'Beri ruang sejukkan hati, biarlah masa yang menentukan' - Bella Astillah

Iklan

MELALUI fasa pasca penceraian bukan mudah, penyanyi Bella Astillah meluahkan tiada niat untuk memutuskan hubungan antara anak dan bekas suami, Aliff Aziz seperti didakwa.

Iklan
Iklan

Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabella Awang Astillah menyifatkan tindakan menyindirnya secara terbuka merosakkan silaturahim.

"Di manakah akal fikiran dan sifat kemanusiaan anda? Sindir saya setiap hari walaupun anda cakap itu adalah hantaran umum tetapi rakyat Malaysia cukup bijak, mereka sendiri tahu itu semua untuk saya. Saya telan semuanya.

Iklan

"Sekiranya anak anda tidak berkomplot merancang perkara jahat semua ini tidak akan terjadi. Kami pasti boleh berpisah dengan cara baik.

Iklan

"Sehingga hari ini tiada kata maaf daripada anda sekeluarga, perli saya dengan membuat video-video sarkastik melalui media sosial tentang kereta dan sebagainya,” katanya dalam Instagram.

Mengakui tergores dengan kata-kata ketika perbualan menerusi panggilan video dengan anaknya, Ayden Adrean, Bella meminta diberi ruang supaya emosi dan mental permata sulungnya tidak terjejas.

Demi menjaga ketenteraman kedua-dua permata hatinya, pelantun lagu Pano berkata langkah memisahkan anak dengan bekas suami diambil buat sementara waktu.

"Bukan mudah untuk semuanya kembali seperti tiada apa-apa berlaku sedangkan mama dan anda sudah sepakat, jika ada perbalahan antara saya dan Aliff kalian tidak akan masuk campur supaya mudah untuk kedua belah pihak di masa hadapan menguruskan soal cucu.

"Namun, berlaku sebaliknya apabila anda sudah musnahkan semuanya. Akhir sekali, saya merayu jangan cakap saya gunakan anak-anak sebagai alasan.

"Saya menjaga kesihatan mental dan ketenangan anak-anak untuk membesar dengan baik serta positif. Saya pernah gunakan mereka dulu pun sebab bekas suami tetap tak balik rumah.

"Jangan risau, anak-anak tetap kenal bapa mereka. Saya juga tahu soal hukum memisahkan anak dengan bapa, saya tak pernah cakap nak pisahkan mereka, insya-Allah, satu hari nanti pasti akan baik baik sahaja,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, kakak kepada penyanyi Didi Astillah itu berharap beliau dan anak-anak diberikan ruang.

"Untuk terakhir kali, saya minta supaya berhentilah memerli. Lebih baik kita muhasabah diri untuk menjadi insan yang lebih baik kerana usia semakin meningkat. Banyak lagi perkara yang jauh lebih penting.

"Bella mohon beri kami ruang untuk sejukkan hati yang terluka," kongsinya.

Terdahulu, ibu bekas suaminya berkongsi petikan pendakwah berkaitan larangan anak-anak daripada berjumpa kedua ibu bapa.

Ia tercetus selepas penyanyi kecil molek itu mendedahkan beliau mempunyai alasan tersendiri tidak membenarkan keluarga bekas suami berhubung dengan anak-anaknya.

Sebelum ini, Aliff dan ibunya kerap memuat naik beberapa hantaran dalam media sosial mengenai kerinduan mereka terhadap Ayden dan Ara.

Untuk rekod, Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 namun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 13 Jun lalu.

Lapan tahu berkongsi hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.