BAJU kebaya merupakan busana yang mewakili warisan budaya dan identiti penting bagi kaum wanita Melayu, Peranakan (Baba Nyonya, Chetti dan Jawi) dan lain-lain masyarakat di Malaysia.
Manakan tidaknya, selain baju kurung, pakaian tradisional inilah yang paling banyak digunakan di negara ini. Lebih istimewa lagi, ia tampil sebagai salah satu warisan fesyen yang tidak luput ditelan zaman.
Bahkan tahun lalu, pakaian tradisional itu telah dihantar pencalonan ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage (ICH) of Humanity.
Pencalonan itu dibuat oleh Malaysia bersama dengan Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand memandangkan pakaian tersebut mewakili warisan budaya dan identiti negara masing-masing.
Lantaran itu, perkara tersebut mendorong dua pereka fesyen, Jonathan Kok dan Farel Mikhail untuk menghasilkan buku Pesona Kebaya dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi mempromosi baju kebaya di dalam dan luar negara.
"Ada yang bertanya, kenapa memilih kebaya sedangkan banyak lagi pakaian tradisional lain yang boleh dijadikan buku?
"Busana mempunyai tarikan dan keunikannya yang tersendiri selain merupakan warisan budaya kita yang harus kita hargai," ungkap Farel sewaktu ditemu bual baru-baru ini.
Berbicara lanjut berkenaan naskhah tersebut, tujuan mereka adalah untuk memperkasakan baju kebaya yang menjadi budaya Malaysia.
Sementelah kata Jonathan, kebanyakan masyarakat menyangka hanya satu jenis sahaja. Sehinggakan ada pertandingan ratu cantik yang hanya memilih kebaya nyonya sedangkan banyak lagi rekaan lain.
"Justeru, kami nak masyarakat tahu kebaya di Malaysia bukan hanya ada kebaya nyonya dan kebaya pramugari, sebenarnya ada 10 lagi jenis kebaya yang kita patut tahu dan perlu diketengahkan.
"Antara kebaya yang saya maksudkan adalah kebaya Perlis, Pahang, Johor-Riau, Kota Bharu dan banyak lagi. Semuanya kebaya tetapi ada perbezaan dan kelebihan tersendiri yang kita semua harus tahu," ujarnya.
Selain itu, buku tersebut juga boleh dijadikan sebagai rujukan kepada pelajar yang mengambil bidang fesyen atau sesiapa sahaja yang meminati fesyen. Mereka boleh melihat perbezaan seperti pola dan cara jahitannya.
"Sebagai contohnya, Kebaya Perlis, jika dilihat dari sudut belakang, nampak seperti baju kurung kerana kekek sama seperti baju kurung dan tidak bertulang pada bahagian bahu.
"Berbeza pula kebaya Pahang yang terkenal dengan pesak kembang di bahagian sisi baju, namun tidak memupunyai kekek dan berleher cekak musang.
"Sementara Selangor tidak mempunyai pesak depan selain kainnya jenis selisih. Ia turut dikenali dengan panggilan The Malay Dress."Busana ini mempunyai perbezaan yang ketara dengan kebaya labuh, kebaya pendek nyonya, kebaya Pahang atau Riau, namun memiliki persamaan dengan potongan kebaya labuh nyonya," ulas Farel.
Akuinya, kebarung lebih meninggalkan nilai sentimental memandangkan ibunya menggemari potongan sedemikian.
"Waktu kecil-kecil dahulu, setiap kali nak keluar rumah, ibu pasti akan mengenakan baju kebarung. Daripada situ juga saya mendapat inspirasi," ungkap Farel lagi.
Menjawab satu soalan, kata Jonathan pula, sebelum ini ada yang mendakwa kebaya berasal dari Indonesia atau Thailand sahaja.
"Menerusi buku ini, masyarakat dapat tahu dan membezakan kebaya Malaysia yang semestinya memiliki keunikannya tersendiri berbanding negara-negara lain.
"Biarpun diasak dengan arus kemodenan dunia fesyen, namun tatasusila dan tradisi pemakaian kebaya harus dipelihara.
"Pada masa sama, usah dilupa akan simbol perpaduan antara masyarakat khususnya untuk kaum wanita tanpa mengira kaum," ungkap Jonathan.
Pereka berkenaan juga berharap dengan kerjasama FM Group dengan MOTAC ini dapat memperkenalkan lagi busana tradisional negara ke peringkat antarabangsa.