TENGKU Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam sempat berkongsi tentang persiapan perkahwinan diraja Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.
Baginda yang berangkat ke Majlis Penutup Islamic Fashion Festival (IFF) 2024 dan Perasmian Pameran Solo Syed Thajudeen, di Kompleks Muzium Diraja Sultan Ahmad Shah, Kuantan semalam bertitah agar istiadat perkahwinan berkenaan sentiasa diingati Tengku Afzan.
"Dalam masa dua minggu lagi, mahu pastikan anak perempuan saya dengan majlis perkahwinan paling indah untuk diingati sepanjang hidupnya,” titahnya.
Khabar berkenaan sekali gus menjawab pertanyaan ramai tentang perkahwinan diraja Pahang di antara Tengku Puteri Afzan dan pilihan hatinya, Fd Idzham Fd Iskandar.
Tunku Azizah yang terkenal dengan kemesraan dan rendah dirinya tidak berselindung tentang ijab kabul yang akan dilangsungkan.
Malah, baginda turut menjemput rakyat Pahang untuk sama-sama meraikannya menerusi siaran lintas langsung.
"Oleh kerana rumah saya kecil, saya tidak boleh menjemput seluruh negeri Pahang ke perkahwinan diraja yang akan berlangsung lagi dua minggu.
"Tetapi saya ingin mengumumkan di Padang MBK depan dan Padang Kotasas (majlis) selama empat hari. Ada skrin besar di mana rakyat negeri Pahang, bolehlah berkumpul, berpesta untuk meraikan perkahwinan diraja,” titah baginda.
Permaisuri kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu juga memaklumkan pelbagai aktiviti diadakan semasa majlis berkenaan seperti konsert dan persembahan.
"Jemput datang ke Pahang. Sama-sama kita meraikan perkahwinan diraja lagi dua minggu ini. ‘Bridezilla, godzilla, monster’ (berseloroh),” titah baginda.
SinarPlus terdahulu melaporkan poster digital dikongsikan oleh pengurus acara yang mengendalikan majlis tersebut, Teja Market yang tular di laman sosial.
Pada poster yang dimuat naik, majlis tersebut diberi nama Langit Cinta Lintas Langsung Istiadat Perkahwinan Diraja turut menyatakan lintas langsung istiadat perkahwinan diraja berkenaan bertempat di Tasek Kotasas, Kuantan selama tiga hari bermula 22 Ogos ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Hantaran yang sama juga telah diulang siar oleh Tunku Azizah menerusi akaun TikTok @cmspahang dipercayai miliknya.
Sumber: TikTok