'Yang ditakuti benar terjadi.' Abang dedah adik ditikam suami di hotel pernah diugut bunuh, derita digantung tak bertali
TRAGEDI wanita yang ditikam maut oleh suami di Batu Gajah Perak benar-benar mengejutkan masyarakat. Masakan tidak, mangsa yang dikenali sebagai Nisya Syahkila Shaharun, 32, sedang dalam fasa perceraian menjadi mangsa sang suami hanya kerana mahu menuntut fasakh.
Rupanya tidak setakat itu derita ditanggung. Abangnya Syahiran Shaharun, 34, turut mendedahkan si adik digantung tidak bertali dan menerima ugutan dalam bentuk panggilan telefon, WhatsApp dan pesanan suara daripada suaminya yang melemparkan kata-kata berunsur ugutan termasuk ugutan bunuh sejak setahun yang lalu.
Perkara itu dihadapi Allahyarham sejak lebih setahun lalu selepas mengambil keputusan untuk bercerai, namun tidak dipersetujui oleh suaminya.
"Perbuatan suspek menyebabkan adik saya hidup dalam ketakutan hingga satu tahap bimbang dengan apa yang akan berlaku dan takut sekiranya mati dibunuh suami.
"Tak sangka, apa yang ditakuti adik itu benar-benar terjadi," katanya ketika ditemui di pada Jumaat.
Syahiran berkata, arwah ada membuat laporan polis beberapa kali sebelum ini kerana bimbang keselamatan diri.
Katanya, kali terakhir Nisya Syahkila membuat laporan polis ialah sekitar Mei lepas yang membawa kepada penahanan lelaki terbabit di Klang, Selangor.
Bagaimanapun, kes berkenaan tidak dapat diteruskan kerana dikatakan tidak cukup bukti.
MANGSA & ANAK SERING DIPUKUL
Si abang juga turut memaklumkan perkahwinan adiknya dengan suspek pada 2022 adalah yang kedua. Terdahulu, Allahyarham adalah ibu tunggal kepada seornag anak lelaki yang kini berusia sembilan tahun.
"Sewaktu mereka tinggal bersama di Kedah, arwah adik juga mengadu dia dan anaknya pernah dipukul suami.
"Keluarga cuba mencari jalan penyelesaian terbaik, tetapi tidak berjaya menyebabkan arwah mengambil keputusan pulang ke kampung dan tinggal bersama ibu bapa kami di Batu Gajah sementara suaminya berpindah ke Klang dan bekerja di sana," katanya.
KHAMIS SEPATUT KE MAHKAMAH
Syahiran berkata, hari kejadian iaitu Khamis, Allahyarham dan suami sepatutnya hadir ke Mahkamah Syariah bagi prosiding permohonan tuntutan cerai secara fasakh.
Ujarnya, Allahyarham bersikap berani berjumpa suaminya kerana menyangka lelaki itu mahu berbaik dan setuju menyelesaikan penceraian mereka dengan cara baik.
"Emak pada mulanya melarang adik bertemu lelaki itu, tetapi arwah yakinkan bahawa semuanya akan baik-baik sahaja.
"Malah pada sebelah pagi, dia sempat menghantar anaknya ke sekolah menaiki motosikal sebelum kembali menemui lelaki itu.
"Mungkin adik fikir ini kali terakhir kerana suaminya itu sebelum ini enggan hadir ke mahkamah walaupun telah berkali-kali diminta berbuat demikian," katanya
STATUS TERAKHIR BERKAITAN KEMATIAN
Reda dengan pemergian Allahyarham, Syahiran mengakui namun sedikit terkilan kerana kejadian seumpama itu boleh dielakkan daripada berlaku.
"Kami baru kehilangan ayah Januari lepas dan kini berdepan dengan satu lagi kehilangan ahli keluarga.
"Arwah seorang anak dan kakak yang baik kepada adik-adiknya. Dia juga banyak melakukan perubahan diri ke arah kebaikan.
"Status terakhir arwah di telefon sekitar jam 7 pagi semalam pun berkongsi mengenai hal-hal kematian seolah-olah mengetahui bahawa dia akan pergi," katanya.
Allahyarham Nisya Syahkila ddikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belengkor, Batu Gajah.
Suami mangsa berusia 37 tahun telah pun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, SinarPlus berkongsi pembunuhan tragis di sebuah hotel di pekan Batu Gajah. Siasatan polis medapati mangsa ditemukan dengan beberapa kesan tikaman dipercayai senjata pisau.
Polis memaklumkan, suspek dan mangsa hadir ke hotel itu secara berasingan, namun menginap di bilik yang sama sehari sebelum kejadian.
Motif pembunuhan dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan fasakh walaupun telah dipujuk.
Sumber: Sinar Harian (Wartawan Normawati Adnan)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang