AKTOR, Azhan Rani berkongsi sisi peribadi rakannya Amyza Adnan yang profesional dalam menjalankan tugas biarpun sedang menghadapi dugaan yang berat.
Menerusi hantaran di Instagram, Azhan berkongsi dalam sesi penggambaran drama baru-baru ini, Amyza begitu profesional dan tidak pernah memperlihatkan kesedihan yang ditanggungnya. Walaupun dua orang anak mengalami kesihatan, aktres berusia 50 tahun itu dikatakan ceria.
"Aku tahu ramai sudah bercakap tentang sabar, kuat dan reda. Aku juga tahu kau sendiri lebih tahu jawapannya kerana kau yang berdepan dengan semua ini.
"Sejak kita shooting sama-sama baru-baru ini, aku tahu kau banyak menyimpan pelbagai perkara yang kau tidak mahu tunjukkan kepada orang lain, di sebalik gurau dan gelak kau yang seolah-olah tiada apa-apa setiap hari di set itu.
Menitipkan ucapan takziah atas pemergian anak sulung Amyza, Andre Mikhail, Azhan yang masih terikat dengan jadual penggambaran mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama orang beriman.
"Semoga ALLAH sediakan tempat terbaik untuk Andre Mikhail bersama orang-orang yang beriman. Syurgalah tempatnya, insya-ALLAH.
"Maaf tidak dapat nak menziarahimu kerana saat ini kerana masih shooting di Sarawak.
"Insya-ALLAH ada rezeki nanti aku ziarah. Moga dimudahkan dan lancar segala urusan. Al-Fatihah buat Allahyarham Andre Mikhail bin Khairil Izhar," tulisnya.
Terdahulu, Andre Mikhail Khairil Izhar menghembuskan nafas terakhir kira-kira 10.15 malam, Isnin susulan kanser paru-paru tahap empat.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana.