‘TERLALU Istimewa’ ialah tajuk lagu dendangan penyanyi bersuara lunak, Adibah Noor yang juga peserta Gegar Vaganza Musim ke-8 2021.

Ketika kemunculannya membuka tirai Gegar Vaganza, Adibah yang juga bekas guru Bahasa Inggeris telah menyanyikan lagu gubahan Azlan Abu Hassan itu.

‘Terlalu Istimewa’ telah dimuatkan dalam album pertamanya yang berada di pasaran pada tahun 2005 adalah luahan emosi Adibah ketika itu tentang kisah seorang kanak-kanak perempuan.

Dia melalui Twitter berkongsi sejarah bagaimana tercetusnya lagu yang penuh makna itu yang berkait mengenai kes jenayah pedofilia seorang kanak-kanak yang dinodai hingga maut.

Lebih menyedihkan, pembunuh terlepas dari hukuman gantung dan dua lagi suspek dilepaskan kerana tidak mempunyai cukup bukti.

“2004, usianya 10 tahun.

“Setiap bait lirik lagu ‘Terlalu Istimewa’ menggambarkan emosi saya tatkala melihat gambar anak ini di dada akhbar.

“Entah kenapa, merenung lirik matanya, jiwa dan nurani saya terpaut dan terpahat rasa kasih.

“Al-Fatihah buat arwah Nurul Huda Binti Abdul Ghani,” titip Adibah mengenai lirik lagu hasil nukilannya itu.

 

Baca juga: Kronologi kes pembunuhan kejam ketua jururawat, lelaki Nigeria dihukum gantung sampai mati

Pemergian tragis Allahyarham Nurul Huda Abdul Ghani, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun tinggal di Kampung Pekajang, Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor amat meruntun jiwa.

Kematian pilu kanak-kanak itu pada tahun 2004 mendapat perhatian ramai selepas diculik, dinodai dan dibunuh.

KELUAR MEMBELI IKAN DAN TELUR

Pada 17 Januari 2004, Nurul berbasikal untuk membeli ikan dan telur untuk keluarganya di sebuah kedai yang terletak 500 meter dari rumah mereka.

Dia yang keluar dari rumah, jam 9.30 pagi bagaimanapun masih tidak pulang ke rumah sehingga jam 12.45 tengahari.

Kehilangannya dilaporkan di Balai Polis Tanjung Kupang.

Selepas membuat laporan, mereka kemudian bersama dua anggota polis membuat rondaan di sekitar kawasan berkenaan untuk mencari Nurul Huda.

Terdapat satu Stesen Janakuasa Tenaga Nasional berhad (TNB) kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

Stesen TNB masa itu difahamkan baru dibina dan berada di tengah-tengah perjalanan antara rumah dengan kedai.

Polis bertanya kepada pengawal keselamatan di stesen itu mengenai Nurul Huda yang sepatutnya berbasikal melalui jalan di hadapan stesen untuk ke kedai.

Bagaimapun, apabila persoalan mengenai Nurul Huda diajukan, pengawal berkenaan bersikap mencurigakan dan tidak memberi kerjasama, sehingga menimbulkan syak.

Ketika ini, abang Nurul, Amer Effendi dan dua orang anggota polis telah memanjat pagar stesen dan masuk ke dalam kawasan tersebut.

Pengawal keselamatan itu, Mohd Abbas Danus Baksan (ketika itu berusia 47 tahun), berang dan cuba menyerang anggota polis dengan parang.

Di tandas stesen tersebut, Peter dan Amer menemui sesuatu yang mengejutkan.

Di dalam tandas tersebut, Nurul telah ditemui dalam keadaan yang sangat menyedihkan.

Basikal biru yang digunakan oleh Nurul turut berada dalam tandas itu.

Ketika ini, Abbas berang dan cuba melepaskan diri. Namun Rusli telah mengilas tangan Abbas ke belakang dan bergelut dengan lelaki itu.

Orang kampung yang juga berang pada masa itu telah masuk ke dalam kawasan stesen tanpa disedari anggota polis dan cuba untuk membelasah lelaki itu.

Rusli yang cuba menyelamatkan Abbas dari dipukul orang ramai turut terkena tumbukan dalam kejadian itu.

Baca juga: Pengasuh Adam Rayqal dihukum penjara enam tahun, berikut kronologi kes

DISAHKAN MENINGGAL DUNIA

Nurul untuk dibawa ke klinik kesihatan dengan menggunakan van salah seorang rakannya bersama ibu bapa mereka. Ketika itu jam menunjukkan pukul 1.30 petang.

Difahamkan, ketika dalam perjalanan ke klinik kesihatan, Nurul masih bernyawa dengan keadaan separuh sedar. Matanya layu separuh terbuka dan suhu badannya masih panas. Mulutnya juga terbuka dan kelihatan lidahnya hampir lebam.

Dalam perjalanan, bantuan pernafasan turut diberikan Amer. Setibanya di klinik kesihatan, nadi Nurul diperiksan disahkan meninggal dunia.

Gadis kecil itu dipercayai telah diperkosa dan diliwat bergilir-gilir oleh tiga lelaki termasuk Abbas. Dia malah dipercayai dicekik oleh salah seorang dari mereka.

Susulan itu, Abbas ditahan. Selepas soal siasat, seorang lagi rakan serumah pengawal keselamatan itu yang merupakan penganggur dipanggil ‘Ngengel’ atau Suyaimi Mohd Zain (berusia 27 tahun ketika itu) ditahan.

Polis mula mengesan seorang lagi lelaki yang disyaki bernama ‘Jojo’ yang masih bebas.

TERTUDUH MEMPUNYAI LAPAN REKOD JENAYAH

Iklan

Siasatan polis mendapati Abbas mempunyai lapan rekod jenayah dalam kes samun dan curi.

Pada 24 Januari 2004, Mahkamah Sesyen telah membicarakan Abbas atas pertuduhan merogol.

Abbas telah mengaku kesalahan merogol Nurul, dan mahkamah telah menjatuhkan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan 24 sebatan ke atasnya.

Pada 1 Februari 2004, suspek kedua yang bernama ‘Ngengel’ telah dibebaskan oleh Mahkamah Majistret tanpa syarat kerana tidak cukup bukti dan kerana tempoh tahanan reman beliau telah berakhir.

Ketika itu orang ramai dan media mempertikaikan bagaimana Abbas memperolehi pekerjaan sebagai pengawal keselamatan dengan rekod jenayah lampaunya.

Pada 28 Julai 2004, Mahkamah Tinggi telah diberitahu yang gambar-gambar dari tempat kejadian jenayah rogol dan bunuh Nurul Huda tidak dapat dikeluarkan kerana kamera yang digunakan pada hari itu tidak berfungsi.

Pada 17 Ogos 2004 pegawai penyiasat kanan kes tersebut memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa lelaki bernama ‘Jojo’ tidak ada kaitan dengan kes tersebut.

MENGAKU TIDAK BERSALAH DI MAHKAMAH TINGGI

Pada 21 Ogos 2004, Mohd Abbas dalam keterangan membela diri kepada Mahkamah Tinggi, memberitahu yang dia tidak membunuh Nurul.

Dakwanya, Nurul dirogol dan dibunuh oleh orang lain sebelum dia mengambil giliran untuk menodai Nurul iaitu Ngengel yang dikenal pasti sebagai seorang lagi pengawal keselamatan di situ.

Malah katanya, dia turut melihat Jojo memegang leher Nurul Huda.

Pada 28 Ogos 2004, Abbas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh Nurul Huda

Hakim itu, yang mengambil masa selama 40 minit untuk membacakan draf penghakimannya, memberitahu satu-satunya hukuman yang patut dia beri ialah ‘hukuman mati’.

Peguam berkata yang dia berpuas hati bahawa pihak peguambela telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah berkaitan pertuduhan itu.

Iklan

Perbicaraan kes tragis itu telah berlangsung selama 21 hari. Seramai 26 orang telah dipanggil sebagai saksi dan 29 item telah diterbitkan sebagai barang bukti.

Sebaik sahaja sidang mahkamah selesai, ibu Nurul Huda, Zainon A. Bakar kelihatan menangis lalu ditenangkan anaknya.

Keadaan sedih itu turut dirasai oleh bapa Nurul, Gani Juni yang berada di ruang legar bangunan mahkamah sehingga terpaksa ditenangkan oleh peguam pemerhati bagi keluarga tersebut.

Pihak peguam Abbas telah membuat rayuan terhadap persabitan bersalah ke atasnya selepas itu, namun pada 3 Julai 2006, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Abbas.

Pada 15 Oktober 2008, Mahkamah Persekutuan telah diminta untuk mempertimbangkan kehadiran pihak ketiga yang terkait secara langsung dengan kejadian menimpa Nurul.

Menurut peguam bela Abbas, Jagdish Kaur berkata ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan menunjukkan kehadiran lelaki lain.

Pada 16 Oktober 2008, pensabitan bersalah terhadap Abbas atas pertuduhan membunuh Nurul Huda telah diketepikan, sekaligus menyebabkan dia terlepas dari hukuman gantung.

TERLEPAS TALI GANTUNG DAN SEBATAN

Walaupun Abbas mengaku bersalah dia terlepas hukuman gantung sampai mati. Mahkamah hanya menjatuhkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan 24 sebatan.

Lelaki itu juga terlepas daripada hukuman sebat pada tahun 2008 kerana sudah berumur 52 tahun kerana mendakwa terlalu tua untuk jalani hukuman itu.

Apa yang terjadi ini benar-benar meruntun hati keluarga Allahyarham dan seluruh rakyat Malaysia.

Semoga keluarganya tabah mengadapi kehilangan tragis ini. Al-Fatihah.

Baca juga: Tiba-tiba meluru masuk lif, kanak-kanak ditemui maut jatuh tingkat sembilan hotel, berikut kronologi tragedi

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Sumber: Twitter Adibah Noor, Beautifulnara