KEPADA peminat durian seluruh dunia, nantikan pengalaman luar biasa menikmati hamparan raja buah berkualiti premium di tengah laut yang julung kali dianjurkan Resorts World Cruises.
Apa yang mengujakan, parti durian tersebut hanya dianjurkan untuk trip pelayaran dua malam Genting Dream dari Singapura ke Kuala Lumpur (via Pelabuhan Klang) pada 25 Ogos dan 1 September nanti.
Pakej bufet buah-buahan tropika tersebut bakal menjadi sorotan ramai kerana menyajikan durian Musang King, Tan Sri XO, Duri Hitam, D78 Sweetie dan banyak lagi.
Berkongsi berita gembira itu, Presiden Resorts World Cruises, Michael Goh berkata, pihaknya teruja untuk memperkenalkan keunikan baharu untuk Genting Dream sempena kemeriahan musim durian.
"Pastinya pengenalan parti durian ini akan menjadi pengalaman pelayaran unik dan tidak dapat dilupakan oleh penumpang kami yang datang untuk berlibur di tengah laut.
"Kami juga merancakkan aktiviti dengan siri hiburan menarik di atas kapal untuk semua peringkat umur termasuklah kehadiran maskot Pin Pin dan DurianBB & Friends,” katanya yang menyarankan orang ramai untuk menempah lebih awal.
Pengasas syarikat pengeksport durian Durian BB, Adrian Choy yang kini menjalankan perniagaan di Malaysia, Singapura, Hong Kong, Macau dan China itu juga gembira dengan kerjasama tersebut.
"Usahasama dengan Resorts World Cruises untuk melancarkan pesta durian di Genting Dream yang bakal menjanjikan pengalaman yang sihat dan tidak dapat dilupakan buat selama-lamanya.
"Kami juga berhasrat untuk meningkatkan sesi pengetahuan durian yang berinovatif dan hiburan yang unik kepada penumpang tak kira umur menerusi pelbagai aktiviti menarik,” katanya.
Lebih menarik, penumpang yang berminat akan mengikuti bengkel menyeronokkan termasuk kelas induk untuk mempelajari teknik pemilihan raja buah yang sempurna.
Selain itu, mereka juga berkesempatan beramah mesra dengan maskot comel, menikmati aiskrim, memenangi hadiah dan mengambil bahagian dalam pelbagai permainan serta kuiz bertemakan durian dan buah-buahan tempatan.
Jangan lepaskan peluang untuk membeli-belah pelbagai cenderamata eksklusif dan merchandise istimewa yang hanya boleh didapati di Genting Dream sahaja.
Di samping itu, penumpang juga boleh menikmati pelbagai tawaran menarik sepanjang tempoh pelayaran termasuk akses makanan percuma, pilihan hidangan antarabangsa dan Asian serta menu halal.
Saksikan persembahan pentas antarabangsa secara langsung di teater Zodiac yang boleh memuatkan 1,000 penonton, tayangan filem di laut, taman air lengkap enam gelongsor air, jakuzi, ziplines, rock climbing dan banyak lagi.
Penganjuran acara istimewa buat penumpang dari Singapura, termasuk konsert oleh penyanyi legenda Hong Kong, Chu Mimi semasa pelayaran tiga malam Pulau Pinang-Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2024 nanti.
Satu lagi kemuncak persembahan oleh komposer terkemuka Singapura, Dick Lee sempena pelayaran dua malam ke Kuala Lumpur yang berlepas pada 8 Disember nanti.
Untuk maklumat lanjut, layari www.rwcruises.com.