DIAM tak diam, rupa-rupanya pelakon Raja Farah sudah selamat menimang cahaya mata keempat.
Berita gembira tersebut dikongsikan pemilik nama sebenar Raja Farah Raja Aziz menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya.
Menurut ibu muda berusia 35 tahun itu, beliau bersalin secara normal pada pukul 1.05 petang, Ahad lalu.
"Syukur Alhamdulillah. Saya selamat melahirkan bayi perempuan semalam. 9 Jun 2024. 1.05 petang. Bersalin normal.
"Syukur Ya Allah. Keluarga kami dah berenam sekarang. Doakan urusan saya berpantang dipermudahkan," ujarnya menerusi kapsyen yang dimuat naik bersama sekeping gambar mereka sekeluarga.
Pada masa sama, suri hati kepada Iskandar Ismail itu turut memohon orang ramai menitipkan doa agar urusan berpantangnya dipermudahkan.
Untuk rekod, Farah sebelum itu telah bernikah dengan Megat Bashirun Qhuyum Zakaria pada tahun 2010 namun perkahwinan mereka tidak kekal lama. Akhirnya pada Mei 2015, pasangan tersebut sah bercerai talak satu dengan suami beliau. Mereka tidak mempunyai zuriat sepanjang hasil perkahwinan mereka.
Pada 6 September 2015, Farah sekali lagi bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Iskandar Ismail
Hasil perkongsian hidup, pasangan tersebut dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Imran Iskandar, Ilham Iskandar dan Intan Iskandar dan terbaharu bayi perempuan.
Sumber: Instagram Raja Farah