'Selamat tinggal...' Rumah Biru berlatarkan KLCC bakal jadi memori, pemilik umum berpindah
SELAMA 40 tahun, sebuah rumah penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Rumah Biru bakal menjadi memori.
Sering muncul di dalam iklan raya, drama dan filem seperti Adnan Sempit serta Abang Long Fadil, pemiliknya, Shafiq Abdullah berkongsi akan berpindah.
Menerusi satu hantaran di Facebook, lelaki berkenaan memaklumkan, beliau dan ahli keluarganya akan keluar daripada rumah tersebut untuk memberi laluan kepada pelaksanaan projek pembongkaran semula palong yang ditanam di bawah tanah rumah tersebut.
Difahamkan, Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur akan mengambil masa kira-kira empat tahun bagi menyiapkan projek berkenaan.
“Kampungku Kampung Baru, Kuala Lumpur di Jalan Salleh. Kini telah berakhir menetap di sini dari tahun 1984 hingga 31 Mei 2024," katanya.
Berterima kasih kepada semua pengunjung dan peminat yang menjadikan ia sebagai lokasi bergambar, pemilik rumah 'legend' di Kampung Baru itu juga berharap dapat kembali ke tanahnya.
“Maka dengan ini, secara rasmi kami semua telah keluar dari Rumah Biru untuk tempoh tiga atau empat tahun dengan harapan selepas ini, kami pulang semula ke tanah ini,” ujarnya.
"Jutaan terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir secara rasmi mahu pun tidak ke rumah kami untuk bergambar. “Mohon maaf salah silap kami sepanjang tempoh tersebut. Rumah Biru sign off,” katanya.
Hantaran Shafiq menjadi tular dan menerima hampir 1,000 reaksi dan 600 perkongsian. Rata-rata warga maya turut meluahkan rasa sedih di atas keputusan berkenaan.
Tidak kurang juga segelintir yang mencadangkan supaya binaannya rumah itu dileraikan dan dipasang semula pada masa akan datang. Ujar mereka:
"Sedihnya. Nanti ambil gambar banyak-banyak buat kenangan."
"Sedihnya. Memori itu yang mahal."
"Kenangan bersamamu."
"Ada modal, rumah tu cabut papan-papannya dan simpan. Nanti habis kerja pasang semula."
"Cari tukang yang boleh buka pasang balik rumah tu. Sayang rumah cantik lagi."
"Awak tolong kekalkan okay. Rumah moyang saya di Kampung Baru dah tak ada walaupun tinggal tanahnya sahaja. Jaga ya."
Sekadar info, Rumah Biru dikatakan berusia lebih 80 tahun menjadi tarikan orang ramai di Kampung Baru.
Binaan asalnya dahulu dikatakan agak tinggi kerana kerap banjir telah diubah suai menjadi rendah oleh pemilik.
Biarpun ia berpenghuni, ramai pengunjung yang datang dari seluruh pelosok negara mengambil peluang bergambar dengan pemandangan cantik berlatarkan pencakar langit dan mercu tanda negara, Menara Berkembar Petronas.
Sumber: Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang