HAWA Rizwana, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Biarpun bergelar hijabi, namun beliau bijak dalam bergaya.

Bersempena kedatangan Ramadan, SinarPlus memilihnya sebagai penghias muka depan. Melangkah masuk ke ruang lobi milik Kumpulan Karangkraf baru-baru ini, santunan si gadis terserlah dalam balutan kurung moden bercorak batik hasil sentuhan jenama Pieces by Raeesa.

hawa

Setia ditemani pengurus yang juga sepupunya, Hawa Rizwana melemparkan senyuman buat penulis. Sambil wajahnya ditata rias oleh jurusolek, kami memulakan perbualan. Memulakan mukadimah awal, pastinya persoalan mengenai sambutan Ramadan yang baharu beberapa hari disambut umat Islam.

Jujur pemilik nama sebenar Hawa Rizwana Ahmad Redzuan itu mengakui ada yang harus dikorbankan selepas diri terjun dalam industri seni, terutama waktu Ramadan. Enam tahun bergelar anak seni, memang masa cukup mencemburui dirinya.

“Kalau dahulu, rutin sepanjang bulan puasa, saya akan solat tarawih dengan keluarga baik di rumah atau ke masjid. Tahun lepas memang saya terlepas peluang kerana ada penggambaran drama.

“Bohonglah andai kata tak rindu nak kumpul sama-sama dengan keluarga tetapi tuntutan kerja membuatkan saya akur. Namun, tahun ini saya cuba usaha betul-betul dan merancang untuk tarawih di masjid Negeri,” ujarnya.

hawa rizwana

Menyentuh akan juadah berbuka, anak kedua daripada tiga beradik ini awal-awal lagi angkat ‘bendera putih‘ bab memasak.

Bukan kerana tidak pandai memasak, sebaliknya kepakaran itu diserahkan kepada ibu dan ayahnya.

“Minggu pertama puasa memang teringin macam-macam dan paling dinantikan adalah air tangan ibu dan ayah iaitu nasi ulam dan asam pedas keladi.

Walaupun itu makanan kegemaran saya, namun sehingga kini belum pernah lagi saya cuba memasaknya sendiri.

“Bukan tak nak cuba, tetapi saya memilih untuk bantu sediakan bahan untuk ibu di dapur kerana itu hidangan signatur beliau. Saya pula lebih kepada menu masak lemak,” ungkapnya yang mengakui lebih suka memasak berbanding membeli di bazar Ramadan.

hawa rizwana 1

Sahur rutin wajib

Kelebihan tinggal bersama ibu bapa memudahkannya untuk mengatur masa bersama keluarga.

“Kalau tiada kesempatan untuk solat tarawih di rumah yang diimamkan ayah, waktu sahur ruang terbaik untuk bersama keluarga. Sementelah itu rutin sekeluarga.

“Untuk raya pula, biasanya ibu akan sediakan menu laksa. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, juadah pagi raya sudah bertukar kepada rendang, kuah kacang dan sate. Kuih pula ibu lebih suka buat satu jenis sahaja, yang lainnya beli,” ungkap gadis berusia 28 tahun itu.

Ditanya sama ada aktif dalam bisnes jualan kuih raya seperti mana yang dilakukan selebriti lain, Hawa rupa-rupanya turut berbuat demikian.

“Dua tahun lepas saya mula jual hamper kuih raya untuk tempahan korporat, hadiah raya untuk kawan-kawan atau syarikat. Ini merupakan kolaborasi bersama abang dan kakak ipar.

“Memandangkan ramai yang jual kuih dan masa kami pun agak terhad, jadi penyediaan hamper adalah pilihan terbaik.

“Alhamdulillah sambutan baik dan memang sibuk sangat, pulang kerja kena siapkan tempahan,” kongsinya yang memilih untuk keluar bajet sahaja tahun ini kerana komitmen kerja.

hawa rizwana 2

Cerita Ramadan dan Syawal kami noktahkan memandangkan masih banyak yang cerita yang ingin penulis korek daripada tuan punya badan.

Menyentuh pula akan soal kerjaya, akui anak kelahiran Illinois, Amerika Syarikat itu, fokus utamanya kini adalah sebagai pengacara dan pelakon.

Warisi legasi ayah

Bagi yang kurang mengenali hos program bual bicara hiburan, Meletop itu, pasti tidak tahu, beliau merupakan anak kepada bekas pengacara program Selamat Pagi Malaysia dan bekas Rektor Universiti Teknologi Mara Perlis, Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman.

Malah, Hawa satu-satunya anak dalam keluarga yang menyambung legasi ayahnya itu. Mengidolakan pengacara Noor Azlina Redzuan, kongsi beliau lagi, ayahnya sering menggalakkan mereka adik-beradik bercakap di hadapan dengan menyediakan beberapa naskhah surat khabar.

“Setiap kali jemput saya pulang daripada sekolah, ayah akan berikan naskhah surat khabar baik bahasa Inggeris atau Melayu untuk saya baca.

Sambil itu, beliau akan membetulkan ayat atau perkataan mana yang salah.

“Mungkin kerana sejak kecil saya suka bercakap, jadi ayah lorongkan saya ke arah bidang ini (pengacaraan),” ungkapnya yang turut meminati Oprah dan Sarimah Ibrahim.

Hawa Rizwana 3

Tak kenal maka tak cinta, usai dikenali sebagai pengacara, beliau kemudiannya melebarkan sayap dalam arena lakon layar pula.

Pun begitu, dedah tuan punya badan, asalnya beliau bercita-cita ingin menjadi seorang pereka fesyen.

“Dulu saya memang minat fesyen dan nak jual baju jenama sendiri. Nampak gayanya hasrat itu belum tercapai memandangkan kini saya sudah beralih bidang. Jadi, saya kena fokus benda penting (kerjaya) dahulu sebelum menyediakan ruang untuk memenuhi keinginan tersebut.

“Lagipun, sekarang saya banyak berkolaborasi dengan pihak lain dalam dunia fesyen. Sedikit sebanyak membantu mencapai impian itu,” ungkap beliau lagi.

Iklan

Ditanya, apakah gelaran selebriti memudahkan seseorang itu mendapat tawaran yang tinggi sebagai wajah kempen sesuatu produk, Ini jawapan Hawa.

“Saya tidak mahu terima semata-mata kerana duit, bimbang beri kesan kepada orang lain. Malah, sebelum ini saya pernah menolak secara baik tawaran harga yang bernilai enam digit untuk sebuah produk. Ini adalah kerana, saya tidak pernah guna produk tersebut.

“Biasanya saya memilih produk yang mana barangan itu memang sendiri pakai. Jadi, secara tidak langsung buat kita seronok nak uar-uarkan kepada orang lain,” ujar selebriti yang memiliki wajah seiras Neelofa itu.

Hawa rizwana 4

Menyelak pula sisi peribadinya yang sebelum ini cukup aktif berbasikal, akui Hawa, minat tersebut masih dilakukan namun bergantung kepada masa terluang.

“Selain berbasikal, saya ada hobi baharu iaitu menari dan kickboxing. Pada masa sama, saya turut berjinak-jinak dengan maraton.

Mungkin kerana waktu kecil, saya tidak berkesempatan berbuat demikian kerana ibu dan ayah tidak membenarkan atas alasan keselamatan.

“Saya hanya berpeluang bermain bola dengan adik-beradik sahaja. Alhamdulillah, kini mereka (ibu bapa) sudah memahami dan menyokong pilihan saya.

Paling mengujakan, baru-baru ini beliau telah mencipta kenangan dan rekod peribadi apabila berjaya menawan puncak gunung ke-29 tertinggi di Asia Tenggara, iaitu Gunung Kinabalu.

hawa 1

“Saya hilangkan tekanan kerja menerusi workout. Berpeluang memanjat Gunung Kinabalu membuka mata saya yang aktiviti sebegini memang menyeronokkan dan menambahkan semangat kerja saya‚” ujarnya.

Iklan

Beliau kemudiannya dijemput menyertai half marathon di New Zealand tahun lepas yang benar-benar membakar adrenalin gadis kecil molek itu.

“Kalau sebelum ini saya jarang ambil cuti kerana fokus kerja. Akhirnya kini, saya ada keperluan baharu untuk berbuat demikian.

“Bekerja sambil bercuti sememangnya benar-benar memberikan saya seribu satu kepuasan selain memberikan kesegaran terutama kepada minda dan tubuh.

“Pada masa sama, saya berpeluang kenal orang baharu selain tahu budaya orang luar,” ungkap Hawa yang menganggap melancong ibarat terapi dan motivasi untuknya bekerja.

hawa 2

Sebelum menutup perbualan, sempat penulis bertanyakan sama ada sudah menemui Mr Right dan perancangan mengakhiri zaman bujangnya.

“Tipulah andai kata saya tak pernah bercinta sebelum ini, kan. Cuma, buat masa sekarang belum ada jodoh untuk saya melangkah ke fasa yang seterusnya (berkahwin).

“Insya-ALLAH, Andai sudah sampai masa tersebut, saya tidak menolak. Cuma kalau boleh saya mahu majlis itu berlangsung sebelum usia memasuki 40 tahun,” ungkap Hawa sebelum menoktahkan perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!