PENDAKWAH, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek disahkan kanser limfoma sejak Januari 2017 sehingga tahap empat. Isteri dan sembilan anak menjadi motivasi dalam menghadapi kanser ganas itu sekali gus menguatkan semangatnya melalui pelbagai rawatan termasuk kemoterapi.
Enam tahun bergelut dengan barah, Hanafiah yang lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi tidak mungkin akan melupakan tanda-tanda awal yang dialaminya.
Bapa kepada kepada Dai Nurul Syafiqah baru-baru ini berkongsi ilmu berharga itu di laman sosial Facebook. Berikut keadaan yang dialami beliau sebelum disahkan menghidap kanser.
1-KERAP DEMAM
Salah satu tanda yang kerap dialami Ustaz Hanafi sebelum disahkan kanser ialah demam yang berulang.
"Sebelum kanser, saya berdepan dengan masalah kesihatan hampir 10 tahun. Sekejap demam, seminggu tiga hari demam.
"Pekerjaan sebagai perunding motivasi yang memerlukan saya menerima jemputan motivasi tidak membenarkan saya berehat.
2-GASTRIK BERULANG
Selain itu, pendakwah yahg dikenali sebagai Sifu Bikers itu turut mendapati kerap diserang gastrik.
"Simptom kedua saya selalu hadapi ialah gastrik berulang kali. Apabila sakit sahaja saya akan ke kedai beli ubat. Tak ikut dos yang betul, asalkan angin datang terus ambil. Ia berlaku berulang dan salah satu penyebab kanser.
"Jika ambil ubat hati-hatilah dan ikut aturan yang betul," kongsinya.
3-BATUK BERDARAH
Tidak hanya kerap demam dan gastrik, figura pendakwah berusia 50 tahun itu mengakui sering batuk berdarah sekurang-kurangnya seminggu sekali.
"Saya selalu batuk keluar darah. Malah ketika memberikan kuliah agama di Masjid Sultan Salahuddin saya batuk berdarah.
"Waktu itu saya terus ke Poliklinik An Nisa dan doktor merawat berpesan, saya perlu buat pemeriksaan penuh ni. Saya degil waktu tu.
"Ketika itu saya beranggapan ia disebabkan oleh saluran suara tu luka atau bercakap kuat ketika ceramah menjadi punca bengkak tonsil. Namun apabila doktor periksa itu semua bukan penyebabnya.
Baca juga: Tidak dapat tidur 5 bulan, Ustaz Hanafi kongsi titik tolak hijrah Faizal Ismail
Baca juga: ''Ustaz Hanafi memang bawa Grabfood, nak cari duit poket' -PA
4-BUANG AIR BESAR BERDARAH
Ujarnya, simptom terakhir yang dialami sebelum disahkan kanser ialah kehadiran darah dalam najis ketika membuang air besar.
"Tidak lama selepas batuk berdarah, tak lama lepas tu buang air besar keluar darah. Saya pun tak tahu puncanya. Apabila ingin memberikan ceramah, saya akan membuang air besar keluar berdarah,: kongsinya.
Tanda-tanda yang dialami Ustaz hanafi seterusnya ialah sesak nafas pada Disember 2016 ketika membawa jemaah menaiki bas dari Madinah ke Makkah.
Sampai sahaja di Makkah dan membawa jemaah menunaikan umrah, beliau mendapatkan air zam-zam dan berdoa seperti berikut:
Kongsi Ustaz Hanafi, selesai sahaja berdoa dan meminum air zamzam itu, beliau sekali lagi membuang air besar berdarah dan kuantiti darah cukup besar!
"Tiba-tiba perut saya memulas dan masuk ke bilik air untuk membuang air besar, ketika itu kira-kira dua gayung darah keluar. Banyak sangat dan saya pening. Saya merangkak sampai terbuang air besar di atas katil.
"Waktu tu hanya zikir Lailahillallah," kongsinya.
Baca juga: Kanser limfoma boleh ancam nyawa tapi ada rawatan menyembuhkan, ini yang wanita perlu tahu
Baca juga: Jarang berlaku, jangka hayat rendah. Kanser multiple myeloma sejenis kanser darah yang ditakuti
AMALAN KETIKA RAWATAN
Selepas melalui pelbagai simptom, beliau kemudian menerima diagnosis kanser limfoma tahap empat dan memulakan rawatan. Figura dakwah itu pernah menjalani pembedahan membuang sel kanser sebesar 10 sentimeter (cm) panjang dan 7 cm lebar seberat sekilogram di sebuah hospital swasta.
"Akhirnya bersambunglah episod Ustaz keluar masuk hospital. Alhamdulillah sekarang bebas kanser dan masih berjaga-jaga juga supaya tidak diserang kembali.
"Geng, jaga kesihatan dan dapatkan rawatan awal kalau ada tanda-tanda luar biasa berlaku pada badan kita. Jangan biar atau abaikan.
