'Glamor bukan sekadar status...' Nadia Hasnan akui kurang popular namun masih bertahan, selesa kongsi hal karier berbanding peribadi

Iklan

Ketahui juga apa alasan yang membuatkan anak jati Kuala Lumpur itu memilih untuk meletakkan limit dalam berkongsi hal peribadi?

SUARA serak-serak basah sebahagian daripada identiti Nadia Hasnan selain rambut kerintingnya yang membuatkan ramai yang mengingatinya dengan penampilan sedemikian.

Bagi yang mengikuti perjalanan seni anak jati Kuala Lumpur itu, pasti tahu beliau memulakan langkah awal sebagai penyanyi yang dilahirkan menerusi program realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6).

Iklan
Iklan

Pun demikian, pemilik nama sebenar, Nadia Haswani Hasnan dilihat melakukan transformasi dalam kerjaya apabila mula melebarkan sayap seninya dalam bidang pengacaraan.

Percaturan itu ternyata menjadi, kelibatnya dalam laman kerjaya itu lebih serasi dan menjadi dibandingkan sebagai penyanyi. Pun demikian, empunya diri masih enggan meninggalkan minat yang satu itu.

Iklan

"Ya! Mungkin ramai anggap rezeki saya lebih kepada bidang pengacaraan, namun saya tidak meletakkan noktah dalam kerjaya nyanyian. Bagi saya, selagi ada tawaran (menyanyi) untuk berbuat demikian, maka saya akur.

"Lagipun ada juga penganjur yang meminta saya menjadi hos dan menyanyi dalam masa yang sama. Memang itu antara pakej yang saya tawarkan. Kelebihan memiliki kedua-duanya membolehkan minat saya seiringan dalam menjana pendapatan,” ujarnya.

Iklan

Meneruskan penceritaan, dedah Nadia, bakat nyanyian dicungkil oleh ibu dan arwah ayah sejak beliau kecil lagi.

"Bahkan, mereka (ibu bapa) yang menjadi pendorong dan selalu bawa saya ikut saluran yang betul untuk menyertai pertandingan nyanyian.

"Daripada situ, saya berkenalan dengan ramai pemuzik,” ujar Nadia memulakan mukadimah awal penceritaan dunia kerjayanya bersama penulis.

Bekerja waktu sekolah

Akui anak sulung daripada dua beradik itu, berkat sokongan dan bantuan kedua orang tuanya, laluan awal beliau dalam bidang nyanyian dipermudah.

"Bayangkan, ketika masih kecil itu saya sudah didedahkan dengan persekitaran seni. Walaupun masih bersekolah, saya aktif memasuki pelbagai pertandingan terutama hujung minggu.

"Saya juga pernah bekerja waktu sekolah, tetapi dalam pemantauan ibu dan arwah ayah waktu itu. Mereka ibarat bodyguard yang selalu menemani dan berada di sisi. Pada masa, bab pendidikan juga tidak diabaikan,” ulas Nadia lagi.

Perbualan kami kemudiannya menyentuh mengenai saingan bergelar anak seni yang bukan kaleng-kaleng perlu ditempuhinya.

Jujur wanita berketinggian 150 sentimeter itu tidak menyangkal perkara tersebut.

"Itu lumrah yang semua orang kena tempuh. Ditambah pula dengan lambakan bakat-bakat baharu seperti pempengaruh sedikit sebanyak memberi kesan kerana ada segelintir yang sanggup mengambil kesempatan dengan meletakkan harga rendah.

"Sedangkan saya cukup struggle dan penuh suka duka untuk membina nama dan bertahan selama 15 tahun dalam bidang ini. Pastinya harga yang diletakkan berpatutan dan sesuai dengan pengalaman yang ada. Mujur ada yang sudah biasa bekerjasama dan tahu bagaimana cara kerja saya,” luah wanita itu lagi.

Sedar, tidak selamanya akan berada dalam industri seni, justeru beliau berkata, bukan hanya kerja yang menjadi titik fokus dalam rutin kehidupannya.

"Memandangkan usia kini 34 tahun, jadi saya harus fokus pada banyak perkara dan bukan kerja semata-mata. Ada masanya, saya perlu bersendirian dan berehat selain bersama keluarga.

"Setiap hari sebelum tidur, saya akan periksa jadual terlebih dahulu untuk lihat jika ada masa terluang apa yang saya boleh selitkan supaya masa digunakan sebaik mungkin sebagai penyanyi, pengacara, isteri dan juga anak,” ujarnya lagi.

