PEMERGIAN penyanyi Jay Jay menyentuh hati terutama para peminat seni suara tanah air.
Isteri arwah, Zaitoon Wahid, 61, sempat berkongsi pesanan terakhir pemilik nama sebenar Mohd Fauzi Darus itu yang mahu beliau memelihara hubungan dengan keluarga agar tidak berpecah belah dan menjaga permata hati mereka beberapa minggu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.
"Dia sebelum ini memang sihat dan boleh bercakap macam biasa. Tetapi sejak beberapa minggu lalu walaupun boleh bercakap cuma tidak berapa kuat.
Beliau yang berada di sisi penyanyi itu di Hospital Thomson, Kota Damansara ketika pemergiannya pada 9.27 malam tadi berkongsi proses itu berjalan dengan sangat tenang.
"Suami pergi dengan tenang selepas apa yang dilalui dan pergi buat selama-lamanya. Selepas pembedahan ‘bypass’ Jun lalu, dia mula alami komplikasi.
"Anak-anak dan adik-beradik arwah semuanya ada. Alhamdulillah, kami tengok dia pergi dengan baik dan sebelum itu, suami tak tunjuk tanda-tanda dia sakit. Namun, keadaannya makin teruk selepas Hari Raya lalu,” katanya.
Kata Zaitoon, suami yang dinikahi 42 tahun yang lalu itu mula berdepan komplikasi organ dalaman selepas sambutan Aidilfitri.
Pemergian pelantun lagu Joget Angan Tak Sudah itu meninggalkan empat cahaya mata yang terdiri daripada tiga perempuan dan seorang lelaki dalam lingkungan usia 27 hingga 39 tahun.
Jenazah Allahyarham Jay Jay dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tandang, Subang Jaya kira-kira jam 11.15 pagi.
Sumber: Buletin TV3, Gempak