Ramadan bawa makna terindah, Liza Hanim pentingkan adab dan sifat hormat dalam didikan. Mahu tinggalkan legasi contoh

Iklan
ramadan liza hanim

PELAWAAN sebagai wajah muka depan SinarPlus sempena sambutan Ramadan Al Mubarak pada tahun ini disambut dengan tangan terbuka oleh Liza Hanim.

Meski sibuk dengan tuntutan kerja yang padat, namun pemilik nama sebenar Haliza Hanim Abdul Halim itu tidak lokek meluangkan masa untuk kami.

Iklan
Iklan

Justeru, pertemuan kira-kira 45 minit sempena majlis minum petang bersama figura hebat itu di Santapan Ummis Hijau Kasturi, Sentul Point, Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini dimanfaatkan sebaiknya.

Tidak mahu melengahkan masa lagi, perbualan kami berfokuskan ceritera Ramadan dan Syawal.

Iklan

Almaklumlah, semua umat Islam di seantero dunia sedang menjalani ibadah wajib puasa untuk hari ke-20 pada hari ini.

Iklan

Kepada SinarPlus, penyanyi bersuara lunak yang mesra disapa Liza itu memberitahu, istilah Ramadan baginya membawa maksud kebersamaan dalam ikatan kekeluargaan.

"Sudah menjadi tradisi kami satu famili, kecoh-kecoh menjelang waktu berbuka. Bayangkan masing-masing sudah ‘belemuih’ satu badan lepas siap masak. Tahu-tahu sudah tersandar kepenatan.

"Rutin wajib kami selepas iftar akan solat Maghrib berjemaah dan abang kemudiannya akan bawa anak-anak lelaki pergi solat tarawih di masjid berhampiran,” ceritanya sambil tersenyum manis.

Pun begitu, di sebalik kegembiraan tersebut, Liza berkata, sudah menjengah tiga tahun kuota iftar mereka sekeluarga tidak lengkap memandangkan anak kedua berada di asrama penuh.

 

"Hati emak ini kalau boleh nak tengok semua anak-anak ada dan berbuka bersama-sama. Walaupun si kakak dan adik-adik ada, tapi hati saya terasa kehilangan,” ujarnya.

Bicara kami kemudian diteruskan tentang bagaimana belahan jiwa kepada Mohd Shahrin Shamsudin atau Shah Indigo itu menyusun jadual sepanjang bulan Ramadan.

Beritahu Liza, menjaga ibu tersayang, Badariah Hanum yang kini berusia 77 tahun antara faktor dominan untuknya lebih selektif memilih tawaran yang berkunjung ketika bulan penuh berkat itu.

"Kalau boleh, sepanjang bulan puasa ini saya nak duduk rumah bersama keluarga kerana saya percaya, inilah masa terbaik kami perbanyakkan amal ibadah dan merebut seluas mungkin ganjaran pahala.

Baca juga ‘Tak mahu malu depan ALLAH…’ Maryam kongsi cabaran berpuasa di Korea, pernah belanja RM400 di bazar Ramadan

"Sudah tentunya teratak kami menjadi tumpuan saudara-mara kerana mahu berjumpa dengan emak. Ayah pula sudah tiada, begitu jua situasi sebelah keluarga suami, jadi masa kami banyak di Klang sahaja,” ungkapnya.

Skil ketupat

Sebelum dilayangkan persoalan lain, penulis tanyakan bagaimana persiapan Aidilfitri yang bakal menjelma lebih kurang 10 hari lagi buat ibu kepada lima cahaya mata itu.

Kongsi Naib Juara Golden Teen Search 1996 tersebut, segala keputusan termasuk pemilihan rona dan desain baju raya diserahkan bulat-bulat kepada anak-anak.

"Bagi saya dan suami, semuanya tentang mereka dan emak. Kita yang sudah dewasa ini lebih kepada ibadah itu sendiri. Keseronokan lebih kepada anak-anak.

Baca juga ‘Tiada istilah pilih kasih atau ingin eksploitasi anak demi kejar glamor.’- MUA Bellaz

"Sudah berapa tahun kebelakangan ini saya yang tentukan, kali ini biarlah anak-anak gembira nak membeli-belah baju raya. Cuma sampai sudah masih tak dapat keputusan nak beli baju apa lagi,” katanya berseloroh.

Berkenaan dengan juadah wajib raya pula, sudah menjadi kemestian zaman-berzaman buat keluarga Liza untuk menyediakan menu berasaskan ketupat yang dibuat sendiri.

Ya! Segala-galanya dibikin air tangan beliau sendiri bersama anak dara dan terunanya yang kebetulan pandai menganyam ketupat bantal. Malah, mereka boleh menyediakan sebanyak 200 biji ketupat sekali buat!

Tutur anak jati Klang, Selangor itu lagi, ilmu yang dituntut ketika usia 13 tahun tersebut diwariskan kepada anak-anak supaya kemahiran menganyam kelongsong berkenaan tidak lenyap ditelan zaman.

"Biar anak-anak pandai buat, nanti dah besar senang. Kalau dahulu, kami pakat ramai-ramai siapkan 200 ketupat dan rebus dalam kawah besar di luar rumah. Buat banyak sebab nak kongsi rezeki dengan saudara-mara.

