasi yang berlaku dalam famili tidak sepatutnya dibiarkan berpanjangan.
Baca ni Mahu berkongsi kasih dengan suami orang? Ikut peraturan, jangan ‘menyondol’ sesuka hati!
Bahkan, sebaik-baiknya tidak juga diketahui oleh orang luar. Malangnya, seiring dengan perkembangan teknologi, semakin ramai yang terlupa dan dilihat tanpa sedar seperti sengaja membuka aib sesama ahli keluarga.
Sungguh sedih sekali! Saya merujuk hal tersebut bukan sahaja kepada golongan artis yang sememangnya sentiasa meraih perhatian ramai.
Sebaliknya, saya tujukan juga kepada segelintir masyarakat yang semakin tidak mempedulikan soal malu, apa lagi segan berkongsi masalah mereka dalam media sosial yang tiada sempadan.
Tiada lagi dalam kamus hidup mereka akan istilah berbincang secara baik yakni bersemuka atau dalam keadaan rahsia tatkala kemelut melanda.
Baca juga Amyra Rosli tak pernah anggap media sosial satu platform toksik. Ini pengalaman yang dikongsikan…
Biarpun mungkin tidak bergaduh secara terbuka atau kepada individu yang disasarkan, namun mereka memilih menjadikan media sosial sebagai pengantara.
Lebih memburukkan keadaan, mangsa (individu dituduh) belum tahu apa-apa, tetapi cerita tentangnya sudah tersebar hampir seluruh negara. Terus terang saya katakan, saya tidak bersetuju dengan pendekatan sebegitu.
Kaedah tersebut bukan sahaja tidak sihat, malah boleh menjadi parah dan mencetuskan barah kepada semua yang berada di sekeliling.
Kepada pembaca SinarPlus yang dihormati, sebagai individu Muslim, Rasulullah SAW ialah rahmat kurniaan ALLAH buat sekalian alam. Rahmat tersebut dinyatakan dengan jelas dalam pelaksanaan maslahah dalam kehidupan manusia.
Satu cabang maslahah tersebut ialah dhoruriyat. Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya berjudul al-Wajir fi Usulul Fiqh menjelaskan, dhoruriyat merupakan perkara yang sangat diperlukan oleh manusia bagi menjamin kehidupan yang sempurna dan tidak membawa kepada sebarang bentuk kesengsaraan.
Merujuk kepada objektif tersebut, terdapat lima perkara yang sangat perlu dijaga iaitu agama, jiwa, keturunan, akal dan harta.
Para ulama merujuk keturunan kepada sucinya nasab daripada generasi tidak diiktiraf syariat. Saya percaya, kepentingan menjaga keturunan juga boleh diambil kira sebagai menjaga maruah dan nilai diri setiap ahli keluarga.
Seperti zina yang mampu merosakkan keturunan dan dilarang, maka tindakan menyebarkan pergaduhan sesama ahli keluarga juga mampu menjatuhkan imej dan jati diri keturunan.
Ia sewajarnya dielakkan. Berdasarkan aspek psikologi juga, terdapat tiga perkara yang perlu dirahsiakan iaitu umur, hal ehwal keluarga (merangkumi hubungan suami isteri, ahli keluarga termasuk adik-beradik) dan pendapatan atau harta.
Bergaduh dan berselisih faham itu biasa. Walaupun kita berasal daripada benih yang sama, dilahirkan daripada kandungan serupa, namun ia bukan jaminan setiap daripada kita boleh 'sekepala' atau sehati sejiwa.
[caption id="attachment_133235" width="267"] Gambar PEXELS[/caption]
Pun demikian, itu bukan alasan untuk kita mendedahkan dan menceritakannya kepada seluruh masyarakat tentang dilema yang dihadapi.
Kenapa saya berkata sedemikian? Seperti peribahasa yang diucapkan tadi, keadaan dalam adik-beradik sepatutnya diselesaikan secara tertutup.
Dengan cara berkenaan, tidak kira betapa berat atau buruk sekali pun hubungan anda, ia boleh menjadi baik semula kerana masing-masing masih ada rasa hormat apabila harga diri masih dijaga.
Sebaliknya, jika ia sudah melibatkan orang luar apatah lagi menjadi ulasan atau bualan tanpa difahami keadaan yang sebenarnya, situasi tersebut bukan sahaja boleh menambah bara, tetapi berupaya meledakkan fitnah besar.
Ibu bapa jadi pendamai
Suka untuk saya cadangkan, dalam menangani isu sebegini, ibu bapa harus memainkan peranan penting.
Janganlah pula disimbah minyak ke dalam bara, sudah pastilah api akan lebih marak menyala, bukan?
Sebagai orang tua yang menjadi tunjang dan tonggak dalam keluarga, anda seharusnya bertindak sebagai pendamai. Sungguh tidak bijak jika ada yang berhasrat menambahkan lagi luka dalam diri anak-anak.
Mak ayah kena faham, tak kiralah sama ada anda memihak kepada anak yang paling kaya, anak yang paling bijak atau anak paling anda sayang, namun bukankah mereka semua permata hati anda?
Baca lagi Bukan tanggungjawab anak beri kemewahan kepada ibu bapa. Tidak kira apa jua pengorbanan mereka
Justeru, kenapa perlu terlibat sama dalam menjahanamkan hidup anak yang dikaitkan? Jika anda tunjukkan sikap besar kepala seperti sekarang, langsung tidak kisah malah seronok pula menceritakan keburukan ahli keluarga sendiri, anda sebenarnya sedang mengajar si anak bahawa tindakan anda adalah benar.
Usah terkejut jika satu hari nanti, aib anda pula dicanang dek anak anda. Buat adik-beradik yang terlibat dalam perang saudara menerusi maya ini, perhatikan sekeliling.
Siapa yang bersama dengan anda? Pasangan, jiran atau kawan? Tepuk dada, tanya selera. Memang benar masing-masing sudah ada kehidupan yang sendiri.
[caption id="attachment_133237" width="600"] Gambar hiasan PEXELS[/caption]
Pun begitu, tidak bermakna kita perlu ketepikan kehidupan masa lalu terutama momen ketika membesar bersama abang, adik dan kakak kita.
Memori sewaktu kecil, walau mungkin tidak seindah seperti dalam syurga, saya saya yakin banyak kisah yang boleh dikenang bersama.
Lantaran itu, nasihat saya jadilah seperti carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Elak menepuk air di dulang kerana percikannya tetap akan mengena ke muka sendiri. Siapa yang malu? Anda juga...
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang