Bukan tanggungjawab anak beri kemewahan kepada ibu bapa. Tidak kira apa jua pengorbanan mereka

A
A
A

Bukan tanggungjawab anak beri kemewahan kepada ibu bapa. Tidak kira apa jua pengorbanan mereka

MAK, ibu, mama, bonda atau mummy biasanya sinonim dengan individu yang penuh dengan kasih dan sayang.

Susuk tubuh itulah yang sanggup mengorbankan dirinya demi seorang anak.

Malah, jika diberi pilihan, beliau akan memilih anak berbanding dengan suami, biarpun lelaki itu ialah bapa kepada zuriatnya sendiri.

Baca ni Sampai hati! Si Tanggang Moden halau ibu angkat hingga merempat selepas kikis harta, ini kronologinya

ibu

Namun, situasi kini kian berubah. Perasaan itu semakin hilang.

Lebih 25 tahun kerjaya saya yang banyak menangani isu perkahwinan dan kekeluargaan, saya telah temui ramai wanita berstatus ibu yang menganiaya anak sendiri.

Malah, ada yang bersekongkol dengan suami yakni bapa kandung atau bapa tiri kepada anak tersebut untuk mempergunakan permata hatinya demi kepentingan sendiri.

Ya, kata-kata saya bukan satu omongan. Ingin saya kongsikan satu kes menerusi satu siri ceramah yang saya jalankan.

Saya menerima pengakuan seorang ibu yang mengeluarkan arahan kepada enam anaknya supaya memberinya RM500 sebulan.

Wang tersebut dikatakan untuk kegunaan beliau bagi meneruskan hidup dengan suami baharunya.

Sewaktu membesarkan enam zuriatnya, beliau ialah seorang ibu tunggal.

Wanita tersebut berkahwin semula hampir setahun selepas anak bongsunya tamat belajar dan baru bekerja.

Kata ibu tersebut, ada antara anaknya yang terpaksa memberikan hampir separuh daripada gaji mereka. Namun, ada beliau kisah? Dirinya tidak peduli langsung.

Alasan yang dikongsikan cukup mudah. Selama ini, dengan tulang empat kerat inilah yang telah bertungkus-lumus membesarkan enam orang anak, ujar wanita itu penuh yakin.

Maka, kini masanya untuk beliau menikmati hidup bersama suami yang juga duda anak empat dan tidak bekerja.

Berdasarkan hukum syariat, seorang wanita berstatus isteri adalah tanggungjawab penuh sang suami untuk membiaya segala keperluan hidupnya.

Ia bukanlah peranan anak-anak, tidak kiralah apa jua yang telah dikorbankan oleh si ibu.

Baca lagi 11 anak dalami bidang agama, 4 huffaz al-Quran, Dr Nurwanis kongsi doa & amalan ibu bapa. Wajar dijadikan contoh!

Segala jerih-perih yang telah dilalui dalam membesarkan anak-anak bukannya budi yang perlu dibalas semula.

Ketahuilah ibu-ibu di luar sana, anak kita tidak pernah minta dilahirkan ke dunia.

Atas kasih dan cinta antara lelaki dan wanitalah, si kecil lahir untuk diberikan kasih sayang, perhatian termasuk menanggung segala keperluan sehingga mereka mampu berdikari serta hidup sendiri.

'Kuasa syurga'

Pun demikian, perlu diketahui bahawa si anak boleh menolong ibu atau bapa masing-masing dengan syarat tidak menafikan hak dirinya dahulu dan tidak dipergunakan hingga menganiaya diri si anak.

Menurut hadis Riwayat Abu Daud, telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanyakan: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya di sisiku satu dinar, aku suka untuk membelanjakannya. Kepada siapakah perlu aku berikan?”

Balas baginda: "Belanjakanlah untuk dirimu..."

Lelaki itu bertanya lagi: “Jika aku ada wang dinar lagi?”

Jawab Nabi Muhammad: “Belanjakan wang tersebut untuk anakmu.”

Lelaki berkenaan terus bertanya lagi: "Jika ada lagi wahai Rasulullah SAW?” Lantas Rasulullah SAW berkata: “Belanjakanlah untuk isterimu...”

Pertanyaan terus diajukan oleh si lelaki itu: “Jika aku ada lebihan lagi?” Baginda dengan tenang menuturkan: “Engkau lebih mengetahui tentang orang yang berhak menerima sedekah dalam kalangan kaum kerabatmu dan jiranmu serta juga sahabat-sahabatmu.”

Menurut hadis mulia tersebut, maksud kaum kerabatmu adalah merangkumi ibu atau bapa yang memerlukan.

Baca lagi Tergamaknya ayah! Berat 55kg turun 29kg dalam 6 bulan, budak 8 tahun sanggup mati daripada didera

Berdasarkan keutamaan dalam berbelanja pula, seorang lelaki mesti mendahulukan keperluan dirinya sendiri, kemudian diikuti oleh anak dan isteri.

Setelah itu, barulah keperluan orang lain termasuk ibu atau bapa.

Paling penting, tanggungjawab biaya tersebut diletakkan pada bahu lelaki, bukan perempuan.

Seperti maksud firman ALLAH SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana ALLAH telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka."

Dalam satu hadis Riwayat Ibnu Majah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Tiada pekerjaan yang lebih baik daripada seorang lelaki yang bekerja dengan tangannya sendiri dan tiada infak (perbelanjaan) yang lebih baik daripada seseorang memberikan nafkah untuk diri dan keluarganya, anaknya, pembantunya dan semua itu dihitung sebagai sedekah baginya.”

Dalil-dalil yang dinyatakan jelas membuktikan bahawa bukan tanggungjawab si anak untuk memberikan kemewahan kepada ibu atau bapa.

Apatah lagi hingga dibebankan untuk turut menyara hidup orang lain, waima adik-beradiknya sendiri.

Baca lagi Kahwini ‘anak emak’ satu kesilapan besar, betul ke sampai macam itu sekali?

Dalam hal ini, si ibu atau bapa tidak berkuasa untuk memerintahkan sedemikian, malah tiada istilah derhaka buat anak yang enggan menurut kehendak si ibu atau bapa.

Ya! Syurga seorang anak terletak di atas reda ibu kepadanya. Persoalannya, apakah tindakan si ibu itu diredai ALLAH?

Ibu yang diberi amanah untuk jaminan syurga si anak pun belum dijamin syurganya.

Justeru, tidak wajar seorang ibu yang sinonim dengan insan yang bersalut dengan kasih sayang mengeluarkan kata-kata kesat ketika marah, apa lagi fitnah terhadap anaknya sendiri.

Saya sendiri seorang ibu tunggal yang perlu berusaha membesarkan semua anak sendirian. Justeru, saya faham kemelut dan kesusahan yang dilalui oleh seseorang ibu.

Baca lagi Mahu berkongsi kasih dengan suami orang? Ikut peraturan, jangan ‘menyondol’ sesuka hati!

Pun begitu, saya membantah tindakan si ibu yang menjadikan kuasa syurga di bawah tapak kaki anda sebagai cara untuk memaksa anak menurut kata hanya kerana takut dilabel derhaka.

Jangan lupa, kita sebagai ibu atau bapa pun ada istilah derhaka kepada anak.

Derhaka di sini adalah apabila ibu atau bapa gagal melaksanakan tanggungjawab masing-masing kepada anak-anak seperti yang ditetapkan oleh syariat.

Ini termasuklah dalam memberikan kestabilan emosi demi hidup anak yang lebih baik dan diredai ILAHI.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca