BAGI sesetengah orang, hadiah menjadi tanda ingatan yang cukup bermakna. Namun, bagi pelakon Aedy Ashraf, menerima pemberian bukanlah sesuatu yang begitu digemarinya, apatah lagi jika datang daripada orang sekeliling.
Menariknya, ada satu pemberian yang cukup istimewa sehingga mencuri perhatian pelakon berusia 33 tahun itu. Sepasang kasut daripada sahabat baiknya, Merqeen, bukan sekadar hadiah biasa, sebaliknya membawa makna tersendiri kerana hubungan mereka yang cukup akrab.
Aedy mengakui dirinya lebih selesa memberi daripada menerima. Malah, orang yang mengenalinya secara dekat termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan sudah memahami sikap tersebut.
“Saya sebenarnya tidak suka menerima hadiah. Tetapi pemberian ini sangat istimewa kerana Merqeen seperti abang saya sendiri. Dia seorang kawan yang sangat baik, mempunyai jiwa dan hati yang tulus. Saya sangat menghargainya,” katanya.
Bagi Aedy, nilai sesebuah pemberian bukan terletak pada harga atau jenamanya, tetapi keikhlasan dan hubungan yang terjalin antara dua insan.
Rai orang rersayang
Dalam perkembangan lain, Aedy turut mencuri perhatian menerusi penampilannya pada majlis pengenalan kios berwajah baharu CERRUTI 1881 di IOI City Mall, Putrajaya. Jenama fesyen antarabangsa itu turut memperkenalkan koleksi jam tangan Musim Luruh/Sejuk 2026 (FW26), sekali gus menjadikan Malaysia pasaran pertama di dunia yang mengetengahkan konsep reka bentuk kios terbaharu berkenaan.
Mengangkat tema 'A New Chapter', ruang tersebut menampilkan susun atur lebih kemas dan kontemporari, dengan panel pameran kaca bercahaya yang memberikan tumpuan kepada koleksi jam tangan. Pembaharuan itu menggabungkan identiti warisan CERRUTI 1881 dengan suasana membeli-belah yang lebih elegan.
Di sebalik kesibukan kerjaya dan pencapaian yang dikecapi, Aedy tidak pernah melupakan insan yang menjadi sebahagian penting dalam perjalanan hidupnya. Malah, dia lebih selesa mengambil peluang pada hari istimewa untuk menunjukkan penghargaan kepada insan tersayang, terutama ibu yang melahirkannya.
Ujar pelakon itu, ibu, keluarga dan sahabat handai merupakan individu yang wajar diraikan kerana sokongan merekalah yang banyak membentuk dirinya sehingga berada pada tahap sekarang.
“Bagi saya, merekalah yang sepatutnya lebih dihargai. Tanpa mereka dan sokongan yang diberikan, saya tidak akan berada di sini hari ini.
“Saya sangat bersyukur dengan kehidupan dan siapa diri saya sekarang. Saya mahu menunjukkan betapa saya menghargai mereka, terutama keluarga, peminat dan pihak media yang sentiasa menyokong perjalanan kerjaya saya,” jelasnya.
Menginjak usia 33 tahun, Aedy turut menyifatkan angka tersebut sebagai satu fasa yang dinanti-nantikan dalam kehidupannya.
Malah, dia percaya masih banyak perkara yang mahu diteroka dan dicapai, khususnya dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Biarpun tidak menghuraikan secara terperinci perancangan seterusnya, pelakon itu mahu terus memberikan tumpuan kepada perkara yang ingin dicapai serta mensyukuri setiap peluang yang hadir.
Soal jodoh
Dalam perkembangan sama, soal jodoh turut menjadi antara perkara yang disentuh Aedy ketika berkongsi mengenai hala tuju kehidupannya.
Tidak menolak kemungkinan untuk mendirikan rumah tangga sekiranya sudah tiba waktunya, dia bagaimanapun tidak mahu terlalu terburu-buru dalam soal tersebut.
Aedy turut berkongsi bahawa ibunya tidak pernah meletakkan tekanan atau mendesaknya untuk berkahwin, sebaliknya memahami keperluan dan kehendak anaknya.
“Kalau ada rezeki, siapa yang tidak mahu berkahwin? Tetapi mak tidak pernah memaksa. Dia tahu apa yang anaknya mahukan dan perlukan. Dia sangat memahami serta menyokong saya.
“Saya hanya mahu mengikut perjalanan hidup. Ke mana sahaja kehidupan membawa saya, saya akan ikut. Apabila tiba masanya, saya cuma perlu bersedia,” katanya.
Buat masa ini, Aedy dilihat selesa menikmati perjalanan hidup mengikut rentaknya sendiri, sambil terus menghargai insan yang sentiasa berada di sisinya.
Baginya, kejayaan dan pencapaian peribadi bukan sekadar sesuatu yang perlu dikejar, tetapi turut menjadi ruang untuk membalas kasih sayang serta sokongan mereka yang tidak pernah berhenti percaya kepadanya.