PENYANYI Jay Jay kini sedang menjalani rawatan fisioterapi akibat diserang angin ahmar.
Anak kepada penyanyi berkenaan iaitu Cammy Fauzi memaklumkan, selepas menjalani beberapa sesi fisioterapi, ayahnya menunjukkan perkembangan yang positif seperti yang diharap oleh keluarga mereka.
Terdahulu, Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus berjaya menjalani pembedahan pintasan jantung pada 23 Mei lalu selama empat jam dan kemudian sedar selepas sembilan jam.
Tidak lama selepas pembedahan itu, kesihatan pelantun lagu Joget Angan Tak Sudah itu semakin merosot dan kembali lemah akibat diserang angin ahmar. Lantaran itu menyebabkan bekas vokalis dan pemain bass Carefree lumpuh pada bahagian tubuh di sebelah kanan.
Pemeriksaan yang dilakukan melalui imbasan tomografi berkomputer (CT SCan) menunjukkan terdapat sesuatu yang menganggu saraf di dalam funsi otak namun ia bersifat sementara dan tidak begitu serius.
Terkini, Cammy turut berkongsikan pengalaman pertama menjaga ayahnya. Menurut empunya diri, situasi tersebut membuatkan dirinya takut dan trauma.
Pun demikian, demi kasih seorang anak, beliau mahu terus kuat untuk menjaga sekali gus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada ayah tersayang.
Perkongsian mengenai perjalanan pembedahan ayahnya itu memberi ruang kepada peminat untuk mengetahui perkembangan, sekali gus mendoakan kesihatan penyanyi era 80-an itu.
Pemenang Vokal Terbaik Lelaki 1998 itu juga sempat menyambut hari kelahirannya pada 6 Jun lalu selepas pembedapan pintasan jantung.
Untuk rekod, Jay Jay mula menyanyi bersama kumpulan Carefree pada tahun 1979 dan muncul solo sejak 1984.
Memiliki vokal yang gemersik, penyanyi berusia 66 tahun itu pernah memenangi pelbagai anugerah seperti Penyanyi Lelaki Popular 1988, Vokal Terbaik Lelaki 1998 dan Juara Kategori Pop Rock pada Juara Lagu 1998 menerusi lagu Joget Angan Tak Sudah.
Baca juga: Alami serangan jantung, Jay Jay stabil selepas pembedahan pintasan