Pengsan di rumah, jantung Azlee Senario 99% tersumbat. Pembedahan pemasangan stent selesai

Iklan

PELAWAK Azlee Senario dilaporkan tidak sedarkan diri di kediamannya di Sungai Buloh, malam tadi.

Azlee atau nama sebenarnya Muhammad Azlee Jaafar, 56, berpeluh-peluh sebelum pengsan lalu dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB).

Iklan
Iklan

Pun begitu, beliau kemudiannya dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan sebelum disahkan mempunyai masalah saluran darah pada jantungnya tersumbat.

Lapor portal berita tempatan, isterinya, Aslinda Ayob berkata, Azlee kini ditempatkan di Unit Penjagaan Koronari (CCU) untuk pemantauan selepas menjalani prosedur angiografi dan pemasangan stent (tiub kecil).

Iklan

"Alhamdulillah keadaannya stabil namun perlu mendapatkan rehat secukupnya sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Aslinda juga turut berkongsi simptom awal yang dialami Azlee dari awal hingga disahkan mengalami serangan jantung.

Iklan

"Beliau mula menunjukkan berpeluh dan sesak nafas selepas selesai kerja pada petang semalam.

"Beliau balik dari mesyuarat pukul 5.30 petang semalam dan rasa berpeluh, panas serta mengadu dadanya sakit rasa ketat.

"Suami saya tidak pernah kena serangan jantung tetapi mungkin ada simptom yang kami tak perasan. Kadang-kadang tangannya kebas tetapi saya ingat itu simptom kencing manis,” ujarnya lagi.

Ujar Aslinda, beliau terus membawa suaminya ke klinik berhampiran rumah. Namun doktor kemudian meminta nya membawa Azlee ke hospital selepas mendapati keadaan lelaki itu yang kritikal.

"Selepas membawanya ke klinik, kami sempat balik ke rumah tetapi Azlee memang tidak dapat menahan sakit.

"Saya telefon ambulans dan terus membawanya ke zon merah Hospital Sungai Buloh.

"Tidak sampai 10 minit doktor minta pengesahan untuk bawa ke IJN kerana keadaannya yang membimbangkan," kongsi Aslinda.

Terdahulu, pelawak Ropie Cecupak berkongsi tentang pelawak kelahiran Johor itu yang dikejarkan ke IJN dan memohon doa orang ramai agar rakannya diberi kesihatan baik selepas menerima rawatan.

Untuk rekod, Azlee mula mencipta nama bersama kumpulan komedi Senario pada era 90an. Beliau juga adalah penggiat muzik ghazal di Johor.

Dengan bakat lakonan yang menyerlah, Azlee pernah dicalonkan di Festival Filem Malaysia (FFM) untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada edisi FFM 14 (1999) menerusi filem Senario The Movie.

Sumber: Kosmo, Berita Harian