"Cuma tahun ini tak pasti lagi dapat teruskan atau tidak sebab ada kerja ubah suai rumah. Tak tahulah takut nanti buat juga nak bagi puas hati dan rasai suasana nak raya itu,” katanya sambil tertawa kecil.

Didik adab

Masih berceloteh tentang keluarga tercinta, Liza percaya didikan adab dan hormat kepada orang tua menjadi sandaran prinsip buat zuriatnya yang semakin hari semakin membesar.

"Saya bersyukur hubungan antara kakak dengan adik sangat rapat. Tipulah mereka tak pernah bergaduh, cuma saya terapkan dalam diri masing-masing, jangan sesekali panggil nama.

"Gelaran kakak dan abang jangan tinggal sebab itu tanda hormat. Walau macam mana pun perasaan tak puas hati terbuku dalam hati, hormat itu wajib ada. Saya juga galakkan mereka berpeluk sesama sendiri,” katanya.

Menjawab kepada satu soalan, beliau mengakui dirinya sebenarnya seorang yang penyayang dan tidak mudah melenting.

Walau berdepan dengan kecaman keras yang menguris hati, tuan punya badan masih boleh terbang tinggi.

Baca juga ‘Sahur rutin sekeluarga.’ Hawa Rizwana rindu tarawih bersama, nasi ulam air tangan ibu satu kemestian

Namun, tatkala kritikan sinis menjentik hati dan perasaan manusia kecil dalam hidupnya, sukma seorang ibu tetap kalah.

"Bila melibatkan anak-anak, saya perlu bangkit bersuara. Kita sebagai emak sebenarnya tak sampai hati nak tanya, cuma saya mampu memohon maaf kepada mereka dek tempias aura negatif sebegini.

"Kasihan anak-anak bila terpaksa berdepan situasi tak menyenangkan itu. Namun saya percaya dalam dua orang mengata kita, 10 orang yang lain mendoakan kita,” ungkapnya penuh rendah diri.

Pemenang Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik di Dalam Lagu Anugerah Industri Muzik ke-23 itu juga berpandangan bahawa tenaga amarah itu amat memenatkan.

"Pernah marah dengan beberapa insiden yang tak boleh dimaafkan. Benda yang perlu ditegur, saya rasa wajar diberi peringatan. Sehabis boleh saya cuba kawal supaya tidak marah.

"Sebab saya rasa bila kita marah, orang akan hilang respek dengan kita. Nanti mereka takut bukan hormat,” katanya yang percaya amalan puasa mampu menjaga penampilan diri selain senaman.

Bina legasi

Tidak terlewat untuk SinarPlus mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Piala Perak Festival Muzik Shanghai 2000 itu selepas Liza Hanim 27 Years Journey In Concert berlangsung dengan jayanya baru-baru ini.

Persembahan beliau cukup memukau dan mengasyikkan! Buah tangan penuh dramatik itu sudah semestinya dapat mengubati penantian lebih 1,300 penonton yang hadir menggamatkan suasana di Zepp Kuala Lumpur.

Tatkala menyentuh perihal konsert tersebut, pelantun lagu Siapa Sangka Siapa Menduga itu tidak dapat sembunyikan perasaan teruja apabila beliau dapat merealisasikan impian terbesar sebagai anak seni.

"Saya sangat gembira dan teruja. Memang rasa nak buat lagi. Cuma di sebalik perasaan keterujaan itu, kita mesti merancang dengan teliti kerana mengadakan persembahan dalam skala besar, bukan boleh dipandang enteng.

"Kena ada waktu yang tepat untuk meraikan peminat. Apatah lagi pada tahun ini, sudah banyak konsert artis lokal memenuhi kalendar sampai Julai,” katanya yang turut menyokong anak seni tempatan untuk menyerlah bakat masing-masing.

Kebangkitan semangat penghibur tanah air yang rancak menganjurkan persembahan muzik kepada khalayak itu baginya, satu perkembangan positif dan Liza sendiri mengajak orang ramai untuk terus memberikan sokongan.

"Datang dan tontonlah konsert artis Malaysia supaya bakat mereka dihargai dan mempunyai permintaan. Jika tidak, tak mustahil industri kita terbunuh dek kebanjiran selebriti luar.

"Saya percaya artis kita ada bakat tetapi tidak diberi kesempatan untuk membuat persembahan di atas pentas besar. Mungkin itulah orang nampak artis kita tenggelam,” ujarnya yang turut merancang untuk konsert solo kedua, Liza Hanim 2.0 pada masa akan datang.

Kepada penulis, Naib Juara Gegar Vaganza Musim 4 itu menyimpan harapan cukup menggunung yang mana dirinya mahu meninggalkan legasi yang baik dan boleh diikuti generasi seterusnya.

"Saya lihat, ramai anak muda yang terjun ke dunia seni rata-rata sarat dengan visi mahu cepat raih populariti dengan view tinggi dan konten viral, walhal salah pemikiran itu.

"Tidak semua orang ada tangkal tuah. Kadang-kadang, kita perlu melalui banyak cabaran getir untuk mencapai sesuatu pengiktirafan dan bukan senang untuk kekal relevan," pesan beliau.

Sebelum menoktahkan perbualan, Liza yang muncul dengan single terbaharu yang juga runut bunyi untuk siri drama, Takdir Itu Milik Aku berharap sepanjang tempoh 27 tahun bergelar anak seni dapat dijadikan teladan dan legasi yang boleh dicontohi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!