Risau tak dapat banyak ‘like’, orang tak beri perhatian pada status di media sosial, ada kaitan dengan masalah mental? Ini penjelasannya

SINDROM Fear of Missing Out (FOMO) atau dikenali sebagai ketakutan ketinggalan sesuatu informasi merupakan salah satu masalah keresahan sosial.

Dari sisi berbeza, National Library of Medicine, Amerika Syarikat berkata, definisi FOMO mula diguna pakai setelah muncul rangkaian media sosial yang meluas pada tahun 2004. Ketika itu, aplikasi Friendster mula meledak.

FOMO dalam konteks itu merujuk kepada timbulnya persepsi takut akan ketinggalan dengan maklumat, diikuti dengan tingkah laku untuk mengekalkan hubungan di alam maya.

Very Well Mind pula mendefinisikan FOMO sebagai perasaan seseorang yang berasakan orang lain memiliki kehidupan yang jauh lebih baik berbanding dirinya.

Baca ni ‘Mak ladang pahala & rezeki.’Buat kejutan, Nubhan renovate bilik ibu serupa hotel undang sebak!

Persepsi negatif itu mengakibatkan lahirnya perasaan hasad dengki yang mendalam sehingga boleh menyebabkan kurangnya keyakinan diri.

Untuk mendalami lebih lanjut tentang sindrom FOMO, SinarPlus mendapatkan pencerahan susulan dengan Pakar Perunding Psikologi, CPC International, Dr Noor Aisyah Rosli.

Kata Dr Noor Aisyah, beliau bersetuju dengan makna FOMO yang dikemukakan oleh National Library of Medicine dan Very Well Mind.

Di Malaysia, istilah berkenaan, katanya, agak baharu kerana kebanyakan orang tidak mengetahui kewujudan masalah kebimbangan sosial itu.

“FOMO bukanlah satu penyakit mental, tetapi ia adalah masalah gaya hidup seseorang yang terlalu taasub dengan perkembangan media sosial sehingga tidak mahu ketinggalan dengan sebarang maklumat,“ katanya ketika ditemui di CPC International, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Jelas beliau, golongan yang berada dalam kondisi itu lazimnya mempunyai akaun dalam semua aplikasi media sosial.

“Disebabkan oleh rasa takut dan tidak mahu digelar sebagai seseorang yang tidak mengikuti perkembangan teknologi semasa, mereka memilih jalan sebegitu,“ katanya.

Sindrom berkenaan, beritahu Dr Noor Aisyah berlaku pada semua peringkat umur, tidak kira muda ataupun tua.

“Bagaimanapun, masalah itu lebih cenderung terjadi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kerana mereka mudah untuk memahami dan mengikuti sebarang perkembangan teknologi.

“Perkara itu tidak dapat dinafikan kerana ia boleh dilihat menerusi penggunaan media sosial seperti TikTok. Dulunya platform tersebut begitu popular dalam kalangan budak muda, namun sejak kebelakangan ini, orang dewasa pun suka,“ katanya.

CEPAT STRES

Beritahu Dr Noor Aisyah lagi, kelazimannya, kelompok yang terlalu fanatik dengan media sosial sebenarnya memiliki gaya hidup yang berbeza berbanding orang lain.

“Mereka lebih suka berinteraksi secara online berbanding bersemuka. Walaupun memiliki tingkah laku sebegitu, golongan itu sebenarnya masih memiliki keinginan untuk bersosial dengan orang ramai.

“Individu FOMO turut mahu sentiasa kekal relevan dan moden. Bagi mereka, platform itulah adalah medan terbaik untuk mengikuti perkembangan semasa,“ tuturnya.

Ciri-ciri lain yang membelenggu adalah keinginan untuk selalu mengemaskini status dengan harapan pengikut mengetahui apa yang mereka lakukan. Lama-kelamaan, tabiat tersebut menjadi satu rutin.

Seandainya apa yang dimuat naik menerima respons yang baik daripada pelayar lebih-lebih lagi berlaku komunikasi dua hala, ia akan menambahkan lagi keterujaan.

“Disebabkan adanya interaksi, mereka akan terus mencipta kandungan untuk menarik minat pengikut supaya kekal memberi mereka perhatian,“ katanya.

