GIGIH menelaah dan membuat kajian peribadi selama tiga bulan semata-mata mahu menghasilkan kerusi roda khas demi zuriat tercinta!
Demikian kesungguhan Mohd Noor Syazwan Ab Patar dan isteri, Nur Faradila Ahmad Tarmizy yang mahu anak bongsu yang dikasihi mampu ‘berjalan’ seperti anak normal lain.
Mohamad Qhalish berusia setahun disahkan spina bifida dan sacral agenesis selepas dilahirkan. Lebih menyedihkan, kelainan tersebut menyebabkan lumpuh dari pinggang hingga ke kaki.
Tidak mahu kekurangan diri membatasi pergerakan Mohammad Qhalish atau manja dipanggil Qhalish, pasangan berjiwa besar itu sanggup melakukan sesuatu di luar kotak.
Berbekalkan rujukan internet dan informasi yang dikongsikan keluarga senasib di luar negara, ditambah kepakaran suami yang berpengalaman luas dalam kejuruteraan mekanikal, model pertama berjaya disiapkan dalam tempoh dua minggu dengan kos RM700.
Cerita Nur Faradila, bukan mudah sebenarnya untuk mereka cipta kerusi roda seumpama itu memandangkan perlu meneliti kesesuaian kerusi khas buat Qhalish.
Manakan tidaknya, untuk projek tersebut sahaja sebanyak empat jenis kerusi dengan perbezaan jenis saiz dan material digunakan untuk mencari lekuk punggung dan pinggang yang selesa buat anaknya.
Untuk pemilihan kerusi sahaja sudah memakan modal hampir RM2,000, malah akui bekas penolong pengurus berkenaan, pada awalnya semuanya dibuat oleh suami secara manual.
"Alhamdulillah, kami sudah jumpa tempat khas. Sebenarnya di luar negara memang sudah ada model yang sama, cuma di Malaysia nampaknya belum ada lagi. Mungkin disebabkan kos tinggi.
Berkongsi kisah penuh inspirasi itu, Nur Faradila memberitahu, idea tersebut sebenarnya tercetus selepas melihat Qhalish berusaha sedaya upaya untuk bergerak meski dengan cara mengesot ketika bermain dengan sepupunya.
"Qhalish sebenarnya sudah boleh merangkak walaupun agak lambat (masa umur lapan bulan), namun saya percaya dia boleh buat lebih daripada itu,” katanya yang menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Berkongsi perkembangan terkini permata syurganya itu, ibu kepada dua cahaya mata itu memberitahu, anaknya baru selesai menjalani pembedahan tulang belakang dan saraf tunjang.
"Mungkin selepas ini ada lagi prosedur pembedahan susulan memandangkan implan sedia ada barangkali tdak lagi sesuai seiring perkembangan usianya nanti,” tuturnya.
Apa yang membuatkan Nur Faradila bangga dan terharu apabila melihat semangat juang Qhalish yang cukup tinggi apabila si kecil itu tidak sedikit pun merengek waima ketika mencuci luka pembedahan.
"Walaupun macam itu tapi sangat petah bercakap. Saya tahu Qhalish memang nak sihat cepat. Mungkin rindu nak main dengan kakaknya di rumah,” katanya sebak.
Melihat keutuhan jiwa seorang ibu yang sentiasa bangkit demi cahaya mata tercinta, wanita itu percaya sistem sokongan daripada suami dan keluarga sangat penting.
"Mana ada ibu yang sanggup bunuh anak sendiri dan kami mengambil keputusan untuk meneruskan kandungan. Kami percaya setiap ujian yang ALLAH nak bagi mungkin datang dengan hikmah yang tak disangka.
"Percayalah, setiap anak didatangkan dengan rezeki cukup luar biasa. Qhalish misalnya, kami dapat reka kerusi khas dan menjana pendapatan menerusi tempahan yang diterima,” ungkapnya penuh syukur.
Sebelum menutup perbualan, Nur Faradila turut menitipkan kata-kata semangat buat keluarga yang senasib dengannya supaya jangan sesekali menyalahkan takdir dan menidakkan hak seorang anak.
"Janganlah sembunyikan anak istimewa hanya kerana malu. Sebagai ibu bapa, kita juga perlu mendidik orang supaya lebih peka,” ujarnya yang turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang banyak membantu meringankan beban kos pembedahan buat Qhalish.
Bagi yang ingin menceriakan hidup Qhalish sekeluarga, sumbangan ikhlas boleh disalurkan ke akaun Maybank 162843203359 atas nama Nur Faradila Binti Ahmad Tarmizy.