BERBAKAT dan memiliki aura tersendiri membolehkan anak seni bernama Shiha Zikir mampu berada dalam liganya yang tersendiri.
Menelusuri pembabitan awal anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu dalam industri seni, bintangnya turut bergemerlapan sehingga ke negara seberang.
Biarpun bekas Bintang Akademi fantasi dan Mentor itu dikurniakan wajah seiras penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa, namun empunya diri sama sekali tidak menggunakan kelebihan tersebut untuk menaikkan namanya.
Sebaliknya, wanita berusia 36 tahun yang memulakan langkah sebagai penyanyi seawal umur 17 tahun percaya, bakat yang ada dalam diri antara kelebihan yang menjana keupayaan untuk terus melangkah dengan jayanya.
Percaturan demi percaturan ditambah dengan iltizam tidak berbelah bahagi untuk berusaha mencapai kejayaan, membolehkan dirinya mendapat pengiktiran sehingga ke luar negara.
Paling manis apabila wanita kecil molek itu menerima anugerah Malaysia Model Star Award di Anugerah Asia Model Festival Korea Selatan dan Best Of Asian- Pop di InterContinental Music Awards (ICMA).
Pernah bergelar pengacara dan penyampai radio, Shiha kemudiannya mengorak langkah menceburi pula bidang perniagaan yang terdiri daripada bisnes kanta sentuh dan kosmetik.
Terbaharu, bersama beberapa rakan kongsi, maka lahirlah Shiha Nasi Ayam yang bertempat di Kuala Lumpur. Sambutan menggalakkan yang diterima membuatkan mereka memilih untuk membuka cawangan terbaharu di seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Empunya diri tatkala ditemu bual penulis baru-baru ini usai majlis pelancaran kedai tersebut mengakui, cukup terharu dan berbesar hati dengan sokongan semua pihak.
"Alhamdulillah selepas setahun lebih, kini berjaya membuka cawangan kedua. Pilihan lokasi berdasarkan permintaan ramai dan sememangnya ia cukup strategik. Pada masa sama, saya bersyukur kerana rakan kongsi juga banyak membantu.
"Sementelah saya lebih fokus kepada nyanyian, ada juga bisnes lain iaitu uruskan majlis korporat dan sebagainya,” yang mengakui keberanian mengambil risiko membuka kedai baharu ekoran sambutan yang baik.
Menyentuh mengenai persaingan yang diketahui cukup sengit lebih-lebih lagi, pemilihan hidangan nasi ayam yang sememangnya cukup hebat. Namun beliau optimis mampu terus melangkah maju.
"Dalam sesebuah perniagaan, baik individu mahupun syarikat, pasti ada misi dan visi tersendiri. Alhamdulillah, walaupun mungkin tidak selaju bisnes orang lain namun saya berpegang kepada slowly but surely.
"Lagipun saya memang suka makan nasi ayam dan kini masih lagi belajar selok-belok dunia bisnes. Pada saya, semua orang ada selera tersendiri. Ibarat buat lagu, ada minat tertentu, demikian juga bab makanan.
"Saya tak takut kerana semuanya bergantung pada rezeki. Kalau orang suka pasti mereka datang, kalau tidak, masakan boleh paksa, kan?,” ujar Shiha yang menyediakan pelbagai diskaun dan promosi menarik buat pelanggan yang berkunjung ke kedainya.
Mengulas mengenai rakan kongsinya, beliau menitipkan rasa syukur kerana setiap daripada mereka percaya kepada keupayaannya dalam melebarkan sayap bisnes bersama.
Malah, dalam perbincangan mereka turut merancang untuk membuka lebih banyak cawangan di tempat lain pula.
"Kalau diikutkan, saya teringin nak buka cawangan di luar Kuala Lumpur. Mungkin suatu hari nanti andai ada rezeki kelak,”ujar Shiha.
Ditanya persepsi negatif yang dilemparkan segelintir pihak yang memandang sinis apabila memilih bisnes nasi ayam, ini jawapan padu empunya diri.
"Memang ada yang kondem, namun apa sahaja yang anda suka, teruskan. Soal kata-kata orang itu abaikan kerana saya buat apa yang diminati dan bukan atas paksaan orang lain.
