SELAIN kanser limfoma yang dipaparkan pada pertengahan Ogos lalu, kali ini kami akan perincikan pula mengenai satu lagi jenis kanser darah yang dikenali sebagai multiple myeloma.

Multiple myeloma merupakan barah yang agak jarang berlaku, namun serangannya boleh memberi impak kepada kesihatan secara keseluruhan.

Seperti kata Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad, lazimnya penyakit yang tidak biasa dihidapi manusialah, penawarnya sukar untuk ditemui.

Risiko seseorang menghidap multiple myeloma akan meningkat seiring dengan peningkatan usia, dengan kebanyakan orang didiagnosis pada pertengahan umur 60-an, kata Mayo Clinic.

Berdasarkan data American Cancer Society, satu daripada 132 orang atau 0.76 peratus populasi dunia mempunyai risiko mengalami kanser tersebut.

Sementara itu, National Cancer Institute, Amerika Syarikat mendedahkan, pada tahun ini, kira-kira 35,000 kes baharu dicatatkan dan dianggarkan sekitar 170,405 penduduk di negara itu akan menemui ajal disebabkan multiple myeloma.

Persoalannya, adakah pesakit yang menderita kanser jenis tersebut boleh sembuh? Selama mana kualiti hidup seseorang akan terjejas?

Prof Madya Dr Bahariah Khalid

Bagi mendapatkan jawapan terhadap soalan-soalan itu, SinarPlus menemui Perunding Kanan Perubatan Dalaman dan Hematologi, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Bahariah Khalid.

Ujar Dr Bahariah, multiple myeloma adalah penyakit kanser sel darah putih yang melibatkan komponen yang dikenali sebagai sel darah putih. Ia terdiri daripada sel limfosit yang paling matang dinamakan sel-sel plasma.

Sel-sel plasma normal terkandung di dalam sumsum tulang dan merupakan bahagian penting dalam sistem imun badan manusia.

Ia adalah salah satu kumpulan sel yang bekerjasama untuk melawan jangkitan dan penyakit lain.

“Apabila limfosit sel B bertindak balas kepada jangkitan, ia akan matang dan berubah menjadi sel plasma yang menghasilkan antibodi untuk membantu menyerang kuman dan keradangan.

“Sel plasma yang membiak secara tidak terkawal dan menyesakkan sel normal di dalam sumsum tulang dipanggil multiple myeloma. Sel itu akan menghasilkan antibodi yang tidak normal dipanggil monoclonal atau M protein,” katanya.

Keadaan itu akan menyebabkan tubuh gagal melawan jangkitan, sekali gus merendahkan sistem imunisasi badan.

Tiada amaran awal

Mengulas lanjut, beliau berkata, seperti kebanyakan kanser lain, saintis masih mengkaji mengapa sesetengah individu boleh mendapat multiple myeloma.

Seperti fakta yang dikongsi Mayo Clinic, sememangnya mereka yang berusia 60 tahun ke atas antara yang berpotensi mendapat penyakit itu.

Namun, kata Dr Bahariah, anak muda juga sudah ada yang dikesan menghidap barah berkenaan.

Dari aspek jantina pula, golongan lelaki dan perempuan kini mempunyai ‘peluang’ yang hampir sama.

 

Perunding kesihatan itu turut menyenaraikan beberapa faktor yang boleh meningkatkan kemungkinan berlakunya penyakit tersebut. Antaranya:

  1. Perokok pasif iaitu individu orang yang tidak merokok, namun terdedah dan menghirup asap rokok orang lain.
  2. Perokok tegar.
  3. Individu yang menjalani terapi hormon.
  4. Keturunan atau genetik.
  5. Pendedahan kepada radiasi yang tinggi dan berpanjangan.
  6. Tekanan atau stres.

Dr Bahariah menambah, pesakit biasanya tidak akan menunjukkan simptom atau tanda amaran awal. Keadaan abnormal itu kemudiannya secara tiba-tiba akan memicu kepada pelbagai komplikasi seperti:

  1. Kadar kalsium yang tinggi dalam darah.
  2. Kegagalan buah pinggang.
  3. Individu dengan anemia (kekurangan darah).
  4. Kerapuhan atau patah tulang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, golongan yang mengalami hypercalcemia atau peningkatan aras kalsium akan mudah haus, sukar untuk membuang air kecil, hilang selera makan, pening, berada dalam kekeliruan atau tidak boleh fokus dengan baik.

Baca juga: ‘Inilah kehidupan’- Reaksi positif Cef Wan wajar dijadikan contoh, kuat lawan kanser

“Protein myeloma juga boleh merosakkan ginjal dan akan mengakibatkan kaki pesakit membengkak. Pertumbuhan sel plasma di luar kawalan pula akan memberi kesan kepada pengurangan jumlah sel darah merah yang lazimnya akan membuatkan penderita cepat letih, rasa mahu tidur dan sesak nafas,” jelasnya.