Kepada satu soalan, Dr Noor Aisyah berkata, FOMO tidak semestinya berlaku disebabkan oleh media sosial, tetapi ia boleh tercetus apabila seseorang tidak mendapat kehidupan yang diinginkan.

“Sebagai contoh, individu A mengimpikan kehidupan sempurna. Antaranya dia tidak mahu terlepas sebarang cerita dan mahu orang sekelilingnya sentiasa mempelawa mereka untuk melakukan aktiviti bersama. Jika tidak diajak, mereka akan mula mencipta tanggapan palsu,“ terangnya.

Baca ni Peroleh RM2.6 Juta sebulan, wanita 23 tahun ini bergelar jutawan dengan hanya kerja bersih rumah!

Untuk memperincikan inti pati itu lebih lanjut, SinarPlus merujuk laman perubatan www.psychCentral.com yang menerangkan tentang corak pemikiran individu FOMO apabila mereka ketinggalan dalam apa sahaja majlis atau informasi. Antaranya:

-Sering berfikiran bahawa diri tidak akan memperoleh apa-apa cerita jika tidak berada dalam mana-mana perjumpaan.

-Beranggapan bahawa ketiadaan dalam suatu majlis akan membuka ruang kepada orang ramai untuk bercakap buruk tentang mereka.

-Berasakan diri akan dipinggirkan sekiranya tidak mengikuti trend semasa.

Menjawab pertanyaan sama ada sindrom FOMO mempunyai kaitan dengan kesihatan mental, Dr Noor Aisyah berkata, kumpulan berkenaan mudah untuk mengalami gangguan keresahan (anxiety disorder) dan kecelaruan obsesif kompulsif (OCD).

“Hal itu kerana mereka terlalu obses dengan tanda suka (like) di platform media sosial.

“Sekiranya perkongsian tidak mencapai bilangan like yang diinginkan, mereka akan rasa stres kerana berpandangan bahawa kiriman atau status yang dibuat tidak menarik,“ ujarnya.

JEJASKAN MENTAL

Kami kemudian menghubungi Pakar Psikiatri, Hospital Shah Alam, Dr Nurul Syuhaida Abdul Razak.

Senada dengan Dr Noor Aisyah, Dr Nurul Syuhaida berkata, sindrom FOMO memang boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang.

“Masalah itu boleh menggugat keyakinan diri seseorang yang meletakkan keinginan melebihi kemampuan. Harapan yang terlalu tinggi akan mengundang kekecewaan jika tidak mampu menjadi apa yang dilihat dan diinginkan sama seperti yang dipaparkan di media sosial,“ katanya.

Pakar itu menambah, penggunaan media sosial yang tidak terkawal akan menyebabkan penghidap terperangkap dalam bayang-bayang sendiri.

“Apabila apa yang dihajatkan tidak menjadi kenyataan, secara tak langsung ia akan menimbulkan sifat iri hati terhadap orang lain sedangkan mereka tahu diri mereka tidak mampu berada pada tahap itu,“ jelasnya.

Selain itu, ulas Dr Nurul Syuhaida, apa yang membimbangkan beliau, penghidap FOMO juga berpotensi mengalami kemurungan melampau, serangan panik termasuk gangguan bipolar.

Jika hal itu tidak dapat dielakkan, pakar berkenaan akan merawat dengan memberi ubat-ubatan (farmakoterapi) dan tanpa ubatan (psikoterapi).

Iklan

Berikut jenis-jenis rawatan tanpa ubatan yang Dr Nurul Syuhaida kongsikan:

Cognitive Behaviour Therapy (CBT): CBT membantu orang ramai untuk belajar bagaimana untuk mengubah corak pemikiran yang boleh merosak atau mendatangkan pengaruh negatif kepada tingkah laku dan emosi.

Teknik relaksasi: Ia diguna pakai adalah untuk mengurangkan tekanan darah, degupan jantung dan memperlahankan corak pernafasan.

Teknik penyelesaian masalah: Satu bentuk terapi untuk pesakit mengenal pasti dan menyelesaikan masalah yang timbul dengan baik supaya dapat meningkatkan kualiti hidup.

