USAHA membuahkan hasil apabila cubaan kali kedua memindahkan sebuah kediaman tradisional Melayu di Desa Melor, Serendah, Selangor berjaya dilakukan pada Ahad lalu.
Kaedah mengusung rumah dengan menggunakan kudrat manusia sepenuhnya pernah cuba untuk dilakukan sebelum ini.
Bagaimanapun, menurut pemilik rumah Jonid Ahmad, ia tidak berjaya memandangkan teknik yang dilakukan tidak bersesuaian.
Susulan itu, Jonid meminta nasihat pakar bagaimana cara yang sesuai untuk memindahkan rumah pusaka miliknya itu.
Menerusi video yang dikongsikan orang ramai, rumah kayu itu berjaya dialihkan daripada tapak asal dengan bantuan sekumpulan sukarelawan.
Malah, aktiviti berkenaan memperlihatkan kerjasama orang kampung yang turut bertungkus-lumus untuk memastikan setiap penjuru rumah dipindahkan dengan selamat.
Pada masa sama, tidak berlaku sebarang kerosakan atau insiden tidak diingini ketika proses memindahkan.
Jonid berkongsikan rumah yang asalnya dibina di Muar,Johor telah dipindahkan ke Serendah namun sekali lagi terpaksa dipindahkan bagi memberi laluan kepada pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Rumah yang berusia lebih 75 tahun itu dipindahkan tanpa menggunakan sebarang peralatan moden bagi mengekalkan tradisi orang Melayu lama.
Beliau juga berhasrat untuk menetap di situ kerana banyak nostalgia dan momen indah sepanjang berada di kediaman tersebut.
Baca juga: 'Selamat tinggal...' Rumah Biru berlatarkan KLCC bakal jadi memori, pemilik umum berpindah