"Kalau sakit, terus bersangka baik dan harap kepada ALLAH untuk diberi tenang lalui proses sembuh," katanya.
Dalam pada itu, beliau sempat menitipkan panduan buat pesakit kanser melawan penyakit kritikal itu.
1.BERSYUKUR
Selalu bersyukur dengan apa-apa jua ujian. Apabila bersyukur anda akan mendapat ketenangan yang tidak boleh dibeli.
Ramai yang tiada ada kanser atau sakit kronik tapi masih tak tenang.
Ketika solat pun ada yang tidak tenang maka bertukarlah. Jika ke masjid katakan"Syukur Ya ALLAH aku dapat datang masjid hari ini." Waktu solat rasa tenang. Bacaan dalam solat pun tidak kelam kabut atau terkejar-kejar. Apabila solat khusyuk maka ketenangan pun akan berpanjangan.
2. SANGKA BAIK
Selalu bersangka baik kepada ALLAH apabila diuji dan menganggap pasti ada sesuatu DIA ingin beri.
3. JAGA SOLAT
Ujarnya lagi, qada solat yang mana termampu kerana tiada siapa yang boleh menolong kita di akhirat nanti. Dunia memang boleh lepas namun tidak di akhirat.
"Takutnya Ustaz. Orang panggil kita Haji, orang panggil Ustaz. Tapi di akhirat nanti tengok, ada tujuh waktu solat ditinggalkan."
Jagalah solat kerana solat mencegah perbuatan keji dan mungkar.
4. SEDEKAH
Kata Ustaz hanafi Apabila disahkan kanser dan menjalani rawatan kemoterapi, tiada yang memanggilnya memberi ceramah motivasi. Namun beliau berlapan dada dan percaya ALLAH ada dan akan mencukupkan rezeki.
Biarpun dalam keadaan kewangan yang terhad, ujarnya pesakit kanser perlu tetap memberi sedekah.
"Pergi masjid, ada kempen Tabung Wakaf Aircond masjid. Saya katakan:"Ya ALLAH, ada pahala sedekah duit syiling aku ini. Kau kirimkan kat arwah emak ya, mudah-mudahan mak sejuk disana."
"Alhamdulillah, Nabi ingatkan ubati penyakit dengan sedekah. Habis ceramah, 30 peratus hingga 50 peratus sedekah untuk ALLAH dan kita sendiri akan rasa DIA akan mudahkan urusan kesembuhan," titipnya.
Malah katanya di dalam kita suci al-Quran cakap tercatat ayat"Takkan miskin orang yang bersedekah" sekali gus menguatkan semangatnya untuk mengikuti dan cuba buat.
"Saya mesti psiko balik minda dan kata kepada diri"ALLAH tidak akan menipu, janji ALLAH tu benar." Itu cara saya, pegang betul-betul dan tak ada siapa boleh buka.
5. PEMAKANAN SEIMBANG
Untuk mendapatkan kesembuhan, bab pemakanan juga dititiberatkan Ustaz Hanafi. Ujarnya jika seseornag gemar mengambil nasi nasi dalam kuantiti besar, cuba kurangkan dan perbanyakkan lauk.
"Apabila saya bersembang dengan pakar-pakar pemakanan dan doktor, mereka beritahu ada kajian menyebut kanser mudah berlaku apabila garam terlalu banyak dalam badan.
"Antara (kegemaran) pesakit kanser ialah suka makan ikan masin. Ia memang sedap. Bayangkan ikan masin Sepat. Goreng dengan cili padi, perah limau memang surrr.
"Saya makan banyak dan mungkin asbab dosa makan tidak jaga maka ALLAH aktifkan sel kanser itu. Sel kanser meradang dan menendang sel lain. Sel lain meradang tendang semua sel jadilah merebak," ujarnya.
Beliau menyarankan pesakit kanser mengambil ulam-ulaman, makanan yang bersifat alkali bukan yang asid.
6. ZIKIR
Ustaz Hanafi mengamalkan istighfarsama ada pendek atau panjang. Malah ketika menunggang motosikal masa tidak disia-siakan dengan menyebut ayat-ayat memohon keampunan daripada ALLAH SWT.
"Banyakkan zikir dimana-mana bukan atas sejadah. Begitulah.
"Barang siapa memperbanyak istighfar; nescaya ALLAH memberikan jalan keluar bagi setiap kesedihannya, kelapangan untuk setiap kesempitannya dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (HR Ahmad)
Dalam pada itu, Ustaz Hanafi menasihat pesakit kanser agar sentiasa kuat melawan ujian kesakitandan percaya sentiasa ada harapan pada masa hadapan.
"Ustaz doakan sesiapa yang diuji diberi kekuatan dan berjaya lalui sampai garisan penamat," kongsinya.
Padat dengan tip berguna, semoga titipan Ustaz Hanafi ini membantu kita mengelakkan pencetus kanser sekaligus menguatkan para pejuang penyakit itu melawannya.
Sumber: Facebook Ustaz Hanafiah
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!