Baca ni Berdiri di atas kaki sendiri, Mas Zharif Aziz Desa tak tumpang populariti arwah bapa. Anugerah bukti kemampuan diri

Mindfulness Therapy: Ia adalah sejenis terapi berbicara yang memfokuskan cara untuk menjadi lebih peka dan mengurangkan tindak balas secara automatik.

Mengawal penggunaan telefon pintar: Mengawal diri menggunakan telefon pintar dengan cara mengehadkan penggunaannya.

Dalam pada itu, menurut Health by Principle, salah satu cara untuk mengatasi permasalahan tersebut adalah dengan mengubah perspektif tentang media sosial itu sendiri.

Kata laman web itu, tidak salah untuk sekali-sekala bersikap acuh tidak acuh dengan konten yang terpampang di alam maya. Pendekatan itu secara tidak langsung dapat mengelak seseorang menjadikan media sosial sebagai tolok ukur kehidupan.

“Terapkan prinsip Joy of Missing Out iaitu menikmati setiap hal yang dikerjakan tanpa risau dengan apa yang dilakukan oleh orang lain.

“Bukan satu kesilapan untuk kita menggunakan media sosial, tapi jangan biarkan kebiasaan tersebut menguasai diri sehingga mengganggu aktiviti dan pemikiran,“ kata sumber berkenaan.

#kesresponden

Gara-gara kurang dapat tanda suka di laman Instagram, remaja cuba bunuh diri sendiri (TON, boldkan)

SEORANG remaja perempuan sanggup mencuba membunuh dirinya sendiri gara-gara tidak mendapat like (tanda suka) yang banyak di platform Instagram!

Iklan

Bukan rekaan, tetapi kisah itu terjadi ke atas salah seorang pesakit yang dirawat oleh Pakar Psikiatri, Hospital Shah Alam, Dr Nurul Syuhaida Abdul Razak.

Ujar Dr Nurul Syuhaida, apabila pemeriksaan dibuat, remaja berkenaan disahkan mengalami kerisauan melampau jika ketinggalan khabar atau trend yang sedang berlangsung di media sosial.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, situasi itu dikenali sebagai sindrom Fear Of Missing Out (FOMO).

“Mungkin ada sesetengah kita menganggap masalah itu satu perkara kecil, tetapi ia sebenarnya berlaku dalam komuniti kita. Sebagai contoh, pesakit saya itu masih di bangku sekolah, tetapi dia pernah mencuba untuk menamatkan riwayatnya gara-gara tidak memperoleh jumlah like yang banyak seperti kawan-kawan lain,“ kata beliau.

Baca lagi ‘Pandai bawa diri, ikut protokol. Bekas suami ayah terbaik.’ Ini reaksi Norjuma bila ditanya tentang status diri & anak-anak

Hakikat sebenar, kenalan kepada pesakit itu ialah mereka yang memiliki profil tinggi atau berpengaruh di laman sosial, tidak sepertinya.

Pun demikian, remaja berkenaan seboleh-bolehnya cuba meniru kehidupan kawan-kawan sekelilingnya.

“Pesakit saya ini sedaya upaya mengubah gaya hidupnya dengan cara berpakaian, bersolek dan kemudian memuat naik gambar ke laman Instagram untuk meraih perhatian ramai. Namun, sayangnya usaha itu tidak menepati kehendak khalayak dan like pun kurang,“ ceritanya.

Keadaan menjadi lebih parah apabila anak muda itu didapati kerap mencuri semata-mata mahu memenuhi keinginan untuk bergaya seperti individu yang diidolakan.

Satu lagi kajian kes yang dikongsi oleh Dr Nurul Syuhaida adalah berkisar tentang seorang lagi remaja dengan sindrom FOMO yang bertindak mencederakan diri lantaran jumlah like di laman sosial Instagramnya berkurangan.

“Pesakit ini beritahu saya yang beliau telah bersolek, berpakaian seksi dan daring, namun bilangan orang yang like telah menurun menjadi 200 like sahaja, sedangkan selalunya dia dapat 300 hingga 400 like.

“Disebabkan hal sebegitu, pesakit saya berasa sedih, marah dan benci terhadap diri sendiri. Baginya like yang sedikit menandakan dia tidak berguna dan hanya menyusahkan orang sahaja,“ katanya.

Oleh SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.