Impak daripada multiple myeloma, tulang pesakit akan rosak dan kesakitan akan lebih terasa pada tulang belakang.

“Sekiranya sel kanser menyerang tulang pinggang, pesakit boleh lumpuh dari pinggang ke bawah.Jika ia berlaku pada tangan, pesakit mungkin tidak mampu untuk mengangkat barang dan pergerakan yang terhad itu pastinya mengganggu rutin harian,” tambahnya.

Sementara itu, American Cancer Society menyatakan, penghidap kanser jenis itu juga sangat mudah dijangkiti kuman.

Terdapat beberapa sebab. Antaranya pesakit mungkin kurang memberi respons kepada proses rawatan.

“Keadaan tersebut menyebabkan mereka akan rasa tidak sihat untuk tempoh masa yang lama,” ujar penulisan tersebut.

Pemindahan sumsum tulang

Berhubung dengan rawatan, kami menemui Pakar Perunding Hematologi Beacon Hospital, Dr Tengku Ahmad Hidayat Tengku K Aziz.

Dr Tengku Ahmad Hidayat Tengku K Aziz

Ujar Dr Tengku Ahmad, rawatan kanser darah di Malaysia dijalankan antara lain untuk mengurangkan kesakitan, mengawal komplikasi penyakit dan melambatkan perkembangan myeloma.

“Untuk multiple myeloma, kimoterapi sudah jarang digunakan melainkan sel kanser itu sangat agresif. Pakar lazimnya akan melakukan kombinasi rawatan terapi sasaran dan imunoterapi,” terangnya.

Baca juga: Kanser limfoma boleh ancam nyawa tapi ada rawatan menyembuhkan, ini yang wanita perlu tahu

Terapi sasaran bertujuan membunuh sel yang tumbuh secara tidak terkawal. Teknik imunoterapi pula memanfaatkan sistem imun badan untuk menyerang sel kanser.

Dalam sesetengah keadaan, barah perlu dibunuh menggunakan gabungan terapi sasaran dan kemoterapi, ujar Dr Tengku Ahmad.

Selain itu, terdapat pendekatan lain yang dipraktikkan iaitu melalui pemindahan sumsum tulang. Namun, pelaksanaannya bergantung pada umur dan tahap kesihatan pesakit.

Mereka hendaklah berusia kurang daripada 65 tahun dan tidak mempunyai risiko penyakit kronik seperti strok atau sakit jantung.

Elderly female smiling with young female doctor visiting senior patient woman at hospital ward

Menjawab satu soalan, pakar itu memberitahu, kesan sampingan selepas prosedur adalah ringan dan tidak sama seperti terapi intensif untuk leukemia dan limfoma.

“Penghidap mungkin mengalami gejala seperti kebas-kebas tangan. Sistem penghadaman mereka mungkin sedikit terjejas semasa rawatan. Kadangkala sesetengah pesakit akan cirit-birit atau sembelit,” ujarnya.

Namun, secara amnya, setiap prosedur yang dipilih adalah selamat dan bersesuaian termasuk untuk golongan warga emas.

Menurut Dr Tengku Ahmad lagi, rawatan mungkin perlu diubah jikalau pesakit dikesan masalah buah pinggang atau kegagalan fungsi hati.

Baca juga: Derita kanser limfoma tahap 4, ibu tunggal anak 5 dari Kedah risau kalau-kalau terpaksa ‘pergi dulu’

Baca juga: ‘Selamat jalan Blake, terima kasih atas bakti.’ Tewas kerana kanser limfoma, hero K9 sudah tiada

Tempoh survival

Dari segi kadar kesembuhan, multiple myeloma yang dikesan pada peringkat awal memiliki prognosis yang lebih baik.

“Berdasarkan pengalaman saya, seseorang yang berada pada tahap satu boleh bertahan lebih daripada 10 tahun.

“Pun begitu, mereka yang berada pada tahap tiga mungkin mempunyai kadar survival lebih rendah iaitu antara dua tahun atau kurang daripada itu,” ujarnya.

Cleveland Clinic turut senada dengan fakta yang diutarakan pakar tempatan itu.

Memperincikan lebih lanjut, sumber antarabangsa itu menyatakan, 78 peratus pesakit dengan plasmacytoma tunggal masih hidup lima tahun selepas diagnosis.

Berdasarkan laporan Revised Multiple Myeloma International Staging System, kadar kelangsungan hidup selama lima tahun oleh pesakit adalah antara 40 hingga 82 peratus.
Kembali berbicara dengan Dr Tengku Ahmad, ujar beliau, multiple myeloma adalah kanser yang boleh dikawal, tetapi keberangkalian untuk ia berulang sekali lagi tetap ada.

