HATI ibu mana tidak luluh apabila anak yang disayangi maut di tangan menantu sendiri dalam keadaan yang tragis.
20 Jun lalu, kita dikejutkan dengan berita pembunuhan Nisya Syahkila Shaharun, 32, di dalam sebuah bilik hotel di Batu Gajah, Perak.
Pembunuhan itu didakwa dilakukan oleh suaminya sendiri yang kemudian menyerahkan diri di Balai Polis Batu Gajah pada pukul 2 petang hari yang sama.
Dalam perkembangan terbaru, ibu Allahyarham, Rozita Radzuan, 56, meluahkan rasa kesal terhadap menantunya yang sanggup membunuh isteri tercinta.
Ketika suspek yang dikenali sebagai Hairil Anaas dibawa keluar dari lokap Mahkamah Majistret Batu Gajah, Rozita menuturkan rasa tidak puas hati penganiayaan dilakukan ke atas puterinya.
Tertuduh, Hairil Anaas, 37, hanya diam dan menundukkan kepala.
Sinar Harian melaporkan dalam prosiding itu, tertuduh mengangkuk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh yang juga penganggur didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nisya Syahkila di sebuah bilik hotel di Batu Gajah antara 7.30 pagi hingga 2 petang pada 20 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum tidak kurang 12 sebatan sekiranya sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia, bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Sumber: Sinar Harian (Normawati Adnan)