"Yang penting, buat bukan dengan ‘tangan kosong’, tetapi dengan kesungguhan. Sejujurnya saya jenis multitasking dan semua bidang kalau boleh saya nak ceburi.
"Cuma, saya tak nak orang anggap bila buka bisnes nasi ayam maka, sepanjang masa masa saya di kedai. Sama sekali tidak ya, kerana saya masih ada kerja lain yang perlu diuruskan,” kata Shiha.
Gangguan sihir
Pada masa sama, tuan punya badan turut ditanya tentang cabaran yang bukan hanya persaingan namun juga tentang lalui getir yang terpaksa dilalui apabila berdepan dengan gangguan sihir.
Beliau mendedahkan cawangan pertama nasi ayamnya di Kampung Baru melalui beberapa gangguan mistik sejak mula dibuka pada tahun 2023.
Bukan itu sahaja, restorannya itu pernah dipecah masuk, selain menerima rungutan daripada beberapa pelanggan yang mendakwa premisnya tidak beroperasi.
"Saya selalu dapat panggilan daripada kenalan yang tanya, buka kedai hari apa? Asyik tutup bila datang. Sedangkan elok sahaja restoran beroperasi.
"Kejadian itu bukan berlaku kepada seorang sahaja tetapi juga kepada beberapa orang pelanggan lain. Cuma itulah, saya ini seorang yang easy going dan hanya fikir ia akan baik seperti biasa.
"Namun, saya agak sedih sebenarnya kalau cakap pasal perkara ini. Sepatutnya, bila masuk dalam dunia perniagaan ini, bersainglah secara sihat sebab rezeki masing-masing sudah ditentukan YANG MAHA ESA,”ungkap beliau.
Enggan membiarkan anak bongsu daripada tiga beradik itu larut dalam emosi sedih, perbualan kami terus bertukar kepada skop yang lebih privasi iaitu hala tuju hubungan cinta beliau dan juga perancangan mengakhiri zaman bujang.
Bagi yang mengikuti perjalanan seni beliau, pasti tahu hubungan yang terjalin antaranya dengan jejaka bernama Kamarul Arifin Baharun sejak 15 tahun lalu.
Bahkan, lelaki yang mesra disapu Arul itu merupakan pengurus perjalanan seninya. Lebih Istimewa lagi, cinta yang bersemi antara mereka turut meraih restu dan doa daripada keluarga kedua belah pihak.
Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir berkata, mereka masih menunggu waktu yang tepat untuk berkahwin.
"Bila orang tanya pasal kahwin, saya bimbang nak cakap, takut orang jemu dengan jawapan asyik sama. Sejujurnya baju kahwin pun sudah siap sejak tiga tahun lepas, cuma tarikh yang tepat belum lagi tiba.
"Saya okay sahaja kalau jodoh sudah tiba, cuma sekarang ada sahaja perkara lain yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu,” katanya sambil dipersetujui Arul yang mengakui cukup bersedia dan hanya menanti green light daripada kesuma hatinya itu sahaja.
Suka baca buku
Menyingkap lebih mendalam akan sisi peribadinya, tuan punya badan berkongsi hobi yang ramai tidak ramai tidak tahu.
"Saya dahulu lebih kepada boyish dan tak minat benda-benda yang berkaitan wanita seperti memasak dan sebagainya. Cuma, saya hanya suka mengemas rumah, berkebun dan sebagainya. Itu Shiha dahulu.
"Saya jatuh cinta dengan dunia masakan waktu berada di rumah sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Kalau di luar pula saya cari menu yang sedap-sedap dan semestinya nasi ayam,” ujar pelantun lagu Kalam sambil disambut deraian tawa bersama penulis.
Selain itu, beliau juga seorang pembaca buku tegar. Daripada situ, beliau mendalami pelbagai ilmu terutama yang berkaitan dengan dunia yang diceburinya.
Malah, di pejabat dan rumahnya dipenuhi dengan pelbagai jenis buka baik penulis dalam mahupun luar negara, kecuali buku novel.
"Ya! Saya sangat suka membaca. Mungkin orang akan hairan, waktu bila saya berbuat demikian? Sebenarnya membaca tidak perlu ada masa khusus,
"Setiap kali terluang itulah yang saya lakukan. Malah, lalu sahaja kedai buku, wajib singgah membeli kerana banyak ilmu yang perlu digali,” kongsinya lagi.