PELAKON Puteri Sarah Liyana mengakui rakan selebriti, Bella Astillah masih dalam fasa menyesuaikan diri apabila terkejut seperti tidak menerima kenyataan bahawa dirinya sudah bergelar ibu tunggal.
"Saya memang jumpa untuk beri sokongan dekat dia.
"Bella pun masih dalam fasa terkejut, dan masih nak menyesuaikan diri jadi sebagai sahabat, kita cuba untuk sokong dan bagi semangat untuk dia untuk dia teruskan hidup dia,”katanya ketika ditemui SinarPlus.
Tambah Puteri Sarah, yang paling menyedihkan buat Bella pada masa kini adalah anak-anaknya.
Berbeza pula dengan dirinya, yang sudah lama bangkit dari sejarah hitam perkahwinannya sebelum ini.
"Dia memang sedih, tentu dia sedih. Berbeza dengan saya, tak sedih sebab dah terlalu lama move on.
"Bella masih tidak dapat menerima kenyataan tetapi dia mencuba untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang.
"Paling dia sedih adalah tentang anak-anaknya. Saya beritahu dia yang saya selalu ada dengannya jika perlukan bantuan, jangan malu untuk beritahu,” jelasnya.
Akui ibu kepada dua orang anak itu lagi, beliau berjumpa dengan Bella ketika Hari Raya Aidiladha yang lepas atas permintaan wanita kelahiran Sabah itu sendiri.
"Masa raya Haji, saya dah lama tak jumpa Bella. Dia pun baru balik dari Jakarta terus pergi mahkamah, jadi saya tak berkesempatan untuk jumpa dia.
Puteri Sarah berkata demikian kepada SinarPlus ketika ditemui dalam majlis pelancaran drama bersiri kepolisan Polis Peronda yang diterbitkan oleh Skop Productions Sdn. Bhd dan diarahkan oleh penerbit dan pengarah terkemuka tanahair iaitu Datuk Yusof Haslam, Syafiq Yusof dan C. Kumaresan, serta dibarisi pelakon terkenal seperti Shah Iskandar, Puteri Sarah, Ali Reza, Ramona Zamzam, Raja Afiq, Soffwany Yusoff, Kodi Rasheed dan ramai lagi.
Drama tersebut bakal menemui penonton sepanjang lima episod bermula 28 Jun 2024, setiap Jumaat jam 10.00 malam.