Enggan mendabik dada biarpun sudah lama dalam industri, bahkan Nadia masih merendah diri dan tidak pernah berasa diri dikelilingi dunia glamor.

"Untuk mudah dikenali memang seseorang artis itu kena glamor. Pun begitu, ia bukan sekadar status semata-mata, sebaliknya ia datang dengan tanggungjawab yang cukup besar kerana ramai yang memberi perhatian.

"Setakat ini saya tidak rasa diri glamor cuma masih bertahan dengan pelbagai jenis cabang untuk mencari nafkah. Kalau ditanya saya, glamor itu boleh datang sendiri apabila orang nampak bakat yang ada pada diri.

"Sebab itu, saya hanya mahu berikan yang positif dan hal-hal yang baik kepada orang lain berbanding glamor yang boleh buat diri saya diperlekeh,” tegas Nadia lagi.

Sukakan privasi

Pada masa sama, beliau tidak menolak tanggapan bahawa diri kurang popular tapi masih bertahan.

"Bidang seni banyak mengajar saya menjadi insan yang mampu berdikari kerana selama bertapak dalam bidang ini (15 tahun), tiada yang membantu kecuali diri sendiri.

"Sementelah, saya tiada pembantu atau pengurus dan terpaksa usaha sendiri untuk mendapatkan satu-satu tawaran.

"Kehidupan ini banyak mengajar saya untuk lebih lasak dan bergerak sendiri selain mencari peluang dalam segala sudut,” ungkapnya yang meletakkan disiplin asas utama untuk berjaya, selain tidak malu untuk mencuba.

Menjawab persoalan mengenai meletakkan limit dalam berkongsi hal peribadi lebih-lebih lagi soal keluarga, kata Nadia itu yang beliau praktikkan sejak awal lagi.

Malah, beliau lebih selesa berkongsi tentang karier berbanding hal peribadi. Tegasnya, ada limit atas apa yang dipamerkan menerusi media sosial dek kerana dirinya lebih sukakan privasi.

Sedar akan hakikat tersebut, perbualan kami kemudiannya melencong kepada sisi peribadinya yang lain.

Kepada tuan punya badan, penulis memintanya berkongsi tip penjagaan rambut kerintingnya itu.

Umum mengetahui, rambut sedemikian bukanlah mudah untuk dijaga.

"Sejujurnya memang tiada sebarang tip atau petua tradisional yang saya amalkan. Memang tidak dinafikan, sedikit sukar menjaga rambut sebegini, silap hari bulan bikin kusut.

"Cuma, saya lebih banyak amalkan penggunaan produk penjagaan rambut yang bertujuan merawat.

"Pada masa sama, saya kena pastikan kulit kepala bersih, sebab itu saya jarang biarkan rambut tidak bersyampu setiap hari,” kongsi isteri kesayangan Hafiz Hamdan itu lagi.

Selain itu, Nadia turut mendedahkan dirinya sudah mula mengenal barang-barang mekap seawal dirinya terjun ke bidang seni.

"Cuma waktu itu tidaklah terlalu beria kerana masih kanak-kanak, kan. Kalau ditanya soal kemahiran solekan, saya tidak ada masalah untuk melakukannya sendiri. Cuma kini, sebelum tampil di kaca televisyen, ada jurumekap yang sudah tersedia menanti.

"Demikian juga bab fesyen, saya jenis yang suka gaya santai dan ringkas. Nampak macam petite, namun bab memilih baju tiada masalah, ada masanya saya relaks sarungkan baju suami ke tubuh,” selorohnya lagi.

Sebelum menutup perbualan, sempat penulis bertanyakan pandangan beliau mengenai isu hangat sekarang berkenaan buli siber.

Akui bekas penyampai radio ERA itu, hal sebegini bukan pertama kali berlaku, bahkan sejak dahulu lagi. Ditambah kini dengan pelbagai aplikasi yang muncul. Disebabkan itu, anak-anak kini semakin sensitif dan mental tidak sekuat anak-anak zaman dahulu yang berjiwa lebih kental.

"Persaingan memang bagus dalam media sosial cuma ada yang jenis tak tahan kecaman. Sebab itu dalam apa jua hal, kena pentingkan dan sayangkan diri terlebih dahulu.

"Nasihat saya, tidak salah untuk aktif sebagai pempengaruh dan sebagainya, tetapi kena tahu circle kita dan jika tidak tahan, jangan baca atau ambil kisah, cukuplah orang sekeliling kita yang tahu dan beri kritikan membina. Abaikan atau jauhi benda-benda negatif jika itu boleh buat anda down,” kata peminat rona putih itu lagi.