PELAWAK Achey berkongsi berita anaknya Nur Tiara Zinnirah, 6, bakal menjalani pembedahan membuang tonsil atau tonsilektomi pada Selasa.
Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah berharap pembedahan tersebut berjalan lancar dan memohon titipan doa daripada orang ramai.
"Esok Tiara akan menjalani pembedahan kecil untuk tonsil yang membesar. Semoga doa semua yang menyayangi Tiara terus mengalir untuknya.
"Tiara anak ayah, awak strong girl. Semua doakan awak sayang, cepat sembuh Tiara," kongsinya di Instagram.
Achey dan isteri dalam masa yang sama berterima kasih kepada warga maya yang mencadangkan pemeriksaan ke atas permata hatinya susulan masalah berdengkur luar biasa yang dialami pada usia enam tahun.
Achey yang menyuarakan kebimbangan rasa tidak kuat melihat kesakitan ditanggung anaknya selepas pembedahan dan berharap segalanya dipermudahkan.
"Ayah kalau bab ini (anak sakit) memang lembik sikit. Bagilah apa pun ayah redah sahaja nak. Tapi bab awak sakit memang ayah kalah. Apa pun ayah buat sebaiknya.
"Mama awak kuatlah. Mak, kan?" kongsi Achey.
Terdahulu, juara Bintang Mencari Bintang itu pernah memuat naik video Tiara berdengkur kuat tidak seperti kanak-kanak normal seusianya.
Warganet meminta Achey dan isteri membawa anak angkatnya mendapatkan pemeriksaan pakar bagi mengetahui status kesihatan.
Untuk rekod, Achey dan isteri, Nor Hasanah Yahaya mengambil anak angkat perempuan pada Mei 2018 selepas 14 tahun mendirikan rumah tangga.