PELAKON jelita Datin Seri Maria Farida mendakwa rakyat Malaysia kini semakin hilang pertimbangan dan tidak menjaga sensitiviti apabila mengemukakan komen di media sosial.
Maria atau nama sebenar Maria Farida Atienza berkata rakyat Malaysia dahulunya terkenal dengan budi pekerti, bahkan lemah lembut ketika berbicara.
Dalam hantaran yang sama, beliau berkongsi nasihat kepada mangsa siber buli supaya mengabaikan kata-kata negatif daripada pembuli siber.
Ibu kepada Mizan Ashley berkata mangsa tidak sepatutnya membiarkan orang luar mengawal kehidupan mereka dan perlu mengambil pendekatan menyekat akaun-akaun palsu.
Jika menjadi lebih teruk, Maria juga menyarankan mangsa untuk menutup ruangan komen mereka.
"Dulu Malaysia terdiri daripada rakyat yang berbudi bahasa dan lemah lembut, tetapi ketika di sosial media netizen semakin menjadi-jadi.
"Kita perlu teruskan hidup, tak boleh biarkan orang ramai mengawal apa yang kita nak buat kerana sosial media adalah milik kita.
"Saya akan menyekat akaun mereka atau menutup ruangan komen,'katanya ketika ditemui SinarPlus di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2024 baru-baru ini.
Isteri kepada Datuk Seri Rahman Sakur itu juga meminta pihak berkuasa perlu campur tangan dalam menangani isu berkenaan yang semakin serius sehingga mengundang maut.
"Minta tolong seseorang untuk kawal dan menghentikan buli siber yang boleh membuatkan mangsa cuba untuk membunuh diri. Ini bukan budaya orang kita," tegasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, pelakon drama Bidadari Kota itu mengakui tidak henti-henti menerima 'gangguan nakal' daripada lelaki pucuk muda.
Walaupun begitu, beliau tidak terkesan dengan segala gangguan tersebut sebaliknya masih setia bersama suami tercintanya.
Untuk rekod, Maria mendirikan rumah tangga dengan Rahman pada November 2015 namun tidak dikurniakan cahaya mata.