Jika keadaan itu berlaku, doktor akan melakukan pemeriksaan semula untuk mengenal pasti rawatan dan dos yang bersesuaian untuk pesakit.

Tentang pemakanan, pakar itu menidakkan dakwaan bahawa pesakit langsung tidak boleh mengambil gula.

Iklan

Paling penting ujar beliau, mereka harus mengekalkan diet sihat dan seimbang bagi membekalkan tenaga.

“Ingin diingatkan, pesakit ditegah makan hidangan mentah. Langkah tersebut bagi mengurangkan risiko jangkitan kuman apabila sistem imun badan rendah,” ujarnya.

Dalam pada itu, tiada halangan untuk menjalani aktiviti harian, melainkan penghidap berdepan dengan komplikasi seperti patah tulang atau kerosakan buah pinggang.

Terakhir, Dr Tengku Ahmad berkata, tiada langkah pencegahan yang boleh diambil untuk mengelak daripada terkena kanser multiple myeloma.

“Pengesanan awal adalah langkah paling baik agar rawatan dapat diberikan sebaik diagnosis diterima,” katanya.

#kesresponden

Sakit belakang dan tulang petanda Aliyah menghidap kanser myeloma

BERITAHU Aliyah Adon @ Mohd Don, beliau sudah berasakan sesuatu yang tidak kena apabila sering rasa nyeri pada bahagian belakang dan tulang.

Kesakitan yang mencucuk-cucuk menyebabkan wanita itu sukar untuk berbaring, apalagi tidur lena.

“Ujian X-ray menemui banyak bintik putih pada tulang belakang dan darah menunjukkan bacaan yang tidak normal,” katanya.

Tidak mahu membuat kesimpulan awal, doktor meminta Aliyah menjalani diagnosis kanser.

Menurut pesakit berusia 42 tahun itu, tiada pengesanan kanser pepejal, namun hasil pemeriksaan mendapati fungsi buah pinggangnya telah berkurangan.

Kemudian, ibu kepada empat orang cahaya mata tersebut dirujuk kepada pakar hematologi.

“Ya, sedih untuk dinyatakan, ujian darah dan pemeriksaan sumsum tulang mengesahkan saya mengalami kanser multiple myeloma,” ujarnya.

Mengakui terkejut dengan perkhabaran itu, Aliyah tetap berlapang dada kerana masih berpeluang mendapatkan rawatan segera.

Iklan

Anak kelahiran Muar, Johor itu menambah, beliau mula menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali.

“Saya telah diberikan ubat bortezomib melalui suntikan, manakala dua lagi iaitu cyclophosphamide dan dexamethasone diambil secara oral.

“Melihat kepada keadaan kanser yang agresif, doktor menyarankan saya agar menjalani rawatan transplan daripada sel badan saya sendiri,” katanya.

Kepada SinarPlus, Aliyah memberitahu, beliau turut menerima pendermaan sel daripada kakak kandung kandungnya sebelum disahkan mengalami kanser terkawal.

Pada awalnya, beliau dikatakan sembuh. Namun, ia tidak bertahan lama apabila hasil ujian pat scan menunjukkan tanda kanser berulang.

“Untuk serangan myeloma kali kedua, kanser yang dihidapi telah menyerang bahagian lutut saya.

“Doktor kemudiannya mencadangkan saya menjalani rawatan kimoterapi bersasar menggunakan ubat daratumumab sebanyak 10 dos melalui kaedah drip,” katanya.

Untuk menguatkan imun badan pula, Aliyah sekali lagi menerima sel yang didermakan daripada kakak tercinta.

Akui beliau, sepanjang rawatan, ketahanan tubuhnya agak lemah, namun tidak mengalami kesan sampingan yang serius. Empunya diri juga bersyukur kerana proses rawatan tidak sesukar pesakit lain.

“Syukur kepada ALLAH, kanser yang saya alami kini berada dalam keadaan terkawal dan saya boleh menjalani kehidupan normal sejak setahun lalu.

“Pun begitu, saya masih perlu hadir untuk pemeriksaan berkala pada setiap tiga bulan,” ungkapnya.

Dalam pada itu, bagi memastikan kesihatan beliau sentiasa baik, Aliyah dinasihatkan untuk mengamalkan gaya hidup dan diet yang sihat.

“Doktor menyarankan supaya saya menjaga permakanan dan mengambil hidangan yang tinggi protein untuk pembinaan semula tisu yang rosak.

“Selain itu, saya turut melakukan senaman ringan dengan menaiki tangga dan melakukan aktiviti harian di rumah,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang