PERTEMUAN diatur tatkala tuan punya badan sedang bercuti di bumi Australia bersama anak-anaknya.
Pelawaan menerusi sistem pesanan ringkas (WhatsApp) akhirnya membawa tiga beranak itu ke Studio A Sinar Karangkraf.
Mudah mesra dan peramah orangnya, itu gambaran awal diberikan kepada Nurul Shuhada Mat Shukri.
Malah, karakter tersebut turut diwarisi anak lelakinya, Umar sementara kakaknya Humairah sedikit pendiam.
Sekadar info, Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Hafidz Roshdi pada 30 April 2016. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 3.
Namun, keretakan rumah tangga pasangan itu menyebabkan wanita tersebut memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 27 Februari 2023 dan mereka disahkan bercerai pada 27 Julai 2023.
Memilih keluarga kecil itu sebagai penghias muka hadapan SinarPlus sempena Aidiladha, mukadimah awal kami bermula dengan sambutan hari raya tersebut yang pastinya sedikit berbeza dengan sebelum ini.
"Ya! Itu sudah semestinya, alhamdulillah, kami dikelilingi oleh insan-insan yang prihatin dan memberi sokongan. ALLAH MAHA BAIK, kalau dulu baju raya sepasang sekarang ramai yang bagi tajaan, memang cukup istimewa. Bukan itu sahaja, tahun ini juga cukup bermakna kerana saya bakal melakukan ibadah korban.
"Alhamdulillah, saya memang gembira kerana dapat kongsi rezeki dengan keluarga, dapat jumpa orang baharu dan ilmu tentang bisnes dan sebagainya,” ujar anak kelahiran Perlis itu.
Hikmah di sebalik duka
Menyambung lagi bicara, wanita yang mesra disapa Shu itu mengakui, ada hikmah atas apa yang berlaku dan nikmat yang DIA berikan di sebalik kedukaan itu.
"Pun begitu, Umar dan Humairah mengambil masa untuk terima hakikat apa yang berlaku antara saya dan bekas suami.
"Awal-awal dulu, memang si kakak agak murung dan tak nak bercakap dengan orang lain. Lantas, saya bawa jumpa pakar psikatri kerana tak mahu terus bersedih.
"Sebagai ibu saya mahu dia gembira seperti dahulu. Saya tukar sekolah, hantar kelas tambahan dan sebagainya. Duit boleh cari, janji mereka gembira kembali,” ujar Shu.
Jauh di lubuk hatinya yang dalam, ibu tabah ini mengakui, cukup takut dengan apa yang berlaku, lebih-lebih selepas penceraian.
"Saya takut bilamana mendengar pengalaman dan kisah wanita lain. Justeru, saya ambil kisah mereka untuk dijadikan panduan.
"Pernah satu malam, Humairah meluahkan rasa sedih apa yang berlaku. Sebagai ibu, saya cuba pujuk dan bagi kata-kata positif. ALLAH sayang sebab itu bagi ujian, DIA nak gantikan yang lebih baik,” ungkap Shu penuh sebak.
Biarpun sudah tidak lagi bergelar suami isteri, namun pemegang ijazah sarjana muda ekonomi dan kewangan itu sama sekali tidak mengambil kesempatan memburuk-burukkan bekas suaminya.
"Biarpun anak-anak tahu apa yang berlaku, namun saya tidak sentuh bab tersebut dan selalu nasihatkan mereka ikatan antara anak dan ayah takkan terputus.
"Saya jadikan contoh kemesraan dan hubungan baik yang terjalin antara saya dan datuk mereka. Jadi, saya nak mereka pun ada sikap sedemikian. Cuma, mereka sudah pandai cakap dan memahami apa yang berlaku,” ulas wanita berusia 30 tahun itu lagi.
Menyentuh mengenai pendekatan beliau yang rajin membawa anak-anak bercuti bagi ‘berubah angin’, akui Shu itu antara terapi jiwa bagi menghilangkan tekanan kepada mereka anak-beranak.
"Saya mahu anak-anak bina memori baharu yang menggembirakan. Tipu lah andai kata setiap masa berseronok, ada masanya kita bersedih tetapi takkan lama kerana anak-anak pasti akan menghampiri dan buat saya ketawa kembali.
"Pada masa sama, tumpuan orang ramai pada kisah rumah tangga membuatkan timbul rasa malu dan segan. Namun, saya bertuah kerana ramai yang memberi semangat, satu nikmat yang saya tak boleh nak gambarkan dengan kata-kata.
