BEKAS personaliti televisyen, Norjuma Habib Mohamed menerima waran tangkap susulan gagal hadir prosiding sebutan semula tiga pertuduhan yang dihadapinya.
Empat Mahkamah Majistret mengeluarkan waran berkenaan sebutan semula tiga pertuduhan itu yang menyebabkan kecederaan ke atas tiga individu dan dua pertuduhan melakukan khianat yang dihadapinya antara 2017 dan 2023.
Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, Illi Marisqa Khalizan, Fatin Dayana Jalil dan Nurul Izzah Shaharuddin masing-masing mengeluarkan waran tangkap itu terhadap Norjuma, 44, selepas wanita itu dan penjaminnya tidak muncul di kamar mahkamah walaupun namanya dipanggil beberapa kali oleh jurubahasa sejak prosiding bermula pada 9 pagi.
Terdahulu, usahawan itu didakwa mencederakan seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram dengan menendangnya di bahagian betis kiri di sebuah pusat tuisyen di Brickfields di sini pada jam 3 petang, 29 Mac 2018.
Baca juga: Gagal bayar tuntutan RM260,400 Norjuma diisytihar bankrap, 5 fakta berkaitan
Wanita itu turut didakwa dengan sengaja mencederakan seorang lelaki, Mohd Afiq Ismail, 34, di sebuah premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang, di sini pada jam 8.43 malam, 21 Februari 2017.
Pengasas jenama tudung Aidijuma itu juga didakwa menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada jam 10.30 pagi, 18 Oktober 2021.
Kesemua pertuduhan mendatangkan cedera didakwa mengikut Sesyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Sementara itu Norjuma turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar masuk dan kamera litar tertutup (CCTV) milik sebuah kondominium di lorong Ampang 2 Taman U-Thant, di sini pada jam 7.44 malam, 28 Julai 2023.