Takut rezeki ditutup punca mangsa gangguan seksual sukar bersuara, Diana Danielle buka mulut – ‘Saya pun ada perasaan begitu...’

Iklan

ISU gangguan seksual bukan perkara baharu, malah boleh berlaku di mana-mana sahaja tanpa mengira latar belakang pekerjaan, kedudukan mahupun persekitaran seseorang.

Namun, apabila perkara itu melibatkan industri seni, isu berkenaan sering menjadi perhatian kerana wujudnya hubungan kuasa antara individu berpengaruh dengan mereka yang masih baharu membina nama.

Iklan
Iklan

Lebih membimbangkan, mangsa bukan sahaja terpaksa menanggung kesan emosi, malah ada yang berdepan dilema untuk bersuara kerana bimbang peluang pekerjaan dan periuk nasi menjadi taruhan.

Pelakon, Diana Danielle, tidak menafikan gangguan seksual termasuk perbuatan meraba merupakan antara sisi gelap yang boleh berlaku dalam industri hiburan.

Iklan

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson itu berpandangan, masyarakat tidak seharusnya meletakkan isu berkenaan seolah-olah hanya berlaku dalam dunia seni.

Menurutnya, gangguan seksual merupakan masalah tingkah laku manusia yang boleh berlaku dalam pelbagai sektor, termasuk persekitaran korporat mahupun institusi pendidikan.

Iklan

"Bagi saya, ini adalah perangai jijik manusia yang boleh berlaku di mana-mana. Jadi, kita tidak boleh melabelkan industri seni sahaja seolah-olah tempat ini paling mudah terdedah kepada gangguan seksual," katanya.

Industri seni perlukan ruang aduan yang selamat

Dalam pada itu, dia mengakui industri seni mempunyai cabaran tersendiri apabila melibatkan usaha mendapatkan pembelaan, khususnya bagi pelakon baharu dan individu yang bekerja di belakang tabir.

Hal ini kerana industri berkenaan tidak mempunyai struktur pengurusan sumber manusia (HR) yang seragam seperti kebanyakan organisasi korporat.

Keadaan itu menyebabkan mangsa mungkin tidak tahu kepada siapa mereka perlu mengadu atau saluran yang boleh digunakan untuk mendapatkan perlindungan.

Lebih sukar apabila wujud kebimbangan bahawa tindakan bersuara boleh menjejaskan peluang pekerjaan, terutama jika individu yang didakwa mempunyai pengaruh dalam kalangan pihak produksi.

"Kalau nak bersuara pun, ada yang takut rezeki mereka ditutup kerana wujud kelompok atau puak tertentu dalam produksi. Benda ini agak susah, terutamanya bagi mereka yang baru hendak naik," jelasnya lagi.

Justeru, pelakon filem Imaginur dan Terbang itu menegaskan pengalaman mangsa tidak seharusnya dipandang ringan atau diketepikan hanya kerana mereka belum mempunyai nama besar.

Sebaliknya, masyarakat perlu membuka ruang kepada mangsa untuk mendapatkan sokongan tanpa menjadikan mereka pihak yang turut dipersalahkan.

Ibu kepada dua cahaya mata itu turut mengingatkan agar mangsa tidak disisihkan, apatah lagi diminta berdiam diri semata-mata untuk menjaga kepentingan pihak tertentu.

"Yang penting, kita kena sentiasa memberi ruang dan suara kepada mangsa. Jangan sampai mereka hilang kerja dan pendapatan hanya kerana kita mahu menyelamatkan individu yang melakukan perkara tidak sepatutnya," ungkapnya lagi.

Bersuara di media sosial, tetapi jangan abaikan bukti

Mengulas tindakan segelintir individu yang memilih media sosial sebagai platform untuk mendedahkan pengalaman gangguan seksual, Diana berpandangan langkah itu tidak semestinya salah.

Bagaimanapun, Wanita kelahiran Amerika Syarikat itu mengingatkan keberanian bersuara perlu disertai kebijaksanaan, terutama apabila sesuatu dakwaan melibatkan kesalahan undang-undang dan reputasi individu lain.

Katanya, mangsa perlu memastikan laporan polis dibuat serta mengumpulkan bukti yang boleh menyokong dakwaan sebelum membuat sebarang tuduhan secara terbuka.

Hal ini penting kerana tindakan mendedahkan sesuatu perkara tanpa bukti kukuh boleh mengundang risiko undang-undang kepada individu yang membuat pendedahan.

"Kita faham, apabila menjadi mangsa dan rasa ditindas, memang ada keinginan untuk meluahkan perasaan serta mendedahkan perkara yang berlaku. Saya sendiri pun ada perasaan begitu kalau berada dalam situasi tersebut," kongsi Diana.

Namun, dia mengingatkan emosi yang sedang memuncak tidak seharusnya menyebabkan seseorang bertindak terburu-buru sehingga akhirnya memakan diri.

Menurutnya, sekiranya dakwaan tidak dapat dibuktikan, individu yang membuat pendedahan juga berisiko berdepan tindakan undang-undang termasuk tuntutan pampasan.

Justeru, mangsa disarankan mendapatkan nasihat sewajarnya, membuat laporan kepada pihak berkuasa dan menyimpan segala bukti berkaitan sebelum mengambil tindakan lanjut.

Keadilan perlukan keberanian dan kesabaran

Mengakui proses mendapatkan keadilan bukan sesuatu yang mudah, Diana berharap masyarakat dapat memahami betapa besarnya cabaran yang perlu dilalui seseorang mangsa untuk tampil menceritakan pengalaman pahit mereka.

Pada masa sama, sokongan orang sekeliling amat penting supaya mangsa tidak berasa keseorangan atau terpaksa menanggung kesan perbuatan tersebut dalam diam.

Baginya, usaha menuntut keadilan perlu dilakukan melalui saluran yang betul dan disertai bukti kukuh, bukannya sekadar mengikut kemarahan atau desakan emosi.

"Kalau betul-betul mahukan keadilan, kita kena ada kesabaran, kumpulkan bukti dan gunakan saluran yang betul. Pastikan semuanya dapat dibuktikan sebelum membuat sebarang kesimpulan," katanya yang berkongsi perkara berikut ketika ditemui SinarPlus dalam majlis pelancaran telefilem Like & Latte terbitan UTV yang berlangsung di kafe Eleventea, Wangsa Maju.