"Walaupun ada juga segelintir yang mengutuk, namun hanya satu peratus sementara yang 99 peratus lagi mendoakan. Saya berpegang pada prinsip andai rasa tak boleh teruskan jangan seksa diri. Apa pun tanya ALLAH terlebih dahulu kerana DIA tahu yang terbaik untuk kita,” ujarnya.
Bercerita sebelum tidur
Selain bercuti, ibu muda tersebut turut mempraktikkan kaedah bercerita sebelum tidur.
Mereka anak-beranak akan bergilir-gilir bercerita. Cuma, selalunya Shu yang paling banyak berbuat demikian untuk berkongsi nasihat dengan anak-anak atau kongsi kisah-kisah Nabi.
"Waktu itu, saya akan terangkan kenapa ALLAH uji sedemikian kerana sayang kita semua. Dalam bercerita itu akan terselit doa, Umar biasalah budak kecil, kan dan belum cukup betul-betul memahami.
"Dia selalu tak sabar, asyik tanya ALLAH dah ‘bagi’ belum ibu? Kata Umar lagi, kita kena doa kuat sikit, ALLAH tak dengar, sebab itu apa kita minta DIA belum bagi,”kata Shu sambil tertawa kecil.
Cerita anak ketiga daripada lima beradik itu lagi, kehidupan beliau yang dikelilingi ahli keluarga yang cukup kaya dengan kasih sayang membuatkan dirinya mahu anak-anak turut mendapat tempias tersebut.
"Saya selalu doa apa yang berlaku pada diri, takkan berlaku pada anak-anak. Cuma, saya sedikit ralat dan sedikit bersalah kerana anak-anak tidak dapat memiliki momen seperti mana rapatnya hubungan saya dengan abah.
"Pun demikian, apabila difikirkan ini adalah takdir Allah dan DIA sudah susun yang terbaik. Mungkin DIA ambil satu benda dan pasti akan ganti dengan yang lebih baik. Kena bersangka baik dengan Allah selalu,”ujarnya.
Beliau bagaimana pun melahirkan rasa syukur dan terharu. Walaupun kini tiada figura seorang ayah dalam 'syurga' kecil mereka, namun kehidupan beliau dan anak-anak tetap gembira.
"Orang selalu tanya macam mana saya boleh sekuat ini, tetapi saya boleh cakap semuanya kerana ALLAH MAHA BAIK. Apa jua yang saya lakukan, akan tanya ALLAH dahulu.
"Sebab itu, bila ada yang tanya bagaimana nak move on? Saya cuma cakap, kalau rasa memang tak boleh teruskan hubungan, maka jangan seksa diri sendiri.
"Kena berani untuk berubah lebih-lebih lagi jika ia memudaratkan diri sendiri jika masih ditunggu, tetapi jika boleh selesaikan dengan baik dengan kerjasama dua belah pihak, maka teruskan,” katanya.
Pada masa sama, wanita berketinggian 160 sentimeter itu dilihat cukup berhati-hati dalam berbicara dan berkongsi cerita.
Bimbang ada yang kurang senang atau menimbulkan provokasi kepada pihak lain.
Katanya, bukan mudah untuk membuat keputusan tersebut apatah lagi ia memberi impak besar kepada orang sekeliling.
"Saya sedar, bukan semua orang suka dengan apa yang berlaku. Cara orang berbeza-beza. Apa yang saya lakukan adalah demi anak-anak. Apatah lagi, abah dan mama selalu cakap mana yang terbaik, mereka akan sokong dan bantu.
"Saya tidak mahu terus hidup dalam dunia kesedihan dan hubungan toksik. Buat apa nak simpan kotak memori kesedihan dalam diri. Kalau pun sebelum ini ada momen gembira namun selebihnya adalah duka, maka pilihan undur diri itu adalah yang terbaik,” tegas Shu penuh makna.
Momen indah
Nyata pilihan yang diambil itu berbaloi dengan hasilnya. Kehidupan kini diwarnai dengan pelbagai momen indah. Biarpun terpaksa bermula daripada bawah, namun percaturan beliau membuahkan hasil.
"Alhamdulillah, saya sendiri tidak sangka mampu peroleh apa yang sekarang. Boleh beli kereta dengan hasil titik peluh sendiri, ada bisnes, jadi pilihan para usahawan lain untuk wajah kempen mereka dan banyak lagi.
"Kata-kata janda anak dua tak lawa, gemuk dan macam-macam lagi kejian saya peroleh sebelum ini sudah berbalas. Walaupun bukan mahu riak jauh sekali membangga diri, saya jadikan itu satu cabaran dan Tuhan permudahkan untuk saya berdiri di kaki sendiri,” ulas Shu dengan nada syukur.