KES pembunuhan bayi ini pada 2018 ini terlalu tragis. Kematian Nur Muazara Ulfa Muhammad Zainal atau Zara, 11 bulan, menjadi perhatian ramai apabila si kecil itu maut di tangan suami pengasuhnya, Hazmi Majid.
Tragis dan menyedihkan, perbuatan dilakukan Hazmi ke atas Zara langsung tidak berperikemanusiaan! Tergamaknya membunuh anak asuhan isterinya sendiri tujuh tahun lalu.
Difahamkan Zara turut mengalami kecederaan seksual dan laporan bedah siasat menunjukkan kecederaan vagina bayi berkenaan sangat serius sehingga doktor terpaksa menjahit luka dengan dua jahitan bagi menghentikan pendarahan.
Dihantar ke hospital dengan dakwaan tercekik epal, bayi perempuan itu akhirnya meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, akibat didera secara fizikal dan seksual.
Ketika kejadian, Baby Zara berusia 11 bulan dengan berat badan hanya 8.26 kilogram selain belum tumbuh gigi.
Baby Zara turut mengalami kecederaan pada dubur dan pendarahan serius pada keseluruhan otaknya.
Baca juga: 5 kes jenayah paling kejam, menyayat hati sepanjang 2021
Berikut adalah kronologi kes anak kecil ini yang menyayat hati:
1-Bayi berkenaan dihantar kepada pengasuh berkenaan di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi sejak 21 September 2018.
2- Pengasuh berkenaan diperolehi melalui Facebook berminat untuk menjaga abang sulung, berusia lima tahun (ketika itu) dan Zara dengan bayaran RM550 bagi setiap seorang dari jam 7 pagi hingga 7 malam.
3-Dua minggu selepas dihantar, ibunya menyedari terdapat kesan lebam pada lengan, paha dan dahi Zara.
4-Pengasuh berkenaan memberitahu kesan lebam itu akibat digigit anak lelakinya yang berusia satu tahun lapan bulan. Bibir dan gusi Zara mula membengkak menyebabkan dia tidak mahu menyusu serta kerap menangis. Keadaan itu menyebabkan Zara tidak dihantar oleh ibu bapanya ke rumah pengasuh bagi tempoh beberapa hari selepas itu sebaliknya dihantar ke rumah ibu saudara di Klang.
5-Zara dihantar semula ke rumah pengasuh kerana kerap menangis di rumah ibu saudara. Ibu Zara sempat menghantar mesej menerusi WhatsApp bertanyakan mengenai keadaan Zara. Pengasuh memberitahu Zara tidak meragam apabila bersamanya, namun menangis apabila melihat suami wanita berkenaan.
6-Pada 7 November 2018, ibunya mendapat panggilan daripada doktor di Hospital Serdang memaklumkan anaknya sedang tenat. Dia dimaklumkan Zara dihantar ke hospital berkenaan oleh pengasuh dan suaminya selepas bayi itu dikatakan tercekik epal.
7-Ketika dirawat, doktor memaklumkan terdapat kecederaan pada tempurung kepala Zara yang dikatakan pecah dengan lebam di bahagian berkenaan.
8-Hasil bedah siasat, ibunya dimaklumkan terdapat tiga bahagian pada kepala Zara retak, selain tisu pada kemaluan dan dubur koyak dipercayai akibat diperkosa.
9-Pihak polis memaklumkan sepanjang tempoh Zara di bawah jagaan pengasuh, bayi itu dijaga sepenuh masa oleh suami pengasuh kerana lelaki itu beranggapan isterinya seorang yang lembab membuat kerja.
Baca juga: Kronologi pembunuhan kejam baby Zara, suami pengasuh ke tali gantung
Baca juga: Kisah menyayat hati di sebalik lagu Terlalu Istimewa nyanyian Adibah Noor, berikut kronologi kes Nurul Huda
10-Meninggal dunia dua hari selepas dimasukkan ke hospital, jenazah bayi itu disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Lubok Gong, Kelantan.
11-Suami pengasuh yang bekerja sebagai tukang gunting ditahan dan ujian saringan air kencing didapati positif methamphetamine.
12-Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati.
13-Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Hazmi bersalah atas keputusan tersebut pada 20 Ogos 2021.
14-Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Mohd Khaja dalam hujahnya berkata hakim perbicaraan telah membuat keputusan bersalah selepas menilai semua keterangan saksi pendakwaan terhadap pembelaan.
15-Pakar patologi memberi keterangan bahawa ia kecederaan yang baharu dan berlaku dalam tempoh tiga hari. Beliau juga menjelaskan bahawa kecederaan itu bukan disebabkan oleh diri sendiri dan tidak mungkin berlaku akibat terjatuh.
16-Pada Mac 2023, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati terhadap Hazmi.
17- Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman gantung sampai mati. Panel tiga hakim diketuai Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir oleh Hazmi selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terbabit.
Ketika membaca keputusan, beliau berkata, sabitan dan hukuman (gantung sampai mati) adalah selamat.
"Ia seperti mana keputusan yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam (pada 20 Ogos 2021) dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan (1 Mac 2023).
"Mahkamah berpuas hati, hukuman yang sesuai dijatuhkan ialah hukuman mati kerana jenayah yang dibuat sangat kejam,” katanya yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Warga maya meluahkan rasa lega atas keputusan mahkamah mengekalkan hukuman berkenaan yang dianggap setimpal dengan jenayah dilakukan.
"Alhamdulillah keadilan untuk Baby Zara."
"Alhamdulillah nyawa dibalas dengan nyawa."
"Angkara dadah jadi iblis. Tolong periksa latar belakang pengasuh dahulu sebelum setuju hantar anak. Kadang-kadang ada jenis main dadah ketum memang tak boleh harap."
"Terlalu zalim apa yang dilakukan ke atas Baby Zara. Saya tak sanggup baca."
Semoga pengakhiran kes ini memberikan pengajaran kepada masyarakat. Al-Fatihah.